Tuesday 25 October 2011

JAUHI SIKAP WAS-WAS KERANA IANYA GODAAN SYAITAN.

Buku yang bagus untuk dibaca. Terjemahan daripada kitab tulisan
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi

Saya yakin ada diantara kita menderita akibat was-was yang melampau terutamanya dalam beribadah. Contohnya walaupun seseorang itu telah menunaikan solat dengan sempurna, dia masih was-was adakah solatnya sah, Akhirnya sikap was-was tersebut menghantui dirinya lalu tidak hairanlah apabila kita lihat ada yang bertakbir berulang-ulang kali ketika hendak memulakan solat. Ada pula yang menghadapi kesukaran dalam membaca surah serta doa di dalam solat lalu dia akan mengulang-ulang bacaan yang sama seperti mengulang-ulang perkataan “alham” ketika membaca surah al-Fatihah sehingga menganggu orang lain ketika solat berjamaah.

Gambar hiasan
Was-was ketika solat bukan sahaja menyusahkan diri bahkan menganggu solat para jamaah yang lain.

Sebenarya was-was merupakan diantara godaan dan tipu daya syaitan terhadap manusia. Semakin teruk sikap was-was kita dalam beribadah, maka semakin berjayalah syaitan yang dilaknat itu.



Keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan (Al-yaqiinu la yuzaalu bisy syak)

Perasaan was-was tidak boleh dijadikan alasan membatalkan perkara yang diyakini. Contohnya, Nabi Muhammad saw semasa menjelaskan berhubung dengan seorang lelaki yang tidak pasti sama ada wuduknya sudah terbatal ataupun tidak bersabda:
”Apabila salah seorang antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu ataupun tidak janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi (kentut) ataupun menghidu baunya”. Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi.

 Ia menunjukkan keraguan tentang batalnya wuduk tidak perlu dilayani kerana keraguan bukanlah perkara yang diyakinkan. Demikian juga hukumnya apabila berpindah ke rumah baru. Oleh kerana kita tidak meyakini rumah itu sudah dikotori najis, rumah itu tidak perlu dibasuh atau disamak walaupun kita mengetahui rumah itu didiami oleh orang bukan Islam sebelum ini. Bagi orang yang terjaga daripada tidur dan merasakan dia bermimpi sehingga terkeluar air mani, sedangkan tidak terdapat tanda-tanda air mani di badan dan pakaiannya, dia tidak perlu mandi wajib. (Dr. Danial Zainal Abidin. Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden Edisi Kedua. Pahang. PTS Pub.& Distr. Sdn. Bhd. m/s 49)



Was-was adalah godaan dan tipudaya syaitan untuk merosakkan manusia.

Menurut Imam Ibn-Qayyim sesungguhnya orang yang was-was sedar atau tidak, mereka telah mengikuti syaitan. Menurut beliau lagi, orang-orang yang sudah dikuasai oleh iblis, mereka seperti kerbau yang dicucuk hidungnya. Mereka menuruti apa sahaja kemahuan iblis. Malah mereka mirip orang gila. Atau mirip pengikut Sophistis, iaitu orang-orang yang mengingkari kebenaran suatu yang nyata dan yang dapat dilihat. Pengetahuan seseorang terhadap keadaan dirinya sendiri adalah termasuk hal-hal yang konkrit. Seseorang membasuh angota tubuhnya disaksikan mata kepalanya sendiri. Dia melakukan takbir dan membaca sendiri bacaan dengan mulutnya, didengar oleh kedua telinganya sendiri dan diketahui secara yakin, malahan orang lain pun kadang kala ikut mengetahuinya, tetapi dia ternyata masih mahu menerima bisikan serta ucapan syaitan bahawa dirinya belum melakukan niat untuk solat. Betapa ingkarnya dia terhadap penglihatanya sendiri, dan betapa keras kepalanya dia terhadap keyakinan dirinya sendiri. Dia adalah orang yang kebingungan.....Semua ini kerana terlampau taat kepada iblis dan pengikut rasa was-wasnya. Kemudian orang yang was-was juga menerima begitu sahaja ucapan iblis sekalipun menyeksa jiwa dan menyusahkan raganya. (Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 47)



Contoh was-was

Berlebih-lebihan mengunakan air ketika berwuduk merupakan salah satu sikap was-was yang wajib dijauhi. Kita sering melihat gelagat sesetengah individu yang membuka paip air dengan begitu kuat untuk berwuduk seolah-olah seperti hendak mandi. Hal ini adalah satu pembaziran air yang sangat tidak digalakkan hasil daripada penyakit was-was sedangankan air yang sedikit sudah mencukupi untuk berwuduk.

 Imam Ibn Qayyim membawakan beberapa hadis bagi menyokong perkara ini. Di dalam Musnad Imam Ahmad, dinyatakan sebuah hadis riwayat Abdullah bin Umar (yang bermaksud):
”Sesungguhnya Rasulullah saw mendapati Saad sedang berwuduk. Baginda bersabda: Jangan berlebih-lebihan! Saad bertanya: Ya Rasulullah, adakah yang namanya berlebih-lebihan dalam masalah air? Rasulullah menjawab: Ya. Kalau kamu berada di sungai yang mengalir”.

Didalam Jami Imam Tarmizi, hadis daripada Ubai bin Kaab, sesungguhnya Nabi saw bersabda (maksudnya):
 Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang menganggu) yang bernama Walhan. Maka jauhilah was-was air!” Menurut penterjemah kitab, hadis ini merupakan ucapan seorang sahabat.
(Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 63)

Lihatlah di sungai yang mengalir sekalipun Nabi saw mendidik sahabat ra untuk tidak berlebih-lebihan apatah lagi pada masa kini dimana kita membuka paip air secara deras untuk berwuduk dan banyak air dibazirkan dengan penuh kesia-siaan. Islam menentang pembaziran. Bukalah paip air secara perlahan sekadar cukup untuk mengalirkan air ke  angota  wuduk dan segera menutup paip ketika air tidak diperlukan. 

Firman ALLAH saw maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan" (Al-Isra:27)

Jangan membazir dan jauhi was-was.
Botol air sekecil inipun (lebih kurang 600ml) sudah lebih daripada mencukupi untuk berwuduk. Jadi tidak perlu membazir air.

Kesimpulanya, janganlah kita menyusahkan diri dengan mengikut kehendak syaitan yang sentiasa bercita-cita menyesatkan umat manusia. Marilah sama-sama kita menjauhi sikap was-was yang merosakkan ini demi menghayati keindahan Islam yang sebenar. Islam itu mudah, syariat Islam dikurniakan ALLAH swt untuk kebaikan manusia sejagat bukan untuk menyusahkan mereka. 


ALLAH swt berfirman maksudnya:
“DIA sekali-kali tidak  menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. al-Hajj: 78


JAUHI SIKAP WAS-WAS YANG MEYUSAHKAN HIDUP ANDA.......


abu umair 23.10.11

No comments:

Post a Comment