Saturday 31 December 2011

Fatah dan Hamas bergaduh Zionis yang untung....


Rabu , 28/12/2011 - Jawatankuasa Keluarga Tahanan Penjara berunsur Politik berkata bahawa ejen keselamatan pihak berkuasa Palestin (PA) masih melakukan tangkapan politik secara rambang di Tebing Barat walaupun fasa perbincangan ke arah perpaduan negara masih berlangsung antara gerakan Fatah dan Hamas.
Dalam satu kenyataan media bersama Persatuan Belia Muslim, jawatankuasa tersebut menyeru semua rakyat Palestin supaya menyertai protes ke-25 yang diadakan bagi mengutuk pencabulan terhadap hak-hak kebebasan di Tebing Barat. Protes itu akan menuntut supaya PA menamatkan aktiviti tangkapan politik terhadap rakyat Palestin dan ketidakadilan dalam proses pemecatan penjawat awam hanya kerana hubungan politik mereka.
“Pencabulan kebebasan merencatkan perbincangan” akan menjadi slogan protes tersebut yang dijangka diadakan pada hari Khamis di Bandar Al-Khalil.

Fatah dan Hamas bergaduh Zionis yang untung.
UMNO dan PAS bergaduh siapa yang untung?
Fatah dan Hamas bergaduh, bumi Palestin terus dijajah dengan keganasan syaitani.
UMNO dan PAS bergaduh, minda umat bercelaru dengan permusuhan dan kebencian.
Jadi siapa yang untung???
Kanak-kanak Islam Palestin terus dibunuh, tanah umat Islam dirampas, hak mereka dinafikan di bumi mereka sendiri, siibu kehilangan anak, siisteri kehilangan suami. 
Di Malaysia pula? Siibu Islam kehilangan anaknya yang murtad mengikut kekasih, Sibapa kehilangan anaknya yang merempit dijalanan. Masalah sosial berleluasa, zina berleluasa, permusuhan sesama Islam terus menjadi-jadi. Terhakisnya sifat kasih sayang sesama Muslim. Kurangnya sikap nasihat menasihati sesama Muslim sebaliknya sentimen permusuhan yang dipilih.
Jadi maaf saya ingin bertanya, siapa yang untung dan siapa yang rugi???
Marilah kita bermuhasabah diri dan kembali bersatu padu dibawah naungan kebenaran. Marilah kita bertaqwa kepada ALLAH swt dengan sebenar-benar taqwa, berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.


Firman ALLAH swt maksudnya:

“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)


abu umair 30.12.11

Saturday 26 November 2011

ADA APA DENGAN DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN??

Gambar hiasan.
Saya tertarik dengan satu post di facebook oleh Ustaz Fathi. Beliau boleh dilawati 
melalui blog dan alamat facebook seperti berikut:
http://ansarul-hadis.blogspot.com/2010/12/blog-post.html



Post beliau berbunyi seperti berikut:

‎"Ketahuilah bahawa amalan membaca doa awal dan akhir tahun tiada asalnya dalam syariat Allah SWT. Tiada dalam al-Qur'an, tiada dalam hadith sahih, tiada dalam hadith dhaif, bahkan tiada dalam hadith palsu, dalam istilah hadith moden ia disebut "La asla lah - Tiada asalnya". Its a pure bid'ah" ~ Fathi Al-Sakandary ~

Soalan Mohamad Afiq Ismail: jadi?kalo berdoa juga berdosa x?

Jawapan Fathi Al-Sakandary: doa sememangnya dianjurkan Islam, dan seseorg boleh berdoa bila-bila dia suka, adapun mengkhususkan mesti berdoa bila awal dan akhir tahun, dengan lafaz doa yg tertentu yg khusus, dengan tatacara yg khusus, maka ia bid'ah munkar.


Soalan Mohamad Afiq Ismail: siapa yg reka doa akhir tahun tu?just nk tahu

Jawapan Fathi Al-Sakandary: ia tiada asalnya, bila sebut tiada asalnya maka penciptanya juga tak diketahui, yg pasti pencipta itu telah berbuat rosak atas syariat Allah SWT.


Begitulah sebahagian daripada dialog di facebook beliau. Ringkas dan menarik bukan?


Jadi ada apa dengan doa awal dan akhir tahun yang kita dok baca tiap-tiap tahun di masjid dan surau? Siapa yang turunkan syariat? siapa yang berikan pahala? Tepuk dada tanya iman.

Lebih malang lagi jika ditinjau ke beberapa masjid dan surau seluruh negara, mereka membacakan doa khusus yang disandarkan kepada Nabi saw dengan berbagai fadhilatnya, kononnya Nabi saw membaca doa awal dan akhir tahun sedangkan tidakkah mereka sedar bahawa penetapan awal tahun dan akhir tahun hanya berlaku pada zaman Saidina Umar ra iaitu pada tahun ke 17 hijrah atau selepas 7 tahun kewafatan Nabi saw. Jadi bagaimana mungkin Baginda saw membaca doa awal tahun dan akhir tahun? Ternyata dusta bukan?.

Jelaslah bahawa hadis berkaitan doa awal dan akhir tahun adalah palsu dan tidak diketahui asal usulnya. Ianya haram dan tidak wajar disebarkan. 

Sabda Nabi saw maksudnya:

"Sesiapa yang berdusta mengunakan nama ku, maka tersedialah untuk dirinya satu tempat duduk dalam neraka." (Hadis Riwayat al Bukhari dan Ahmad)

Dalam hadis yang lain Nabi saw bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang bercerita atas nama ku satu hadis yang dirasakannya bohong, maka dia adalah salah seorang pembohong." (Hadis Riwayat Muslim)

Saya menyeru kepada diri sendiri dan mudahan bermanfaat kepada yang mahu mengambil manfaat bahawa janganlah kita mengikut sesuatu ibadah secara membuta tuli tanpa mengkaji samaada ibadah tersebut benar-benar daripada Nabi saw.

Apalah gunanya jika kita bertungkus lumus melakukan ibadah yang banyak tetapi akhirnya ditolah kesemuanya kerana ianya direka dan tidak mengikut cara Nabi saw.

Jadi adalah lebih baik dan selamat jika kita beribadah menurut contoh yang diajar oleh Nabi saw tanpa sebarang tokok tambah.

Yang ramai tidak semestinya benar dan yang sedikit tidak semestinya salah. Jadi yang benar adalah mengikut al Quran dan Sunnah Nabi saw.

Sabda Nabi saw maksudnya:

’’Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ianya tertolak’’ (Hadis Riwayat Muslim)


“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan(bid’ah)dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam Sunan al-Nasaai pula, terdapat penambahan lafaz pada riwayat ini iaitu:

“Setiap yang sesat itu (tempatnya) di neraka”.(Hadis Riwayat al-Nasaai)




abu umair 25.11.11

Friday 25 November 2011

STEVEN SPIELBERG DERMA BERJUTA RINGGIT KEPADA NEGARA HARAM ISRAEL BAGI MENERUSKAN AGENDA PEMBUNUHAN.

Steven Spielberg
Siapa tidak kenal dengan Steven Spielberg. Penerbit filem pecah pangung tersohor dari Hollywood. Mungkin masih ramai daripada kita yang tidak tahu dan mungkin ada yang tidak peduli bahawa Steven Spielberg merupakan antara nama yang telah disenarai hitamkan oleh Liga Arab kerana dia telah menderma USD1 Juta (RM3.12 Juta) kepada negara haram Israel sewaktu konflik bersenjata dengan Lebanon pada tahun 2006 yang menyaksikan ramai umat Islam tidak bersalah dibunuh dengan kejam.

KOSMO 12 November 2011 m/s 46

Jadi saya berpendapat umat Islam yang keluar menonton filem lelaki ini di pawagam hanya menyumbang kekayaan kepadanya untuk membunuh umat Islam di Palestin. Wajarkah begitu?. Saya berpendirian bahawa umat Islam hedaklah memboikot filem terbitan lelaki Yahudi ini bukan sebab dia Yahudi tetapi kerana dia secara terang terangan menyokong negara Haram Israel bagi membunuh dan menidas umat Islam.

Walau bagaimanapun saya kurang bersetuju terhadap sesetengah pihak yang memboikot sesuatu produk secara membuta tuli tanpa memastikan sama ada syarikat tersebut benar-benar meyokong negara haram Israel. Mudahan saya tidak bertindak secara membuta tuli.

Firman ALLAH swt maksudnya:


"Wahai orang–orang yang beriman, Jadilah kamu orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali–kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kau kerjakan". (Surah al Maaidah : 8)
Setelah sahih syarikat tersebut mempunyai pertalian dengan negara haram Israil yang saban hari membunuh kanak-kanak Islam tidak berdosa, barulah usaha boikot dijalankan secara besar-besaran. Ini kerana kita kasih saudara kita di Palestin sama seperti kita kasih kepada diri sendiri. Masalah Palestin adalah masalah seluruh umat Islam. Seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan Palestin daripada kezaliman syaitan Israel.
Sabda Nabi saw maksudnya:
"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri" (HR. al- Bukhari dan Muslim).
"Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain." (HR. al- Bukhari dan Muslim).




 Lihatatlah kekejaman Syaitan Israel terhadap saudara kita di Palestin. Patutkah kita duduk berdiam diri sahaja? Saudara kita dibunuh dan disiksa saban hari, patutkah kita berasa selesa tanpa berbuat apa-apa?. Tepuk dada tanya Iman.

Masjid-masjid juga boleh menyenaraikan produk-produk keluaran syarikat yang menyokong negara haram Israil secara sahih di papan kenyataan dengan menyatakan sumber maklumat tersebut diperolehi supaya orang awam tidak menjadi umat ikut-ikutan secara membuta tuli tanpa mengkaji.

Saya juga berpendapat sudah tiba masanya pihak pemerintah sendiri menyenaraikan produk-produk keluaran syarikat yang menyokong negara haram Israil untuk diboikot. NGO-NGO Islam juga hendaklah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang usaha boikot ini asalkan boikot tidak dilakukan secara membuta tuli yang akhirnya menzalimi orang lain. Kita hendaklah berfikir serta bertidak secara rasional dan bukan secara emosi semata-mata.





Kita berdoa mudahan ALLAH swt menghancurkan penzalim ini dan sekutu jahat mereka. Kita berdoa agar umat Islam bersatu padu dan berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.

Firman ALLAH swt maksudnya:


“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)



Abu Umair 24.11.2011

Tuesday 8 November 2011

KEPENTINGAN 'CAKAP SERUPA BIKIN' DALAM BERDAKWAH.

Gambar hiasan
Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah memenuhi dua perkara dalam menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat. Pertama akhlak yang baik dan kedua keselarian antara perkataan dengan amalan.

Pendakwah adalah penterjemah secara langsung kepada dakwah yang dibawa olehnya. Jika ucapannya selari dengan tingkah lakunya, maka dia menjadi contoh tauladan yang baik dan dakwahnya akan lebih berkesan InsyaALLAH. Sebaliknya jika dilihat wujudnya percangahan yang nyata diantara ucapannya dan tingkah lakunya seperti contoh dia menyeru orang lain berhenti merokok tetapi dia sendiri merokok, maka maruahnya akan tercemar dan masyarakat akan menolak dakwahnya. Bak kata orang Pulau Pinang "sembang pum pang pum pang" iaitu 'cakap tak serupa bikin'.

Sama juga jika seorang bapa menasihati anaknya atau seorang guru menasihati anak muridnya supaya berakhlak baik tetapi si ayah dan si guru itu sendiri suka memaki hamun dan berakhlak buruk. Maka akan berkuranganlah rasa hormat si anak tersebut dan nasihat yang dilemparkan akan menjadi tidak berkesan.

Al Quran juga mengingkari dengan keras sikap segelintir insan yang tidak mengotakan apa yang mereka katakan.

ALLAH swt berfirman maksudnya: 
”Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kemurkaan disisi ALLAH bahawa kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak lakukan” (Asy Shaff: 2-3)

Saya menasihati diri sendiri dan mudahan menjadi pengajaran kepada para pembaca agar marilah sama-sama kita mengotakan apa yang di kata. Jaganlah hanya manis di bibir tetapi tidak pada tingkah laku yang akhirnya menjatuhkan maruah diri dan menjejaskan keberkesanan dakwah kita.

Marilah kita bermuhasabah diri memperbaiki kualiti diri sebagai seorang Muslim yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sesungguhnya sebaik-baik contoh tauladan adalah dengan mengikut Nabi saw yang kita kasihi.

ALLAH swt berfirman maksudnya: 

”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw itu adalah contoh tauladan yang baik...” (Al Ahzab:21)



abu umair 7.11.2011

Tuesday 25 October 2011

JAUHI SIKAP WAS-WAS KERANA IANYA GODAAN SYAITAN.

Buku yang bagus untuk dibaca. Terjemahan daripada kitab tulisan
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi

Saya yakin ada diantara kita menderita akibat was-was yang melampau terutamanya dalam beribadah. Contohnya walaupun seseorang itu telah menunaikan solat dengan sempurna, dia masih was-was adakah solatnya sah, Akhirnya sikap was-was tersebut menghantui dirinya lalu tidak hairanlah apabila kita lihat ada yang bertakbir berulang-ulang kali ketika hendak memulakan solat. Ada pula yang menghadapi kesukaran dalam membaca surah serta doa di dalam solat lalu dia akan mengulang-ulang bacaan yang sama seperti mengulang-ulang perkataan “alham” ketika membaca surah al-Fatihah sehingga menganggu orang lain ketika solat berjamaah.

Gambar hiasan
Was-was ketika solat bukan sahaja menyusahkan diri bahkan menganggu solat para jamaah yang lain.

Sebenarya was-was merupakan diantara godaan dan tipu daya syaitan terhadap manusia. Semakin teruk sikap was-was kita dalam beribadah, maka semakin berjayalah syaitan yang dilaknat itu.



Keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan (Al-yaqiinu la yuzaalu bisy syak)

Perasaan was-was tidak boleh dijadikan alasan membatalkan perkara yang diyakini. Contohnya, Nabi Muhammad saw semasa menjelaskan berhubung dengan seorang lelaki yang tidak pasti sama ada wuduknya sudah terbatal ataupun tidak bersabda:
”Apabila salah seorang antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu ataupun tidak janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi (kentut) ataupun menghidu baunya”. Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi.

 Ia menunjukkan keraguan tentang batalnya wuduk tidak perlu dilayani kerana keraguan bukanlah perkara yang diyakinkan. Demikian juga hukumnya apabila berpindah ke rumah baru. Oleh kerana kita tidak meyakini rumah itu sudah dikotori najis, rumah itu tidak perlu dibasuh atau disamak walaupun kita mengetahui rumah itu didiami oleh orang bukan Islam sebelum ini. Bagi orang yang terjaga daripada tidur dan merasakan dia bermimpi sehingga terkeluar air mani, sedangkan tidak terdapat tanda-tanda air mani di badan dan pakaiannya, dia tidak perlu mandi wajib. (Dr. Danial Zainal Abidin. Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden Edisi Kedua. Pahang. PTS Pub.& Distr. Sdn. Bhd. m/s 49)



Was-was adalah godaan dan tipudaya syaitan untuk merosakkan manusia.

Menurut Imam Ibn-Qayyim sesungguhnya orang yang was-was sedar atau tidak, mereka telah mengikuti syaitan. Menurut beliau lagi, orang-orang yang sudah dikuasai oleh iblis, mereka seperti kerbau yang dicucuk hidungnya. Mereka menuruti apa sahaja kemahuan iblis. Malah mereka mirip orang gila. Atau mirip pengikut Sophistis, iaitu orang-orang yang mengingkari kebenaran suatu yang nyata dan yang dapat dilihat. Pengetahuan seseorang terhadap keadaan dirinya sendiri adalah termasuk hal-hal yang konkrit. Seseorang membasuh angota tubuhnya disaksikan mata kepalanya sendiri. Dia melakukan takbir dan membaca sendiri bacaan dengan mulutnya, didengar oleh kedua telinganya sendiri dan diketahui secara yakin, malahan orang lain pun kadang kala ikut mengetahuinya, tetapi dia ternyata masih mahu menerima bisikan serta ucapan syaitan bahawa dirinya belum melakukan niat untuk solat. Betapa ingkarnya dia terhadap penglihatanya sendiri, dan betapa keras kepalanya dia terhadap keyakinan dirinya sendiri. Dia adalah orang yang kebingungan.....Semua ini kerana terlampau taat kepada iblis dan pengikut rasa was-wasnya. Kemudian orang yang was-was juga menerima begitu sahaja ucapan iblis sekalipun menyeksa jiwa dan menyusahkan raganya. (Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 47)



Contoh was-was

Berlebih-lebihan mengunakan air ketika berwuduk merupakan salah satu sikap was-was yang wajib dijauhi. Kita sering melihat gelagat sesetengah individu yang membuka paip air dengan begitu kuat untuk berwuduk seolah-olah seperti hendak mandi. Hal ini adalah satu pembaziran air yang sangat tidak digalakkan hasil daripada penyakit was-was sedangankan air yang sedikit sudah mencukupi untuk berwuduk.

 Imam Ibn Qayyim membawakan beberapa hadis bagi menyokong perkara ini. Di dalam Musnad Imam Ahmad, dinyatakan sebuah hadis riwayat Abdullah bin Umar (yang bermaksud):
”Sesungguhnya Rasulullah saw mendapati Saad sedang berwuduk. Baginda bersabda: Jangan berlebih-lebihan! Saad bertanya: Ya Rasulullah, adakah yang namanya berlebih-lebihan dalam masalah air? Rasulullah menjawab: Ya. Kalau kamu berada di sungai yang mengalir”.

Didalam Jami Imam Tarmizi, hadis daripada Ubai bin Kaab, sesungguhnya Nabi saw bersabda (maksudnya):
 Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang menganggu) yang bernama Walhan. Maka jauhilah was-was air!” Menurut penterjemah kitab, hadis ini merupakan ucapan seorang sahabat.
(Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 63)

Lihatlah di sungai yang mengalir sekalipun Nabi saw mendidik sahabat ra untuk tidak berlebih-lebihan apatah lagi pada masa kini dimana kita membuka paip air secara deras untuk berwuduk dan banyak air dibazirkan dengan penuh kesia-siaan. Islam menentang pembaziran. Bukalah paip air secara perlahan sekadar cukup untuk mengalirkan air ke  angota  wuduk dan segera menutup paip ketika air tidak diperlukan. 

Firman ALLAH saw maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan" (Al-Isra:27)

Jangan membazir dan jauhi was-was.
Botol air sekecil inipun (lebih kurang 600ml) sudah lebih daripada mencukupi untuk berwuduk. Jadi tidak perlu membazir air.

Kesimpulanya, janganlah kita menyusahkan diri dengan mengikut kehendak syaitan yang sentiasa bercita-cita menyesatkan umat manusia. Marilah sama-sama kita menjauhi sikap was-was yang merosakkan ini demi menghayati keindahan Islam yang sebenar. Islam itu mudah, syariat Islam dikurniakan ALLAH swt untuk kebaikan manusia sejagat bukan untuk menyusahkan mereka. 


ALLAH swt berfirman maksudnya:
“DIA sekali-kali tidak  menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. al-Hajj: 78


JAUHI SIKAP WAS-WAS YANG MEYUSAHKAN HIDUP ANDA.......


abu umair 23.10.11

Sunday 23 October 2011

APA NASIB LIBYA SELEPAS INI?



Apa nasib Libya selepas ini???. Sebuah negara umat Islam yang kaya dengan minyak dan penduduknya terdiri daripada berbagai suku kabilah. 

Ada yang mengatakan mereka akan bergaduh sesama sendiri untuk mengangkat  kabilah masing-masing ke tampuk pemerintahan. Ada pula yang mengatakan Negara ini bakal dipergunakan oleh pemerintah jahat Amarika dan sekutu jahat Amarika bagi merebut hasil minyak yang melimpah di Libya.

Saya katakan hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui nasib saudara kita di Libya dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Saya berharap mudahan Libya tidak menjadi pak turut Amarika dan sekutunya walaupun tidak menafikan kebanyakkan negara yang menggulingkan pemerintah kuku besi mereka dengan bantuan Kuffar terpaksa juga meminta batuan Kuffar tersebut untuk membina negara baru. Saya doakan perkara ini tidak berlaku di Libya.

Saya doakan umat Islam Libya dan seluruh negara Islam dapat hidup dengan aman dan harmoni serta hukum ALLAH swt yang Maha Adil dapat ditegakkan. Saya tidak mahu berbicara lagi mengenai kezaliman bekas pemeritah Libya yang telah dibunuh dan keadaan di sana kerana saya tidak berada di sana. Hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui nasib hambaNYA di akhirat kelak.

 Banyak pengajaran yang boleh kita dapat daripada peristiwa  yang melanda negara Islam seperti Libya, Mesir dan lain-lain. Mudahan ianya dijadikan ikhtibar untuk meningkatkan lagi tahap keimaan kita serta mendorong kita kembali berpegang teguh kepada tali ALLAH swt.

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) ALLAH, dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali' Imran:103).

Sedikit informasi mengenai Libya.

Libya atau rasminya Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya (bahasa Arab: ليبيا, yang diartikan ke dalam bahasa Libya Lībyā atau الجماهيرية العربية الليبية الشعبية الإشتراكية) terletak di Afrika Utara, berbatasan dengan Laut Tengah, Mesir di sebelah timur, Sudan di tenggara, Chad danNiger di selatan serta Aljazair dan Tunisia di sebelah barat. Ibu kota negaranya adalah Tripoli. Bilangan penduduk Libya hampir mencecah 6 juta orang tetapi dianggap sebagai sedikit jikalau dibandingkan keluasan negaranya yang amat luas sehingga dikira sebagai negara ke-17 terbesar di dunia.
Nama "Libya" berasal daripada bahasa Mesir iaitu "Lebu", yang merupakan sebutan bagi orang-orang Berber yang tinggal di sebelah barat Sungai Nil, dan dipinjam oleh bahasa Yunanisebagai "Libya". Pada zaman Yunani kuno, istilah ini mempunyai erti yang lebih luas, yang mencakupi seluruh Afrika Utara di sebelah barat Mesir, dan kadang-kadang juga ditujukan untuk seluruh benua Afrika.
Libya adalah sebuah kerajaan yang didirikan pada 24 Disember 1951Raja Idris I bertindak sebagai pemimpin pemerintahan. Itali telah mencuba untuk merebut Libya dari Turki dan menjadikannya wilayah jajahan. Tetapi, negara yang berbatasan dengan Laut Tengah ini mendapat kemerdekaan dan kebebasan setelah Itali menyerah kalah kepada Sekutu dalamPerang Dunia Kedua.
Pada 2011,Libya terjebak dalam Perang Saudara akibat daripada tempias Revolusi Arab 2011 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Tunisia pimpinan Zine El Abidine Ben Ali dan Mesir,pimpinan Hosni Mubarak.Pada 27 Februari 2011,Pihak Pro-Demokrasi mengisytiharkan penubuhan Kerajaan Sementara Libya yang dinamakan Majlis Peralihan Nasional(National Transitional Council,المجلس الوطني الإنتقالي, al-majlis al-waṭanī al-'intiqālī),yang dipimpin oleh Mustafa Abdul Jalil,bekas Menteri Kehakiman Libya yang telah berpaling tadah dari Kerajaan Jamahiriya pimpinan Gaddafi.
Kolonel Muammar Muhammad al-Gaddafi (Arabمُعَمَّر القَذَّافِي‎ Muʿammar al-Qaḏḏāfī (lahir 7 Jun 1942- 20 Oktober 2011) adalah seorang pemimpin politik dan revolusi Libya. Beliau telah menjadi Presiden Libya semenjak menggulingkan Raja Idrisdalam rampasan kuasa tak berdarah pada 1969 dan menjadi pengasas Republik Sosialis Arab Libya.. Tempoh pemerintahan yang kini hampir mencecah 42 tahun membuatkan beliau antara pemimpin terlama memerintah dalam sejarah.
Ideologi Gaddafi dipanggil Teori Antarabangsa Ketiga dan dihuraikan dalam Buku Hijau. Buku ini disebar ke seluruh dunia secara percuma. Gaddafi dikatakan pernah menaja beberapa kumpulan pemberontak termasuk Gerakan Moro di selatan Filipina. Enam hari selepas Amerika berjaya menangkap Saddam Hussein , Gaddafi berikrar memusnahkan senjata pemusnah WMD. Ekoran komitmen itu, pada 15 Mei 2006, Setiausaha AS, Condoleezza Rice mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik AS-Libya.


Pada awal Februari 2011, bantahan politik besar, yang didorong bantahan di TunisiaMesirdan bahagian lain dunia Arab, meletus di Libya menentang kerajaan Gaddafi dan dengan cepat bertukar menjadi perang saudara. Gaddafi berikrar "mati syahid" jika perlu dalam perjuangannya menentang pemberontak dan kuasa luar, menyatakan yang mereka yang memberontak terhadap kerajaannya berhak mati. Pada 17 Mei 2011 Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan permohonan waran tangkap terhadap Gaddafi atas sebab jenayah terhadap kemanusiaan; pada 27 Jun, permohonan ini diterima dan waran dikeluarkan terhadap Gaddafi dan anaknya Saif al-Islam.



Pada Ogos 2011, Gaddafi terus diburu oleh pemberontak tetapi beliau dan tujuh anak lelakinya berjaya melarikan diri.Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011, Gaddafi berjaya dikesan di kampung asalnya di Sirte dan berjaya ditembak mati.

 abu umair 22/10/11









Saturday 15 October 2011

TIADA AKTA UNTUK MEMBENDUNG KEGIATAN MENGHIDU GAM DI NEGARA KITA???

Sungguh terkejut bercampur sedih apabila saya membaca akhbar Harian Metro hari ini 15 Oktober 2011. Bukan terkejut membaca kisah sensasi atau gosip artis yang langsung tidak berfaedah tetapi kerana berita di bawah ini.



Keratan akhbar di atas membicarakan mengenai keprihatinan seorang wanita yang terserempak dengan beberapa remaja termasuk seorang remaja wanita sedang asyik menghidu gam di kawasan umum. Wanita prihatin tersebut lantas ke balai polis untuk membuat laporan terhadap kejadian tersebut barangkali atas kesedaran yang tinggi terhadap masa depan negara yang melahirkan remaja seperti ini.

Alangkah terkejut biawaknya saya apabila membaca kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik bahawa pihak polis tidak mempunyai akta untuk menahan individu yang terlibat dalam menghidu gam. Benarkah tiada akhta? Jika benar, ianya amat mendukacitakan.

Dimanakah keprihatinan pihak berkuasa, pemerintah termasuk pembangkang dalam membendung gejala sosial yang semakin serius melanda remaja kita pada masa kini?

Sungguh menghairankan kerana pihak polis mempunyai akta menahan mana-mana individu yang hanya memakai baju kuning tertera perkataan BERSIH tetapi tidak pula mempunyai akta menahan mereka yang menghidu gam. Adakah memakai baju berwarna kuning lebih merbahaya daripada menghidu gam?

Dimana usaha kita untuk membendung gejala yang merbahaya ini? Kenapa tiada akhta sedangkan terbukti gejala menghidu gam ini sangat merbahaya setaraf dadah. Saya sendiri pernah mempunyai seorang rakan yang telah meningal dunia kesan daripada menghidu gam serta pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang menjadi gila kesan menghidu gam.




Sepatutnya gejala menghidu gam ini wajib ditangani dengan lebih serius. Perlu ada akta yang lebih berkesan. Pendidikan awal di sekolah mengenai gejala yang merbahaya ini perlu lebih efektif. Ibu bapa dan masyarakat perlu lebih prihatin. Perlu ada peraturan ketat bagi mengawal pembelian gam yang digunakan untuk tujuan berkhayal seperti usaha mengawal pembelian asid agar ianya tidak disalah gunakan.

Wahai pihak pemeritah dan pembangkang yang saya hormati, janganlah asyik berbalah sesama sendiri sebaliknya bukalah mata anda sama. Lihatlah keadaan anak-anak muda kita yang semakin merudum akhlak mereka. Merekalah harapan agama dan negara. Merekalah pencorak masa depan Negara. Rosak mereka, terjejaslah negara.

Gejala keruntuhan moral seperti rempit, buang bayi, pergaulan bebas, rogol, dadah, meghidu gam, dan bermacam-macam lagi yang melanda remaja nampaknya seolah tiada titik noktah. Sungguh merunsingkan.

Saya menyeru kepada diri sendiri, ibubapa, masyarakat, pihak berkuasa, pemerintah dan pembangkang agar lebih serius dalam menghadapi dan membendung gejala tidak bermoral remaja. Semua kita bertanggungjawab dalam melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia dan perkara ini sangat penting.

Kepada para remaja, janganlah melibatkan diri dalam perkara yag boleh merosakkan diri dan orang-orang di sekeliling anda. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Takutlah kepada ALLAH swt. Jangan menjadi sampah masyarakat sebaliknya jadilah remaja contoh yang berakhlak tinggi. Muliakanlah diri anda dengan Islam.

"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik".
( Surah al.Baqarah,2:195).



Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(Surah At.Tahrim: 6 )



Abu umair 15.09.2011

Saturday 24 September 2011

BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM MENDEKATKAN DIRI KE SYURGA.


Gambar di atas menunjukkan seorang anak yatim sedang meminta derma kepada orang ramai di sebuah restoran sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kebetulan ketika itu saya sedang menjamu selera di restoran tersebut  bersama isteri lebih kurang jam 7.00 petang 28 Julai 2011.

Dengan wajah lesu yang jelas mengambarkan keletihan, anak yatim tersebut menghampiri saya menghulurkan sebotol minuman herba yang tidak pernah saya lihat sebelum ini untuk dijual. Saya menolak daripada membeli atas sebab tertentu dengan mengunakan nada yang lembut kerana kasihan melihat kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak tersebut meminta derma untuk sebuah Tahfiz yang terletak di Kedah.

Ini bukanlah kali pertama kanak-kanak sekecil ini menghampiri saya untuk meminta derma atau menjual barang atas alasan ianya akan disalurkan ke sebuah Tahfiz di Kedah dan saya yakin para pembaca turut pernah melalui pengalam ini.

Patutkah kanak-kanak sekecil ini diperalatkan oleh sesetengah pihak untuk menjual barang atau meminta derma ke sana ke mari seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa?. Bagaimana pula dengan faktor keselamatan kanak-kanak tersebut yang saya jangkakan hanya seawal usia 9-10 tahun? Tidakkah kanak-kanak sekecil ini berisiko tinggi untuk diculik, disamun atau dilangar kenderaan? (Mudahan ALLAH swt melindungi kanak-kanak tersebut dari segala bahaya dan keburukan)

Bagaimana pula dengan persekolahan kanak-kanak tersebut? Adakah anak yatim ini bersekolah sedangkan dia sibuk berjalan mengutip derma dan menjual barang?. Ya jika dia bersekolah sekalipun tidak kasihankah kita kepadanya setelah keletihan belajar di sekolah terpaksa pula menjual barang dan mengutip derma diwaktu petang sehingga keadaan hampir senja masih sibuk mengutip derma. Patutkah mereka memperlakukan insan kecil ini sedemikian rupa? Pukul berapa kanak-kanak ini akan diambil pulang ke asramanya? Pukul berapa dia hendak mengulang kaji pelajaran? Pukul berapa pula dia hendak tidur?

Sepatutnya waktu usia sekecil ini diluangkan untuk belajar, bermain, berseronok dan berehat seperti kanak-kanak normal yang lain bukan berjalan ke sana ke mari untuk meminta derma. Hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui berapa lama dan sejauh mana anak yatim ini berjalan meminta derma. Kita sebagai ibubapa tentu tidak sanggup melihat anak kita berkeadaan sebegini.

Lebih menyakitkan hati lagi apabila ada pelangan yang tergamak menengking dan memarahi anak yatim tersebut apabila dia menghampiri  mereka. Tentu emosi kanak-kanak tersebut akan terjejas dengan layanan buruk diterimanya sedangkan dia tidak melakukan sebarang dosa. Jika kita, sanggupkah kita melihat anak kita diperlakukan sedemikian rupa? Jika tidak mahu membeli atau menderma itu hak masing-masing, tetapi janganlah sampai menengking dan memarahi anak yatim yang tidak bersalah ini.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya” (Ad-Dhuha : 9)
“Tahukah kamu orang yang mendustakan Agama, itulah orang yang menghardik anak  yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin. “ (Al-ma’un : 1-3)

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH menyukai sifat lemah lembut pada setiap perkara. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Janganlah mengharapkan kanak-kanak sahaja menghormati orang dewasa sedangkan orang dewasa juga hendaklah menghormati kanak-kanak. Jangan buat kanak-kanak seperti insan yang tidak mempunyai nilai sebaliknya kasihanilah mereka. Lihatlah akhlak Nabi saw yang sentiasa mengasihi kanak-kanak lebih-lebih lagi anak yatim. Kita sepatutnya mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw dengan melayan kanak-kanak secara baik.

Sebuah Hadis menyebut (maksudnya):
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan didekatnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah S.A.W. segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham(barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi) (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Gambar hiasan.

Kemana perginya pihak pengurusan Tahfiz yang mempergunakan anak yatim seperti ini meminta derma? Adakah wang derma tersebut benar-benar disalurkan kepada Tahfiz anak yatim?. Ya kita bersangka baik tetapi sepatutnya pihak pengurusan Tahfiz itu sendirilah yang patut berusaha mengumpul dana bagi menjalankan operasi Tahfiz mereka bukan mempergunakan kanak-kanak kecil seperti ini untuk berjalan meminta derma.

Saya memuji sebuah Tahfiz anak yatim bertempat di Kajang dimana pengurusnya sendiri menjalankan berbagai jenis perniagaan dan keuntungan daripada perniagaan tersebut berserta sumbangan orang ramai disalurkan kepada Tahfiznya untuk kebajikan anak yatim yang berlindung di situ. Inilah pengurus rumah anak yatim yang bertanggungjawab dan berjiwa murni. Inilah cara yang sepatutnya dan bukan dengan cara mempergunakan anak yatim yang masih kecil mengutip derma  menagih simpati masyarakat.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga ‘begini’. ” Rasulullah mengatakan demikian sambil menunjukkan dua jariya iaitu jari telunjuk dan jari tengah. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Saya menyeru kepada pihak berwajib dan individu yang berkemampuan agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan sesetengah pihak yang mempergunakan  anak yatim sebagai buruh menjual barang dan meminta derma. Kebajikan anak yatim wajib dijaga agar mereka tidak diperlakukan sewenang-wenangnya.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kualiti diri. Marilah kita berbuat baik kepada anak yatim kerana ianya sangat dituntut oleh Islam. Marilah kita mengasihi kanak-kanak lebih lagi anak yatim dan janganlah kita sebagai Muslim dewasa memperlakukan mereka dengan sewenang-wenangnya. Cukuplah kesengsaraan dilalui anak yatim akibat kehilangan kasih sayang ibu atau bapa atau kedua-duanya dalam usia yang masih kecil. Marilah kita menjadi muslim yang berjantung hati mulia dengan mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw yang kita kasihi. Wallahu’alam.

Sabda Nabi saw maksudya:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik. (Hadis Riwayat Ahmad)

Firman ALLAH swt maksudnya:
 Dan hendaklah  kamu beribadat  kepada Allah dan    janganlah kamu  sekutukan Dia  dengan sesuatu  apa jua dan  hendaklah kamu  berbuat baik  kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”  (An-Nisaa:36)

Gambar hiasan

BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM MENDEKATKAN DIRI KITA KE SYURGA!

MARILAH KITA BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM WALAUPUN HANYA SEKADAR MENGUSAP KEPALA MEREKA DENGAN PENUH KASIH SAYANG.


Abu umair 18/9/11