Friday 19 August 2011

ANAK MELAYU TIDAK PANDAI ATAU TERLEBIH PANDAI BERMAIN MERCUN?

Gambar hiasan


Saban tahun apabila tiba Bulan Ramadhan akan kedengaran berita-berita sedih menimpa anak-anak kecil Muslim. Ada yang putus jari, melecur muka dan ada juga cedera parah serta tak lupa juga kebakaran yang melanda. Segalanya bukanlah berpunca daripada peperangan tetapi berpunca dari sejenis objek bernama mercun.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa anak Melayu sahaja yang sering cedera bermain mercun tetapi anak Cina bukan Muslim dimana bermain mercun merupakan budaya mereka tetapi hampir tidak pernah kedengaran ada diantara anak-anak mereka yang cedera akibat bermain mercun.

Kenapa ini terjadi? Adakah anak Melayu tidak pandai bermain mercun ataupun terlebih pandai bermain mercun?

Saya berpendapat gejala ini merupakan satu lagi masalah yang tidak patut berlaku dikalangan umat Islam selain gejala buang/bunuh bayi yang tidak berdosa, penyalah gunaan dadah, lumba haram, haruan makan anak dan sebagainya. Sungguh menyedihkan. Inilah akibatnya apabila umat Islam semakin jauh daripada Islam dan semakin meninggalkan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Berbalik kepada gejala bermain mercun tadi. Islam merupakan agama benar yang menyediakan penyelesaan kepada segala aspek kehidupan kita. Jadi apabila kita berpegang teguh dengan Islam, maka gejala-gejala yang menyedihkan seperti ini tidak akan berlaku dikalangan kita InsyaALLAH.

Penekanan mengenai bahaya mercun ini hendaklah bermula dari rumah lagi dan seterusnya diikuti di peringkat sekolah. Ibu bapa hendaklah memantau aktiviti anak mereka dengan lebih serius dan berulang-ulang kali menasihati serta berpesan kepada mereka agar tidak bermain mercun sehingga membahayakan diri. Janganlah pula ibu bapa menjadi pendorong anak-anak mereka bermain mercun. Jika berlaku sesuatu yang buruk, sesalan tidak berguna lagi. Islam mengharamkan umatnya mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan seperti Firman ALLAH swt maksudnya:
"Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

BAHAYA!. Didiklah anak anda untuk tidak bermain mercun.

Pihak berkuasa juga telah mengharamkan mercun jadi kita wajib mengikuti arahan yang membawa kepada kebaikan ini. Janganlah pula kita membuatkan tauke-tauke mercun haram menjadi kaya dengan sokongan kita dan sekali gus memberi mudharat kepada anak-anak. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika ada individu yang menjual mercun haram yang merbahaya ini.

Pemantauan yang lebih serius juga hendaklah dilakukan terutama sekali di kampung-kampung agar kanak-kanak tidak bermain mercun buatan sendiri kerana ianya amat merbahaya. Organisasi penduduk seperti persatuan penduduk dan rukun tetanga boleh membuat rondaan di lokasi-lokasi tertentu bagi membenteras gejala bermain mercun seperti meriam buluh yang sememangnya berbahaya. Berkreatiflah dalam perkara yang baik jangan berkreatif dalam perkara yang merosakkan.

Umat Islam juga hendaklah sentiasa ambil berat dan nasihat menasihati  diantara satu sama lain agar perkara-perkara yang buruk dapat dielakan. Tetapi amatlah malang kerana budaya nasihat menasihati ini semakin terhakis dikalangan masyarakat kerana sikap tidak ambil peduli kita serta sikap pantang dinasihat sesetengah daripada kita sedangkan agama Islam merupakan agama nasihat seperti Hadis Nabi saw maksudnya:
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya." (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita mencegah gejala bermain mercun haram yang merbahaya dikalangan umat Islam di negara ini. Saya amat malu dan sedih apabila ada Non Muslim bertanya kenapa  anak-anak melayu ramai yang putus jari muka melecur dan sebagainya sedangkan anak-anak mereka tidak mengalami nasib yang sama di musim perayaan mereka.

Gambar hiasan

Jika hendak bermain juga pilihlah mercun yang tidak merbahaya seperti bunga api tetapi bagi pendapat saya lebih baik dielakan terus. Janganlah Aidilfitri yang sepatutnya merupakan hari untuk kita bergembira tiba-tiba menjadi suram dan sedih bahana mercun haram. Wallahu’alam.

Abu umair 20.8.11

BERSAMA MEMBENTERAS MERCUN HARAM!

KATAKAN TIDAK KEPADA MERCUN HARAM!

No comments:

Post a Comment