Saturday 2 July 2011

SYUKUR ALHAMDULILLAH, ADA INSAN DISISI DIKALA JIWA INI GUNDAH GULANA.

Gambar hiasan.
Baru-baru ini, aku ditimpa suatu dugaan yang membuatkan diri ini sedih dan tertekan.  Dugaan yang menyebabkan diri ku tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas ini. Jiwa tertekan dengan ketidak pastian ini. Kepada ALLAH jualah aku mengadu.

Tiba-tiba teringat akan nasihat sahabatku, insan yang mendedikasikan hidupnya di dalam dakwah Islamiyah, Beberapa hari yang lepas, Aku bertemu beliau di Masjid Kapitan Keling. Ketika itu beliau berbicara tentang dugaan dan tawakkal kepada ALLAH swt seolah-olah beliau tahu diriku bakal diuji tetapi pada hakikatnya beliau tidak tahu hanya ALLAH swt sahaja yang tahu.

Lalu aku berdoa kepada ALLAH swt dan meningkatkan bilangan Istighfar di bibir ku yang hanya meningkat bilangannya apabila dugaan melanda. Mungkin itulah hakikat insan. Aku cuba membulatkan jantung hatiku dengan bertawakal kepada ALLAH swt dengan sebulat-bulatnya. Alhamdulillah jiwa ini terasa tenang kembali.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).

Aku khabarkan berita duka yang membelengu jiwa kepada insan yang amat berjasa dalam hidup ini yang dikurniakan oleh ALLAH swt iaitu ibubapa tercinta. Ternyata mereka terus memberi semangat dan mengambil berat tentang ku walaupun diri ini sudah menjangkau usia 30an. Jasa mereka tidak akan ku lupakan dan tidak mampu ku balas. Kepada MU ya ALLAH ku berdoa dan bersyukur kerana dikurniakan ibubapa yang sentiasa memberi semagat bagi meneruskan perjuagan hidup.

Ku menunggu masa yang sesuai sebelum megkhabarkan masalah ku kepada isteri kerana tidak mahu beliau risau ketika dalam keadaan berbadan dua ini. Tetapi ajaibnya beliau seolah-olah dapat membaca perasaan ku yang sedang gundah gulana lalu menegur. Akhirnya ku ceritakan segalanya. Hanyalah kata-kata semagat dan sokongan yang terbit dari mulutnya menambahkan lagi kekuatan dalaman ku. Paling memberi kesan di dalam jantung hati ini apabila beliau memperingatkan ku tentang sepotong ayat Al Quran yang sedia terjemah berbunyi:

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).

Terasa tenang apabila membaca ayat ALLAH ini. Syukur  Alhamdulillah! ALLAH swt telah mengurniakan kepada ku seorang isteri solehah yang menjadi penyejuk jiwa.

Syukur Alhamdulillah adik-beradik ku juga memberi sokongan dan berdoa untuk ku. Rakan yang mengetahui turut memberi kata-kata semangat. Semuanya kurniaan ALLAH swt kepada ku.

Gambar hiasan
Dugaan mematangkan insan dan membuatkan insan yang lemah ini lebih dekat dengan ALLAH swt. Dugaan juga membuatkan kita sedar akan diri ini dan sedar akan kesilapan diri serta lebih bermuhasabah diri, memperbaiki diri kearah menjadi insan yang lebih bertakwa kepada ALLAH swt.


Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Akhirnya ALLAH swt telah meringankan beban di jiwa ini. ALLAH swt telah memudahkan urusan ku dan meringankan masalah yang dihadapi. Aku sedar segalanya adalah rahmat ALLAH swt. Siapalah aku tanpa rahmat-NYA. Kini satu demi satu masalah yang ku hadapi dapat diselesaikan.


Kadang kala insan lalai dalam mengingati ALLAH swt. Namun ALLAH swt tidak pernah melupai hambanya. DIA mecampakkan sedikit kesusahan bagi mengangkat martabat hambanya yang sabar menempuh dugaan. DIA mencuci dosa-dosa hamba-NYA didalam dugaan tersebut. Itulah kasih sayang ALLAH swt, Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Sabda Nabi saw maksudnya:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”.

Aku sedar ketika sesuatu kesusahan menimpa insan, tiada siapapun yang mampu mengeluarkannya kecuali ALLAH swt. Hanya ALLAH swt jualah yang dapat menyelamatkan dan melindungi insan daripada musibah. Oleh itu kepada ALLAH swt jualah tempat kita meminta segala-galanya dan kepada-NYA sahajalah tempat jantung hati kita membulatkan tawakkal. DIAlah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).
Setelah berusaha, Berdoalah kepada ALLAH swt dan bertawakal kepada-NYA

abu umair 1.7.2011

1 comment:

  1. bertuah mempunyai seorang zaujah penyejuk jantung hati

    ReplyDelete