Thursday 7 July 2011

SIAPA YANG WAJIB BERDAKWAH? ANDA, SAYA ATAU USTAZ?


Ramai yang memberi  alasan tidak mahu berdakwah kerana kurang ilmu, malu, tidak ada masa dan bermacam-macam lagi. Ada pula yang menyangka bahawa mereka dikecualikan daripada berdakwah dan hanya insan yang bergelar ustaz sahaja yang diwajibkan berdakwah.

Benarkah begitu?

Sebenarnya tugas dakwah ini tidak terbatas kepada para ustaz sahaja. Ia bukanlah suatu tugas eksklusif dimana hanya individu terpilih sahaja diwajibkan melakukannya. Hakikatnya tugas berdakwah ini diwajibkan kepada setiap Muslim mukallaf tidak kira apa jua latar belakang mereka. Firman ALLAH swt maksudnya:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. sesungguhnya Tuhanmu DIAlah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-NYA dan DIAlah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (an-nahl : 125)

Dakwah ini luas dan tidak mempunyai suatu kaedah atau cara yang spesifik. Seseorang individu boleh berdakwah mengunakan cara dan gaya tersendiri selagi mana tidak bercangah dengan Al Quran dan Sunnah.

Tidak semestinya dakwah itu dimulakan dengan bacaan ayat Al Quran dan Hadis kepada Non Muslim. Kita hendaklah melihat kepada suasana dan keadaan.

Contohnya jika berhadapan dengan orang asli di perkampungan mereka. Saya berpendapat bahawa tidaklah sesuai jika pertemuan pertama terus dimulakan dengan perbicaraan mengenai Islam. Kelak mereka akan lari dan tidak mahu mendekati kita. Kita hendaklah mecari jalan bagaimana hendak medekatkan diri dengan mereka dan sekali gus mengambil hati mereka. Ini kerana apabila mereka sudah menyukai kita, maka mesej dakwah lebih mudah disampaikan.

Inilah yang dilakukan oleh seorang insan yang amat saya kagumi dengan usaha dakwah beliau yang tidak pernah kenal jemu. Beliau adalah Ustaz Wahab pengasas Muhammadiyah Internasional. Saya pernah sekali mengikuti beliau menziarahi perkampungan orang asli yang dikatakan beragama Bahai di atas bukit berdekatan Sungai Siput, Perak.

Saya lihat cara yang beliau gunakan bagi mengambil hati mereka amat mudah iaitu tingal seketika di perkampungan mereka, masak di situ dan menjamu mereka makan, memberi hadiah kepada mereka berupa makanan segera, minuman ringan dan pakaian. Cara ini menyebabkan orang asli di kampung tersebut mula mesra dengan kami dan mula mendekati kami. Ada yang duduk bersembang dan ada juga yang membantu kami memasak.

Setelah kemesraan berputik barulah mesej dakwah disampaikan. Mesej dakwah tidak perlu disampaikan secara tergesa-gesa. Kadang kala perlu berulang alik ke sebuah kampung lebih daripada tiga kali barulah mesej dakwah disampaikan secara perlahan-lahan dengan cara yang mudah difahami.

Program dakwah Muhammadiyah Internasional yang sentiasa padat sepanjang tahun.
Pengalaman berharga. Dakwah orang asli bersama Muhammadiyah Internasional pada bulan Mei 2010.

Bayangkan betapa besarnya jasa Ustaz Wahab dan team beliau apabila Berjaya mengislamkan ramai orang asli dan bukan asli di berbagai tempat termasuk di luar negara. Beliau telah berdakwah di sebuah perkampungan orang asli berdekatan Guar Musang, Kelantan bermula sekitar awal tahun 90an. Ketika itu tiada seorangpun yang beragama Islam di kampung tersebut. Tetapi kini Alhamdulillah 99% daripada penduduk kampung tersebut telah memeluk Islam. Mudahan ALLAH memberkati Ustaz Wahab dan team beliau.

Tidak dinafikan bahawa usaha dakwah Ustaz Wahab amat memerlukan sokongan kewangan yang tinggi memandangkan kos yang tinggi terpaksa ditanggung. Oleh itu saya menyeru kepada para pembaca yang budiman agar dapat membantu usaha dakwah menyeru ke jalan ALLAH swt ini dengan menyalurkan sumbangan anda melalui akaun Muhammadiyah international - 07010001670712 "BANK MUAMALAT. Sila hubungi/SMS Ustaz Abdul Wahab di no 0134070100 untuk pengesahan sumbangan.

Mungkin ramai yang mengeluh kerana tidak mampu berdakwah seperti Ustaz Wahab tetapi mereka tidak sedar bahawa dakwah ini boleh dilakukan dimana-mana sahaja seperti di universiti tempat kita belajar, dan di pejabat tempat kita bertugas. Mulakanlah dengan senyuman, sopan santun dan menonjolkan akhlak Islam yang mulia sehingga membuatkan Non Muslim mudah dan selesa mendekati kita dan cara ini tidak memerlukan ilmu agama yang tinggi.

Kita boleh mencari masa dan keadaan yang sesuai untuk menyampaikan mesej Islam setakat kemampuan dengan ilmu yang kita ada contohnya membacakan Surah Al Ikhlas dan menerangkan terjemahannya dengan sedikit huraian serta penjelasan kepada mereka seperti yang dilakukan oleh seorang rakan saya ketika beliau berdakwah di Batu Fringhi, Pulau Pinang.

Dakwah di Batu Fringhi, Pulau Pinang

Jika mereka bertanyakan soalan yang tidak mampu dijawab, mintalah tempoh kepada mereka agar anda boleh merujuk kepada ahli Ilmu atau buku terlebih dahulu ataupun boleh juga membawa mereka terus berjumpa dengan ahli ilmu yang mahir tentang dakwah Non Muslim.

Anda juga boleh menceritakan tentang penemuan-penemuan sains terkini yang baru ditemui mengunakan teknologi canggih sedangkan sudah disebut dalam Al Quran lebih 1400 tahun yang lalu seperti teori Big Beng dan sebagainya. Bagaimana Nabi Muhammad saw boleh mengetahui hal-hal saintifik sebegini sedangkan Baginda tinggal di padang pasir yang tidak mempunyai sebarang teknologi canggih lebih 1400 tahun yang lalu. Inilah antara bukti wahyu ALLAH swt. Inilah antara tanda-tanda kebenaran Islam. saya ada menyediakan beberapa contoh penemuan sains ini di Blog saya dibawah label: Keajaiban Al Quran dan akan terus meng update dengan artikel-artikel baru dibawah tajuk ini dari masa ke semasa InsyaALLAH.

 Antara buku yang membicarakan mengenai Al Quran dan sains moden. Boleh juga dijadikan sebagai bahan dakwah.

Selain daripada itu, anda boleh memberikan mereka DVD ceramah yang bersesuaian secara percuma sebagai bahan dakwah seperti ceramah Sheikh Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik dan Sheikh Khalid Yasin. Kita juga boleh memberi mereka terjemahan Al Quran dan buku-buku serta risalah mengenai Islam secara percuma. Jika di Pulau Pinang, bahan dakwah ini boleh didapati di Masjid Kapitan Keling (Pusat dakwah Islamic Propagation Society International (IPSI) Malaysia yang terletak di ruang bawah menara masjid tersebut.

Sheikh Yusuf Estis-berdakwah secara berjenaka.
Dr. Zakir Naik-Ribuan hadir mendengar ceramah beliau.
Dr. Bilal Philips-Pendakwah yang banyak menghasilkan buku.
Sheikh Ahmad Deedat rh-Saya angap beliau sebagai  guru kepada pendakwah moden. Amat besar jasa beliau. Semuga ALLAH merahmati ruh beliau.
Dr.Gary Miller-Pakar Matematik dan Tiologi Kristian yang kemudian menjadi Pendakwah Islam yang hebat.
Beliau memeluk Islam setelah mengkaji Al Quran.
Sheikh Khalid Yasin-Cara berdakwah yang menarik

        
Antara buku yang boleh digunakan untuk berdakwah

Islamic Propagation Society International (IPSI) Malaysia merupakan suatu organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif dalam berdakwah kepada Non Muslim tempatan mahupun pelancong. Menurut Presidennya, melalui dakwah di Masjid Kapitan Keling dan lain-lain, ribuan Non Muslim telah diperkenalkan dengan gambaran Islam yang sebenar dan ratusan daripada mereka telah memeluk Islam. Alhamdulillah begitu hebatnya usaha mereka. Mereka juga ada mengedarkan bahan dakwah seperti terjemahan Al Quran dan buku-buku tentang Islam secara percuma kepada Non Muslim.

Projek terbaru IPSI adalah mencetak ribuan naskah terjemahan Al Quran yang menelan belanja puluhan ribu ringgit untuk diedarkan secara percuma kepada Non Muslim. Jadi kita hendaklah menyokong usaha yang amat mulia ini dengan memberi sumbangan kepada mereka dan berdoa untuk mereka.

Sumbang boleh disalurkan melalui akaun Maybank bernombor 557380300023 atas nama persatuan ini. Mereka juga boleh dihubungi melalui nombor telefon 04-2274849. E-Mail: krudin@pc.jaring.my. Laman web: www.ipsi.com.my.

Antara program dakwah IPSI
Dakwah di Masjid Kapitan Keling. Brother Kamarudin(Presiden IPSI) sedang berdakwah  kepada seorang pelancong.
Selain daripada itu IPSI juga banyak menganjurkan kursus-kursus dakwah yang boleh anda ikuti dari masa ke semasa bagi memantapkan diri untuk turun ke lapangan dakwah ini.

Selain daripada IPSI, anda juga boleh mengikuti kursus-kursus dakwah yang dianjurkan oleh Perkim Ampang yang dikelola bersama oleh seorang pendakwah yang saya angap sebagai guru iaitu Brother Lim Jooi Soon. Beliau boleh dihubungi melalui nombor telefon 0123661121 untuk sebarang pertanyaan mengenai kursus dakwah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain negeri.

Brother Lim Jooi Soon merupakan antara pendakwah Islam hebat di Malaysia
Brother Shah Kirit, pendakwah Islam hebat di Malaysia
Sheikh Hussain Yee, pendakwah hebat berasal dari Pulau Pinang  yang kini terkenal di seluruh dunia.

 Berbalik kepada kaedah dakwah yang kita bincangkan tadi, anda juga boleh mengeshorkan kepada Non Muslim agar melayari lam web dakwah yang sesuai seperti berikut utuk mendalami serta menambah pengetahuan tentang Islam:








Kaedah-kaedah dakwah di atas hanyalah cadangan yang saya kemukakan dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, anda boleh mengunakan cara tersendiri untuk berdakwah asalkan cara anda tidak bercanggah dengan Al Quran dan Sunnah serta InsyaALLAH tidak mustahil bahawa cara dakwah anda lebih berkesan. Jangan putus asa untuk menjelaskan kebenaran Islam kepada Non Muslim di sekeliling anda seperti rakan sekolah, rakan sekerja, jiran dan sebagainya.

Setelah kesemua usaha dakwah dilakukan, anda mula mengeluh kerana mereka tetap tidak mahu memeluk Islam. Apa perlu anda lakukan?. Jangan khuatir anda hanya perlu berusaha berdakwah dan berserah diri kepada ALLAH swt kerana urusan hidayah itu adalah hak mutlak ALLAH swt. Kita hendaklah sedar bahawa ada Rasul AS sebelum Muhammad SAW yang berdakwah selama ratusan tahun tetapi amat sedikit mereka yang mengikutinya. Oleh itu teruskan berdakwah dan selebihnya serahkanlah kepada ALLAH swt. Sesungguhnya ALLAH swt Tuhan Yang Maha Kuasa memberi hidayah kepada sesiapapun yang dikehendakki oleh-NYA.

Saya pernah mendengar suara-suara yang mengatakan bahawa kita hendaklah mengutamakan dakwah(islah) kepada umat Islam daripada meyibukkan diri berdakwah kepada Non Muslim. Ini kerana keadaan umat Islam pada masa kini juga agak teruk dengan suasana keruntuhan moral yang melanda. Saya katakan bahawa kenyataan ini adalah salah. Usaha dakwah(islah) sesama umat Islam hendaklah seiringan dengan dakwah kepada Non Muslim. Jangalah keghairahan kita berdakwah kepada umat Islam menyebabakan kita lupa akan tuntutan dakwah kepada Non Muslim dan begitu juga sebaliknya.

Tergamakkah anda untuk terus membiarkan mereka menyembah berhala dengan penuh kesesatan tanpa melakukan apa-apa usaha dakwah kepada mereka? Wajarkah anda membiarkan Non Muslim terus berburuk sangka dan prajudis terhadap Islam tanpa ada apa-apa usaha memperbetulkan salah faham mereka terhadap Islam yang benar ini? Sudah tentu tidak kerana berdakwah kepada Non Muslim juga amat penting begitu juga dengan dakwah(islah) kepada umat Islam.

Bayangkan jika para Sahabat Nabi saw tidak merantau jauh ke wilayah lain untuk berdakwah tentu sekali Islam tidak tersebar ke seluruh pelosok dunia. Jika pedagang Arab, India dan China tidak berdakwah di alam nusantara ini tentu umat melayu masih beragama Hindu sehinga ke hari ini. Jadi umat Islam wajib berdakwah kepada Non Muslim.

Jangan sesekali menghina atau memperlekehkan agama anutan Non Muslim kerana ianya dilarang dan bukan daripada akhlak Islam itu sendiri. Firman ALLAH swt maksudnya:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan …” (Al-An‘aam:108).

Jangan sesekali memaksa mereka memeluk Islam sebaliknya berdakwahlah secara hikmah dan lemah lembut. Firman ALLAH swt maksudnya:
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada ALLAH, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Al Baqarah:256)

Bayangkan jika seluruh umat Islam di Malaysia berganding bahu berdakwah kepada Non Muslim serta berakhlak mulia. Tentu sekali lebih ramai yang akan memeluk Islam.

Akhir kata saya menyeru kepada diri sendiri dan para pembaca marilah sama-sama kita berdakwah kepada Non Muslim agar mereka dapat keluar dari kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran Islam. Ingatlah bahawa kita tidak akan terlepas daripada dipersoal oleh ALLAH swt di akhirat kelak. Marilah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kualiti diri agar berakhlak mulia selari dengan kehendak Islam yang benar. Marilah kita bertaqwa kepada ALLAH swt dan teruskan berdakwah. Wallahu’alam.

Jom Dakwah!!!

Abu umair 7.7.2011
www.voiceofsunnah.blogspot.com










1 comment: