Sunday 25 March 2012

MENCARI ALASAN UNTUK TIDAK BERDAKWAH.

Gambar hiasan
Ramai dikalangan kita memberi berbagai-bagai alasan untuk mengelakkan diri dari melakukan aktiviti dakwah, Islah dan kerja kebajikan. Mereka lebih rela membiarkan hidup ini seperti tin kosong yang kurang bermanfaat.

Jika diajak berdakwah atau Islah misalnya, ada yang akan memberi alasan 'tidak mempunyai masa'. Benarkah mereka tidak mempunyai masa? hanya orang mati sahaja yang tidak ada masa. Ini kerana jika ditanya kepada mereka, ada masa tak untuk menonton televisyen? ada masa tak untuk 'pi pekena teh tarik' di kedai mamak dengan 'member-member'? ada masa tak untuk hiburan?. Tentu sekali jawapannya ada. Jadi, jika ada masa untuk menghiburkan diri, kenapa tidak ada masa untuk berdakwah?. Oleh itu, alasan tidak mempunyai masa tidak boleh diterima sama sekali.
Gambar hiasan
Jika alasannya sibuk, saya ingin bertanya, adakah anda sibuk 24 jam? Tidak bukan? jadi gunakanlah saki baki masa yang ada untuk aktiviti yang lebih bermanfaat. Anda tidak semestinya sentiasa turun padang bertemu masyarakat, dakwah boleh dilakukan di pejabat, sekolah, Blog, Facebook dan sebagainya. Jika mempunyai wang lebih, sumbangkannya kepada mereka yang melakukan aktiviti dakwah dan kerja kebajikan serta jangan lupa untuk berdoa kepada mereka yang berjasa kepada agama. Tonjolkanlah akhlak mulia dan ini juga merupakan satu dakwah.

Ada juga yang memberi alasan malu, takut dan tidak cukup ilmu untuk berdakwah mahupun islah. Bagi saya sikap malu dan takut itu lahir hasil daripada kurangnya keyakinan diri dan semangat akibat kekurangan ilmu agama. Alasan ini juga tidak dapat diterima sama sekali kerana Nabi saw pernah bersabda maksudnya:

"Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat" (H.R. Bukhari)

Anda tidak perlu menjadi ustaz atau memperolehi tauliah ala zaman British untuk berdakwah sedangkan Nabi saw sendiri sudah memberi tauliah kepada setiap umat Islam untuk berdakwah. Berdakwahlah setakat kemampuan ilmu yang ada walaupun dengan menyampaikan satu ayat. Lakukanlah perkara ma'ruf dan cegahlah kemungkaran disekeliling kita. Firman ALLAH swt yang bermaksud:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" (Surah Al-Nahl Ayat 125)
Gambar hiasan
Kita berdakwah kepada yang belum memeluk Islam dan melakukan Islah kepada umat Islam serta membuat kerja kebajikan, membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama. Firma ALLAH swt maksudnya:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
Membantu golongan yang memerlukan walaupun terpaksa meredah kampung  dan sebagainya adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam yang berkemampuan. Apatah lagi membantu dan berdakwah/islah kepada saudara mara, jiran dan orang-orang disekeliling kita. Janganlah hanya duduk di zon selesa tanpa melakukan apa-apa. Ingatlah bahawa kita akan dipersoal di akhirat kelak.

Bayangkan jika umat terdahulu tidak melakukan kerja dakwah dan berakhlak mulia, masakan Islam sampai ke Tanah Melayu? Bayangkanlah jika saudagar-saudagar Muslim dari tanah Arab, India dan China datang ke Tanah Melayu hanya untuk berniaga, adakah umat Melayu akan mengenali Tuhannya kini?. Fikir dan renung-renungkan.


Jadi apa tungu lagi? lakukanlah dakwah, Islah dan kerja kebajikan. Mulakan sekarang sebelum terlambat. Kerana setiap perbuatan saya dan anda akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jadilah insan yang lebih berguna. Jangan menjadi insan yang jiwanya kosong tanpa dakwah serta islah. Jantung hatinya beku tanpa kerja kebajikan. Marilah kita menjadi insan yang berjasa membela agama yang tercinta ini. Mudahan dengan amal kebaikan kita, ALLAH swt gantikan dengan syurga yang paling atas.

JANGAN CARI ALASAN UNTUK TIDAK BERDAKWAH, CARILAH ALASAN BAGAIMANA HENDAK BERDAKWAH.

JANGAN CARI ALASAN UNTUK TIDAK MELAKUKAN KERJA KEBAJIKAN. BANTULAH MEREKA YANG MEMERLUKAN.




abu umair 23 mac 2012
  

1 comment: