Sunday 26 February 2012

MASJID YANG SEPATUTNYA MESRA KANAK-KANAK, TETAPI......

Beberapa hari lepas, saya singah disebuah masjid untuk menunaikan solat antara jam 2.30 - 3.00 petang. Masjid sudah dikunci dan hanya dapat solat diruang legar sahaja. Saya terpandang satu papan tanda berbunyi:

Adakah kaedah mengasingkan kanak-kanak di masjid seperti ini diajar oleh Nabi saw? adakah  papan  tanda sebegini dapat mendisiplinkan kanak-kanak agar tidak membuat bising? 

Oh begitu, jadi saya meninjau sekitar ruang yang diperuntukkan untuk kanak-kanak dibawah 13 tahun tersebut dan beginilah keadaannya:

Keadaan almari yang rosak menyakitkan mata memandang. Berisiko  membahayakan kanak-kanak.

Adakah keadaan sebegini dapat menarik minat kanak-kanak ke masjid?

Lantai yang kotor dan dipenuhi najis cicak. sungguh menjijikkan.

Bumbung yang berlubang.

Sila bayangkan jika anda merupakan seorang kanak-kanak, lalu diberikan tempat sedemikian buruk, adakah anda tertarik dan berminat untuk ke masjid?

Berbeza pula keadaanya di ruang solat biasa untuk orang dewasa. 

Alhamdulillah dewan solat masjid yang bersih dan patut dicontohi. tetapi kanak-kanak dibawah 13 tahun???

Rasulullah saw tidak pernah melayan kanak-kanak sedemikian rupa, tetapi kenapa masih terdapat masjid yang melayan kanak-kanak secara "double standard"?. Mereka juga manusia dan di usia sebeginilah kita patut mendidik mereka agar dekat dengan masjid dan dekat dengan orang-orang yang menunaikan solat, tetapi jika beginilah keadaannya, ia tidak mencerminkan keindahan Islam yang sebenar. Islam tidak memberi contoh sedemikian rupa.

Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya’la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain -rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan dan bertanya sebab. Baginda menjawab: 
“Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya”. 
Kata Abu Qatadah al-Ansari:“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari). 
Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).
Kata Anas bin Malik :“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). 
"Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan didekatnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah S.A.W. segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham (barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi)" (Bukhari dan Muslim)
Lihatlah betapa mulianya akhlak Nabi saw dalam memberi layanan yang sangat baik kepada kanak-kanak. Nabi saw menghargai kanak-kanak dan tidak menghalau kanak-kanak ke belakang ketika solat apatah lagi menyediakan satu tempat yang buruk seperti gambar di atas. Lihatkah akhlak mulia Nabi saw!  kenapa amat jauh berbeza dengan sesetengah daripada kita sedangkan kita mengaku cintakan Nabi saw? 

Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan apatah lagi jika melibatkan kanak-kanak. Islam tidak memandang rendah dan memberi layanan kelas kedua kepada kanak-kanak sebaliknya Islam menuntut umatnya sayang dan kasih kepada mereka.

Jangan lupa bahawa kita juga pernah menjadi kanak-kanak suatu ketika dahulu. Ketika itu, adakah kita seperti robot? Apabila ditekan butang duduk ia duduk dan tekan butang berdiri ia berdiri. Tidak bukan?

Jadi sudah menjadi sifat kanak-kanak suka bermain, sedikit bising dan perlukan pemerhatian orang dewasa. Alangkah lebih baik jika kanak-kanak tidak diasingkan dan tidak dihalau ke belakang ketika di masjid. tentu mereka akan lebih berdisiplin kerana dikawal oleh ibu atau bapa mereka. Keselamatan mereka juga akan lebih terjaga.

Wahai saudara saudari, pakcik makcik yang memegang jawatan di masjid. Jangan melayan kanak-kanak secara buruk sehingga mereka tidak berminat ke masjid. Jangan mecemarkan imej Islam.

Alhamdulillah, walau bagaimanapun saya tidak menafikan ada juga masjid yang diuruskan dengan baik dan mesra kanak-kanak, jadi tulisan ini tidak ditujukan  kepada mereka.

Sampai bila kita patut membiarkan keadaan menyedihkan sebegini berlarutan? apakah yang  wajar kita lakukan?. Soalan ini bukan sahaja ditujukan kepada para pembaca tetapi kepada diri sendiri. Sama-samalah kita mengorak langkah yang lebih drastik bagi memperbaiki kelemahan.

Masjid hendaklah mesra kanak-kanak, mesra belia, mesra orang kurang upaya, mesra orang tua, mesra dakwah kepada Non Muslim dan pengurusannya hendaklah berdasarkan contoh cemerlang yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Sebaik-baik contoh adalah datang daripada Nabi kita Muhammad saw.

”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw itu adalah contoh tauladan yang baik...” (Al Ahzab:21)


Antara perkara yang boleh dilakukan:
  • Menasihati pihak pengurusan masjid secara lisan. Jika tidak mampu, boleh memberi nasihat dan cadangan secara bertulis contohnya dengan mengutus surat dan menghantar artikel mengenai perkara yang hendak disentuh. Saya berpendapat surat yang dihantar hendaklah melalui mana-mana persatuan (NGO) kerana suara NGO lebih didengari berbanding orang-perseorangan.  
  • Berkerjasama dengan pihak masjid melalui NGO untuk membersihkan kawasan dan memperbaiki kerosakan harta benda masjid. Kita juga boleh menjemput pelajar sekolah, kolej dan universiti serta pihak berkuasa tempatan dan lain-lain bergotong royong menaikkan imej masjid. 
  • Berdialog secara sihat dengan pihak masjid melalui NGO bagi membincangkan kaedah yang efektif menyelesaikan  salah faham dan masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan masjid.
abu umair 25.02.2012

1 comment:

  1. as salam..
    almari tu rosak sebab budak2 tu juga.. bkn sengaja diberikan almari yg rosak... najis cicak tu d mana2 tmpt yg x berpenghuni mmg slalu ada, rumah sy jg klu ditinggalkan x sampai seminggu dah penuh dgn najis cicak.. dah namanya kwsn kanak2, berapa ramai lah kanak2 yg ke masjid? bkn diasingkan kerana double standart, tp sekadar x mengganggu jemaah lain beribadah.. kena lah faham, d sini adalah tmpt ibadah, bkn tmpt beriadah.. mesra kanak2 ya memang tp tujuan beribadah adalah mendekatkan diri pada Allah, bkn melayan karenah kanak2 bermain di kawasan ibadah.. maaf jika ada yg tersinggung dan x bersetuju, ini cuma pendapat peribadi saya..

    ReplyDelete