Sunday 11 September 2011

KASIH SAYANG NABI SAW WALAUPUN TERHADAP HAIWAN.

Gambar hiasan

Kadang kala kita lihat layanan terhadap haiwan peliharaan di negara barat lebih baik dan terbela daripada sesetengah negara seperti negara kita ini. Di Amarika Syarikat sendiri sudah lama ditubuhkan Polis khas untuk membela dan menjaga kebajikan haiwan peliharaan. Namun jika dilihat sejarah, Amarika Syarikatlah negara yang paling banyak membunuh haiwan dengan sewenang-wanangnya.

Lebih menyedihkan kadangkala kita lihat haiwan di negara barat lebih terbela berbanding manusia di sesetengah negara Islam. Lihatlah bagaimana umat Islam dilayan oleh pemerintah mereka di beberapa negara arab yang ditadbir oleh pemerintah kuku besi yang zalim.


Gambar hiasan

Inilah dunia akhir zaman. Jadi untuk mengembalikan sejarah kehebatan dan kegemilangan umat Islam, kita hendaklah kembali berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah. Berpegang teguh dengan tali ALLAH dan jangan kita bercerai berai.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)

Jika umat Islam kembali berpegang teguh dengan Islam yang sebenar nescaya akan terpancarlah kembali kehebatan umat Islam. Dunia akan dapat melihat keadilan dan keamanan serta kasih sayang yang ditonjolkan oleh agama Islam yang benar ini. Sebab itulah kita dapat lihat ramai yang memeluk Islam di barat seperti paderi-paderi Kristian yang ramai memeluk Islam setelah mengkaji tentang kebenaran Al Quran dan Sunnah Nabi saw dan mereka dapat lihat keindahan serta kehebatan Islam lebih daripada kita yang mengamalkan Islam secara ikut-ikutan ini.

Islam menyediakan penyelesaian kepada segala aspek dan permasalahan di dunia ini sehingga membawa kepada ketenangan dan kegembiraan kepada Insan yang berpegang teguh dengan kebenaran. lihatlah Akhlak terpuji Nabi kita Muhammad saw yang dikagumi kawan dan lawan. Sebagai contoh lihatlah bagaimana baginda saw melayan makluk bernama haiwan. Nabi saw menuntut insan melayan haiwan dengan baik dan mengharamkan penganiayaan terhadap haiwan.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: Walaupun hadis ini umum, maksudnya khusus kepada haiwan yang perlu dihargai nyawanya. Iaitu haiwan yang tidak diperintahkan agar kita membunuhnya. (‘Aun al-Ma’bud)

Dari Abdullah, dari bapanya, dia berkata (maksudnya):
“Kami pernah bersama Rasulullah saw dalam suatu safar, lalu baginda pergi untuk suatu keperluan. Waktu itu kami melihat burung pipit bersama dengan kedua anaknya, kami ambil kedua anak burung pipit tersebut, lalu datanglah ibunya. Dia mengepak-gepakkan sayapnya. Ketika Rasulullah saw datang, baginda bertanya: “Siapa yang membuat risau burung ini terhadap anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya!”. Baginda juga pernah melihat sarang semut yang kami bakar. Baginda bertanya: “Siapa yang membakar ini?” kami menjawab: “Kami” lalu Baginda bersabda: “Tidak seyogianya mengazab dengan api kecuali Rabbnya api.” (Hadis Riwayat Ahmad dan disahihkan sanadnya oleh al-Arnauth)

 “Bahawasanya Rasulullah saw pernah memiringkan bejana untuk seekor kucing sehingga kucing itu minum (darinya) dan kemudian Rasulullah saw  berwudhu dengan air sisanya.” (Hadis Sahih Riwayat Thabarani)

 Rasulullah saw bersabda maksudnya
“Sesugguhnya ALLAH mewajibkan berlaku baik terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh hendaknya membunuh dengan cara yang baik, dan jika kamu menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaknya dia menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata:
“Rasulullah saw melewati seorang lelaki yang meletakkan kakinya di muka seekor kambing, sementara dia sedang mengasah pedangnya. Kambing tersebut melihat ke arahnya dengan kedua matanya. Maka Rasulullah saw berkata: “Apakah kamu ingin membunuhnya dua kali? Mengapa tidak kamu asah dahulu pedangmu sebelum kamu baringkan kambing itu?” (Hadis Riwayat al-Hakim, dia berkata:Sahih atas syarat Syaikhain dan disetujui az-Zahabi) 

 Dari Suhail bin al-Handhalah r.a, dia berkata:
“Rasulullah saw pernah melewati seekor unta yang punggungnya telah bertaut dengan perutya. Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada ALLAH terhadap binatang ternakan yang tidak dapat berkata-kata ini. Naikilah dia dengan cara yang baik dan makanlah dagingnya dengan cara yang baik (pula).” (Hadis Riwayat Abu Daud, dihasankan sanadnya oleh al-Arnauth)

Jelaslah di sini betapa indahnya Islam yang benar ini sehingga menganjurkan umatnya berbuat baik dalam segala aspek kehidupan walaupun dalam melayan haiwan yang kadang kala dianggap remeh oleh sesetengah daripada kita. Sedangkan Islam tidak menganggap peyiksaan terhadap haiwan itu sesuatu yang remeh sehingga ada yang masuk neraka kerana menyiksa seekor kucing sehingga mati.

Sabda Nabi saw maksudya:
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menyiksa haiwan adalah perbuatan yang zalim. Kasihanilah makluk bernyawa yang tidak berdosa ini. Ingatlah bahawa ALLAH swt Maha Melihat segala gerak geri kita dalam setiap inci dan saat. Kita tidak akan terlepas dari dipertanggungjawabkan terhadap segala perbuatan zalim kita di akhirat kelak.

Marilah kita mencontohi akhlak terpuji Nabi saw dan marilah kita berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah. Berbuat baiklah sesama insan dan makluk bernyawa yang lain. Hindari sikap zalim, Syirik dan Bid'ah. InyaALLAH kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH swt.


ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw. itu adalah contoh tauladan yang baik......’’.(Al Ahzab:21)

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku telah meninggalkan ajaran agama Islam ini dalam keadaan yang amat terang dan jelas, Tiada seorangpun yang menyimpang daripada ajaran yang jelas ini selepas kewafatanku kecuali dia akan binasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)

Abu umair 11/9/11

2 comments:

  1. Mohon share~ Artikel yang bagus! Saya letak credit, InshaAllah~

    ReplyDelete