Thursday 8 September 2011

MASUK NERAKA KERANA SEEKOR KUCING?

Gambar ini dan di bawah adalah keadaan kucing-kucing yang kebuluran di sebuah tempat penjagaan kucing (Hotel Kucing).
Zalim !

Baru-baru ini gempar di media masa tempatan mengenai berita kematian beberapa ekor kucing yang mati kebuluran dan beratus lagi dalam keadaan yang amat menyedihkan kerana dikurung tanpa makanan selama seminggu di sebuah Pusat Penjagaan Haiwan Peliharaan. Amat menyedihkan kerana masih ada individu yang sangup menyiksa makhluk bernyawa seperti ini.




Perbuatan zalim bukanlah hanya disandarkan kepada penyiksaan terhadap manusia lain tetapi menyiksa haiwan juga adalah satu perbuatan dosa yang zalim lagi terkutuk. Islam agama benar yang melarang keras perbuatan menyiksa haiwan walaupun seekor kucing sehingga ada hadis sahih yang menceritakan mengenai seorang wanita diazab hanya kerana seekor kucing.

Sabda Nabi saw maksudnya:
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Lihatlah betapa beratnya kesalahan menzalimi haiwan sehingga boleh menyebabkan tercampaknya seseorang ke dalam azab api neraka yang amat perit. Na'uzhubillah mudahan kita tidak termasuk dikalangan mereka yang gemar menzalimi haiwan dan lebih lagi menzalimi manusia.

Kepada mereka yang pernah menyiksa haiwan seperti memukul kucing, melangar anjing dengan kereta secara sengaja, mengurung kucing tanpa memberi makan, menyiksa ikan dengan membiarkan ianya mati kerana air akuarium yang terlalu kotor dan sebagainya hendaklah segera bertaubat kepada ALLAH swt sebelum terlambat. Berbuat baiklah walaupun terhadap haiwan.

Islam melarang keras perbuatan zalim terhadap haiwan dan menganjurkan umatnya berbuat baik kepada haiwan sehingga ada yang masuk syurga hanya kerana memberi minum kepada anjing yang dalam kehausan dengan penuh keikhlasan. ALLAH swt Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Nabi saw yang kita cintai, kekasih ALLAH swt yang menjadi contoh sepanjang zaman amat menganjurkan umatnya berbuat baik walaupun kepada haiwan. InsyaALLAH dalam tulisan yang akan datang akan saya bawakan beberapa hadis yang menunjukkan kasih sayang Nabi saw walaupun terhadap haiwan.

Marilah kita mencontohi Nabi saw dalam semua aspek kehidupan. Mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang selamat di dunia lebih lagi di akhirat.

ISLAM MENENTANG KEZALIMAN.

Abu umair 7/6/11

1 comment:

  1. macam mana hukumnya kalau dia membiarkan haiwan peliharaan dia mati kebuluran dengan tak sengaja? macam dia x sedar haiwan dy tumpahkan air minuman nya? apa hukumnya?

    ReplyDelete