Sunday 1 May 2011

KEADAAN DI LIBYA AMAT MENDUKACITAKAN.

Saban hari kita membaca di dada-dada akhbar mengenai peperangan di negara umat Islam seperti Libya. Pengeboman demi pengeboman, kematian demi kematian, kesengsaraan, penindasan, kemiskinan dan kesedihan berleluasa di sana-sini. Jantung hati ini terluka menggenangkan nasib saudara se-syahadah kita diperlakukan sewenang-wenangnya seolah nyawa mereka sudah tidak berharga lagi.

Umat Islam Libya kini diduga dengan kesengsaraan akibat peperangan. Bermula dengan tunjuk perasaan secara aman dibalas dengan tembakkan membuta tuli yang membunuh banyak nyawa  oleh mereka yang dikatakan sebagai  tentera upahan Rejim Gaddafi. Kemudian bermulalah sebuah episod peperangan yang baharu di sebuah lagi tanah air umat Islam. Tidak cukup dengan itu, Barat yang seolah-olah sekian lama menunggu peluang mula campur tangan kononya ingin menyelesaikan konflik di negara yang kaya dengan minyak itu.

Setakat ini jumlah kematian dan kemusnahan masih belum diketahui dengan jelas namun sumber dari Amarika menyatakan jumlah kematian diangarkan boleh mencecah diantara 10,000 hingga ke 30,000 orang Wallahu'alam. Sungguh memilukan. 




Kesengsaraan saudara-saudara kita di Libya pasti menimbulkan sebak di dada mereka yang beriman. Sabda Nabi saw maksudya:
"Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu angota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Orang yang beriman pasti akan merasakan bahawa dia bertaggungjawab dalam membantu saudara-sudaranya yang berada dalam kesusahan walau apa cara sekalipun selagi dalam lingkungan kemampuannya dan dia tidak akan lupa kepada saudara-saudaranya itu. Sabda Nabi saw maksudnya: 
"Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Sungguh malanglah jika jantung hati kita tidak merasa apa-apa terhadap kesengsaraan dan penganiayaan saudara semuslim kita di Libya dan di serata dunia kerana kurangnya kasih sayang sesama Muslim sedangkan persaudaraan sesama Muslim itu lebih besar daripada persaudaraan kerana keturunan. Kita kasih kepada saudara kita kerana ALLAH swt. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Sebagai tanda kasih yang mendalam kita terhadap saudara semuslim, kita inginkan mereka hidup dengan aman dan tenang sepertimana kita mahu hidup kita sentiasa berasa aman dan tenang. Kita mahu saudara kita bertakwa kepada ALLAH swt sepertimana kita mahu diri kita bertakwa dan tidak sesat buat selama-lamanya.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan untuk kita sama-sama membantu saudara-saudara yang kita kasihi dalam apa cara sekalipun termasuk berdoa kepada ALLAH swt jika hanya itu yang termampu. Inilah tanda kasih sayang kita sesama Muslim.

Harapan saya mudah-mudahan Libya dan seluruh negara umat Islam yang bergolak akan kembali aman. Pemimpin yang zalim dapat digantikan dengan pemimpin yang adil serta bertakwa kepada ALLAH swt. Mudah-mudahan pimpinan Libya yang akan datang tidak menjadi boneka Amarika dan sentiasa menegakkan syi'ar Islam InsyaALLAH. 

Abu umair 2 Mei 2011

No comments:

Post a Comment