Tuesday, 14 February 2012

ERTI SEBUAH JANJI MELAYU

Gambar hiasan


Mat bertanya kepada Abu "pukul berapa nak pi kuliah nih" Abu menjawab "aku tungu hang kat luaq dewan tepat pukul 9.00 malam". Lalu Mat bertanya dengan nada sinis "janji Islam ka janji melayu nih?"


Dalam blog seorang Muslimah pula beliau menulis: "Janji berkumpul tepat pukul 9.00 pagi (untuk hari keluarga) tapi pukul 9.00 pagi masih duk makan pagi kat RnR. Alah biasalah janji melayu"

Adakah anda seorang melayu yang mempunyai sikap seperti di atas? 


Kenapa 'janji melayu' jika mungkir janji??? Adakah orang melayu terlalu teruk sehingga tak boleh dipercayai akan janji mereka? Saya bertanya kepada anda wahai orang melayu tidak malukah anda menggunakan perkataan 'janji melayu' bagi janji yang dimungkiri?


Di negeri lain saya kurang pasti tetapi di tempat saya inilah istilah yang digunakan bagi mereka yang mungkir janji.


Bagi saya ungkapan 'janji melayu' adalah memalukan dan satu penghinaan kepada bangsa melayu yang beragama Islam. Anda wahai orang melayu menghina diri sendiri dengan mengunakan ungkapan tersebut.


Rasulullah bersabda(Maksudnya):
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga: apabila dia berbicara niscaya dia berbohong, apabila dia berjanji niscaya mengingkari, dan apabila dia diberi amanah niscaya dia berkhianat.” [Shahih Muslim, no 89]

Lihatlah hadis di atas betapa seriusnya kesalahan mungkir janji dalam Islam. Islam menuntut umatnya sentiasa menepati janji dan bersikap amanah dengan janji yang dibuat.

Jadi saya tidak rela saudara saya yang berbangsa melayu dihina dengan ungkapan 'janji melayu'. Orang melayu yang merupakan umat Islam mejoriti di Malaysia wajib menunjukkan contoh tauladan yang baik bagi menonjolkan keindahan Islam yang sebenar.

Tulisan ini adalah atas dasar kasih sayang sesama kita umat Islam. Janganlah sampai ada Non Muslim di luar sana menjadi bosan dan buruk sangka terhadap Islam akibat sikap sesetengah daripada kita yang suka mungkir janji tidak kira dalam apa urusan sekalipun seperti menepati masa, menepati dalam urusan pembayaran hutang dan sebagainya.

Dalam urusan masa contohnya. Amat penting untuk umat Islam menepati masa. jangan biarkan orang yang anda janji untuk berjumpa tertungu-tungu kerana anda tidak menepati masa. Jika anda tidak dapat hadir dalam tempoh masa yang ditetapkan akibat faktor yang tidak mampu dielakkan, mohon maaflah dan maklumkan segera kepadanya supaya dia tidak tertunggu-tunggu. Setelah itu buatlah perjanjian yang baru dengannya.


Gambar hiasan


Saya menasihati diri sendiri dan tulisan ini menjadi motivasi kepada diri sendiri untuk menjadi insan yang sentiasa menepati janji selaras dengan akhlak Islam. Mudahan ianya turut bermanfaat kepada para pembaca.

Tanamkanlah azam untuk tidak mengunakan istilah 'janji melayu' lagi pada masa akan datang.

abu umair 14.02.12

Monday, 13 February 2012

Kesedihan Di Valentine Day.

Dahulu ada yang melaungkan slogan menyedihkan berbunyi "mari kita sambut tahun baru 2012 cara Islamic" sedangkan tiada sambutan tahun baru dalam Islam. Janganlah pula kini ada suara sumbang yang melaungkan "mari kita sambut Valentine Day cara Islamic" pula. Ya ALLAH lindungilah kami dari kemungkaran ini.

Apa Itu Valentine Day?
Hari Santo Valentine, atau lebih dikenali sebagai Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih, ialah satu sambutan tahunan yang diadakan pada 14 Februari untuk meraikan kasih sayang sesama kekasih. Sambutan ini dinamai sempena seorang dua martir Kristian purba yang bernama Santo Valentine. Ia ditubuhkan oleh Paus Gelasius pada tahun 496 M, tetapi digugurkan daripada Takwim Santo Rom Am oleh Paus Paul VIpada tahun 1969. Menurut tradisi, Hari Valentine merupakan hari bagi para kekasih untuk meluahkan rasa kasih sayang kepada satu sama lain dengan menghadiahkan bunga, menawarkan manis-manisan, dan mengirim kad ucapan. Sambutan ini mula-mula dikaitkan dengan asmara dalam lingkungan sastera Geoffrey Chaucer pada Kemuncak Zaman Pertengahan apabila mekarnya asmara istana.
Antara lambang-lambang Hari Valentine moden ialah bentuk hati, burung merbuk, dan dewaCupid yang bersayap. Semenjak abad ke-19, surat cinta Valentine yang bertulisan tangan membuka laluan kepada kad ucapan yang dikeluarkan secara besar-besaran. 
Saint yang dikaitkan dengan Valentine Day. 
Sumber di atas adalah salah satu daripada beberapa kenyataan yang dikaitkan dengan Valentine Day. Walau apapun, yang pasti Valentine Day merupakan perayaan mungkar dipenuhi maksiat yang haram disambut oleh umat Islam.


Tetapi amat menyedihkan apabila masih ada segelintir muda mudi Muslim yang menyambutnya dengan penuh kemaksiatan tanpa berasa malu. Itulah kesedihan di Valentine Day :(

Tahun lalu kami telah membuat operasi menyebarkan risalah keagamaan & poster ceramah agama kepada muda mudi yang melepak di sepangjang lebuhraya Butterworth (tepi laut).

Peristiwa yang paling menyedihkan adalah ketika terserempak dengan seorang gadis melayu sedang berdua-duaan bersama lelaki bukan Islam dalam keadaan mencurigakan. Kami tidak mengintip tetapi terserempak secara tidak sengaja, sudah menjadi kewajipan untuk mencegah kemungkaran peribadi yang jelas di depan mata.

Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:
“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)
Bau busuk arak yang kuat datang dari lelaki bukan Islam tersebut merunsingkan lagi jantung hati kami. Lebih menyedihkan Muslimah tersebut sudahpun bertunang dengan lelaki lain dan masih sangup berlaku curang. Walaubagaimanapun Muslimah tersebut tidak mengaku yang dia curang sebaliknya menyatakan hanya melepak dan mengangap lelaki bukan Islam tersebut sebagai kawan biasa sahaja.

Kerana tidak mahu perkahwinan muslimah tersebut dengan pasangan tunangnya terbatal, kami hanya menasihati mereka tanpa memaklumkan kepada sesiapa. Akhirnya muslimah tersebut menyatakan penyesalannya dan bertaubat serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Kami lepaskan  mereka pulang secara berasingan dan pastikan mereka benar-benar pulang secara berasingan.

Inilah kepincangan masyarakat kita. Banyak lagi kes-kes seperti ini berlaku dikalangan masyarakat kita. Inilah akibatnya jika ajaran Islam tidak dipraktikkan sepenuhnya dalam kehidupan umat Islam. Inilah antara bahana Valentine Day.

Tidak dihitung lagi kes-kes murtad yang berpunca daripada cinta sesat. Amat menyedihkan kerana ada Muslimah yang sangup murtad kerana ingin bersama kekasih bukan Islam mereka di Pulau Pinang. Laa haulawalaa quwata illaabillah. Cinta kepada manusia yang akhirnya boleh membawa mereka ke alam neraka. Nauzhubillah. Mudahan mereka bertaubat dan kembali kepada agama yang benar ini.

Oleh itu ayuh para pemuda dan pemudi. Jangan sambut Valentine Day kerana ianya jelas mungkar. Jangan melakukan maksiat. Takutlah akan azab ALLAH swt. Bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya mati itu sangat hampir dengan kita.



Wahai ibubapa, awasilah anak-anak anda agar tidak terjebak didalam kemaksiatan yang merosakkan. Jika anda benar-benar menyayangi anak anda, maka berilah didikan agama secukupnya agar mereka bertaqwa kepada ALLAH saw. Sesungguhnya kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

Pemerintah negara hendaklah menghalang segala promosi maksiat dan Valentine Day di media-media massa. Ini kerana media massa amat berpengaruh dalam mencorak minda masyarakat. Jika pemerintah tidak menghiraukan kerosakkan moral yang berlaku, kepada siapa lagi hendak diharapkan?


Ubat mujarab bagi pasangan yang bercinta bukanlah maksiat yang merosakkan sebaliknya adalah perkahwinan. Ibubapa dan pihak berkuasa hendaklah mempermudahkan urusan nikah bagi menggalakkan golongan muda bernikah dan menyusuri gaya hidup sihat.


Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).
Marilah kita bermuhasabah diri dan berubah sebelum terlambat. Cinta suci adalah cinta kerana ALLAH swt. Cinta hakiki adalah cinta kepada ALLAH swt dengan mengikuti contoh dari Nabi saw.


                    وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً              
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 32)


Syurga atau neraka? pilihan terletak di tangan anda.....
Abu Umair 10.02.12







Thursday, 2 February 2012

ULANG TAHUN KELAHIRAN. PERLU DISAMBUT ATAUPUN TIDAK???


Sudah menjadi trend sejak zaman P.Ramlee lagi, orang kita menyambut ulang tahun kelahilan dengan merayakannya secara besar-besaran mahupun kecil-kecilan. Paling kurangpun majlis meniup lilin di atas kek.

Adakah ini budaya Islam?

Sheikh Ibn Utsaemin rh dalam fatwanya (terjemahan) menyebut:
Di dalam Islam tidak dikenal adanya hari raya selain hari jum'at dalam sepekan; tanggal 1 Syawal iaitu hari raya aidul fitri dari ramadhan, dan tanggal 10 Zulhijjah iaitu hari raya aidul adha yang dinamakan juga dengan hari arafah sebagai hari raya bagi orang yang menghadiri Arafah, serta hari-hari tasyriq mengikuti hari raya aidul adha. Adapun hari raya ulang tahun kelahiran bagi seseorang atau bagi anaknya atau dalam rangka memperingati hari pernikahan dan semisalnya, semua itu tidak disyariatkan, lebih dekat kepada bid'ah daripada mubah (Majmu' fatawa wa rosail, Sheikh Ibn Utsaemin 2/3020) 
Menurut Doktor Maszlee Malik pula di dalam buku beliau:
Parti sambutan hari jadi, perbuatan keterlaluan, berseronok dan juga bergurau senda serta bergaul tanpa batasan bukanlah cara Islam. Ia juga merupakan satu pembaziran dan juga membuang masa. Carilah cara lain yang lebih bertamadun dan menguntungkan untuk menyambut hari jadi, seperti menyambutnya bersama anak-anak yatim, bersama orang-orang yang susah, beriadah bersama rakan-rakan dan bermacam-macam cara yang lebih kreatif dan moden asalkan ia tidak melangar batas-batas syariat. Mengadakan parti untuk menyambut hari jadi adalah suatu yang kolot dan ketinggalan zaman serta tidak kreatif. (Dr.Maszlee Malik, Kemusykilan Remaja, Karya Bistari, 2005 m/s:96)
  
Hakikatnya merayakan ulang tahun kelahiran/ harijadi adalah budaya orang kafir yang diserap masuk secara halus zaman berzaman ke dalam masyarakat Islam. Sehingga ada yang tidak sanggup jika harijadinya tidak disambut. Begitu kuatnya budaya asing mempengaruhi minda kita. 

Jika anak terlupa merayakan harijadi bapanya atau suami terlupa akan harijadi isterinya akibat kesibukkan kerja. Maka bapa atau isteri tersebut akan merajuk dan kuranglah kemesraan antara mereka selama beberapa hari. Bahkan ada yang merajuk berbulan lamanya. 

Saya sendiri mempunyai seorang anak sepupu yang berkecil hati kerana saya terlupa mengucapkan selamat harijadi kepadanya dan sudah bertahun lamanya, dia masih tidak semesra dahulu kesan daripada perkara remeh seperti ini.

Inilah akibatnya jika perkara tidak perlu dianggap penting.

Di alam perkahwinan khususnya, terlupa tarikh ulang tahun kelahiran atau ulang tahun pernikahan dan sebagainya bukanlah bererti pasangan kita tidak ambil berat tetapi biasalah manusia boleh terlupa disebabkan pelbagai faktor. Jadi janganlah berkecil hati dan ingatlah jasa baik yang pernah si dia lakukan. Itulah sikap ambil berat yang sebenar.

Sambutan harijadi juga hanya akan menyebabkan berlakunya suatu pembaziran. Adalah lebih bermanfaat wang yang dibazirkan itu digunakan untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya. 

Oleh itu tidak perlulah meniru orang kafir dalam menyambut harijadi seseorang. Banyak lagi cara untuk kita mempamerkan kasih sayang kepada orang lain seperti berbuat baik kepada mereka tanpa mengira hari. Namun begitu, sekadar yang saya faham tidaklah menjadi masalah jika kita memperingati hari ulang tahun kelahiran kita dan bermuhasabah diri kerana usia semakin meningkat dan masa semakin berlalu untuk kita beribadah kepada ALLAH swt.

Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri tidak pernah merayakan hari ulang tahun kelahiran mereka seperti yang kita lakukan sekarang sedangkan Nabi saw adalah insan yang paling penyayang dan mengambil berat terhadap kepentingan umatnya. Fikir-fikirkanlah dengan minda terbuka. Wallahu'alam.

Abu Umair 13.1.12


Friday, 27 January 2012

ANTARA AMALAN YANG DIANJURKAN SEBELUM PERGI SOLAT JUMAAT.

Antara amalan yang dianjurkan sebelum pergi solat Jum’at ialah:

1- Mengenakan wangi-wangian bagi yang mampu, kecuali mereka yang berihram (al-Bukhari (840, 883), Muslim (1997)).

2- Menggosok gigi (al-Bukhari (880), Muslim (1997))

3- Memakai pakaian yang cantik, iaitu berhias (Abu Daud (343) dan beliau mendiamkannya, maka ia Soleh – lanjut berkenaan erti Soleh disisi Abu Daud dianjur untuk merujuk risalah saya: “Setiap Hadith-Hadith Yang Didiamkan Imam Abu Daud Dalam Sunan Adalah 'Soleh' ”)

4- Menjauhi sebelum pergi ke solat daripada memakan makanan yang berbau kuat hingga dapat mengganggu jamaah solat, ini termasuk bawang putih, apatah lagi rokok (bersama-sama dengan haramnya ia)

5- Segera menuju ke Masjid sebelum khutbah, kerana Malaikat akan mencatat nama mereka yang tiba awal ke Masjid, apabila khutbah bermula maka para Malaikat tidak lagi menulis sebaliknya mereka turut sama mendengar khutbah (al-Bukhari (3211), Muslim (2021))

Manakala antara amalan yang dilakukan apabila dalam perjalanan ke Masjid, tiba di Masjid dan ketika khutbah ialah:

1- Berjalan menuju ke Masjid, tidak menaiki kenderaan kerana Allah akan mengharamkan api neraka bagi mereka yang berdebu kakinya kerana berjalan pergi ke Jum’at semata-semata kerana Allah Jalla wa `Ala (al-Bukhari (907)).

Adapun hadith yang masyhur menyatakan bahawa sesiapa yang berjalan pergi ke Jum’at maka setiap langkah pahala seolah berpuasa dan bersolat malam selama setahun, hadith ini dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia Dha’if, dilemahkan oleh al-Tirmizi sendiri dengan katanya: “Hasan” (al-Jami’ al-Mukhtasar (496) – lanjut berkenaan maksud “Hasan” disisi al-Trimizi dianjurkan untuk merujuk risalah saya: “Pengenalan Kepada Sunan Al-Tirmizi & Manhajnya”)

2- Duduk dekat kepada khatib (Abu Daud (1108) dan beliau mendiamkannya, maka ia Soleh disisi Abu Daud. Saya katakan: bahkan isnadnya Sahih)

3- Menghadapkan pandangan kepada khatib yang sedang berkhutbah. Dalam hal ini tiada satupun hadith marfu’ yang sahih, namun ia thabit daripada amalan para sahabat Nabi SAW seperti Ibn `Umar, Anas dan lain-lain.

Berkata al-Hafiz al-Tirmizi: “والعمل على هذا عند أهل العم من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم وغيرهم يستحبون استقبال الإمام إذا خطب– inilah yang diamalkan oleh para ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan selain mereka, mereka menganjurkan menghadapkan pandangan kepada imam ketika beliau sedang berkhutbah” (Jami’ al-Mukhtasar (2/383), komentar pada hadith no. 509)

4- Menunaikan solat sunat mutlaq sebanyak yang mampu sementara khatib belum berkhutbah (Abu Daud (290), dan beliau mendiamkannya, bermakna Soleh. Dan berkata Abu `Abd al-Rahman al-Albani: Hasan)

5- Menunaikan solat Tahiyatul Masjid apabila masuk ke masjid walaupun ketika itu khatib sedang berkhutbah (al-Bukhari (930)), tidak menjadi masalah jika seseorang itu duduk dahulu samada untuk minum air (ketika khatib belum berkhutbah), atau berehat sebentar kerana penat dan lain-lain, kemudian baru bersolat 2 rak'at Tahiyatul Masjid, tiada masalah padanya. Dan tidaklah sunnah seseorang itu sengaja melewat-lewatkan solat Tahiyatul Masjid tanpa ada apa-apa keperluan.

Solat 2 rak'at ketika memasuki masjid (dinamakan Tahiyatul Masjid ) adalah sunnah secara ijma', dan ia adalah disyariatkan. Namun para fuqaha' berbeza pendapat akan hukum Tahiyatul Masjid , mazhab zahir seperti Daud `Ali al-Zahiri dan Ibn Hazm berpendapat ia wajib sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Qadhi Iyadh, manakala para imam mazhab yang empat berpegang ia mustahab (dianjurkan) dan bukannya wajib

Berkenaan hakikat solat Tahiyatul Masjid pula, perlu diketahui nama khas Tahiyatul Masjid ini tidak thabit dari Salaf, tidak dari hadith, ia hanyalah penamaan oleh fuqaha' terkemudian. Bahkan sebenarnya solat Tahiyatul Masjid ini bukanlah satu jenis solat yang berdiri dengan sendirinya sebagaimana solat witir yang berdiri dengan sendiri, solat dhuha yang berdiri dengan sendiri, solat rawatib yang berdiri dengan sendiri.

Akan tetapi sebenarnya solat 2 rak'at memasuki masjid ini ia adalah termasuk daripada jenis solat nawafil mutlak (solat sunat mutlak) atau apa sahaja solat-solat lain yang disyariatkan. Dengan kata lain disunnahkan melakukan apa-apa saja solat yang disyariatkan ketika masuk masjid, contohnya sekiranya seseorang itu memasuki masjid dalam waktu dhuha dan beliau solat dhuha sebanyak 2 rak'at maka beliau telah dikira melakukan Tahiyatul Masjid , atau masuk masjid dan bersolat 2 rak'at rawatib dikira juga Tahiyatul Masjid.

6- Dianjurkan memasuki masjid dengan mendahulukan kaki kanan dan keluar mendahulukan kaki kiri. Dalam hal ini tiada satupun hadith yang sahih dan sarih (jelas), adapun hadith yang masyhur dari Anas secara marfu’ bahawa Nabi SAW bersabda berbunyi:

“من السنة إذا دخلت المسجد أن تبدأ برجلك اليمنى ، وإذا خرجت أن تبدأ برجلك اليسرى – daripada sunnah ialah apabila memasuki masjid, mulai dengan kaki kanan, dan apabila keluar maka mulai dengan kaki kiri”.

Hadith Anas diatas dikeluarkan antaranya oleh al-Baihaqi (al-Kubra (4494)) dari Abu al-Walid al-Thayalisi dari Syaddad Abu Talhah dari Mu’awiyah bin Qurrah dari Anas bin Malik secara marfu’ kepada Nabi SAW.

Saya katakan: hadith ini adalah satu-satunya hadith marfu’ yang sarih (jelas) menyebut anjuran memasuki masjid dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri. Namun ia Dha’if, bahkan Munkar. Kata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: “تَفَرَّدَ بِهِ شَدَّادُ بْنُ سَعِيدٍ أَبُو طَلْحَةَ الرَّاسِبِىُّ. ,وَلَيْسَ بِالْقَوِىِّ. – menyendiri pada hadith ini Syaddad bin Sa’id Abu Talhahal-Rasibi, dan dia tidaklah kuat (iaitu lemah)” , dan berkata al-Hafiz Abu Yusuf al-Tharifi: “ أن هذا الحديث منكر– sesungguhnya hadith ini Munkar” (Sifat Solat Nabi (37-38)).

Walaupun hadith Anas diatas tidak sahih, namun maknanya benar serta fiqhnya diamalkan berdasarkan amalan sahabi `Abdullah ibn `Umar. Imam al-Bukhari mempunyai seni yang halus dalam menyatakan hal ini tetap sunnah walaupun tiada hadith sahih yang sarih padanya, ini dapat kita lihat pada gaya penyusun hadith dan tabwib beliau dalam kitabnya al-Jami’ al-Sahih.

Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitabnya al-Jami al-Sahih bertajuk: “باب التيمن في دخول المسجد وغيره – bab mendahulukan kaki kanan dalam memasuki masjid dan sebagainya”, kemudian berkata al-Bukhari: “وكان ابن عمر يبدأ برجله اليمنى فإذا خرج بدأ برجله اليسرى – adalah Ibn `Umar beliau memulakan kaki kanan ketika memasuki masjd dan apabila keluar beliau keluar mendahulukan kaki kiri”. Kemudian al-Bukhari membawakan satu sahaja hadith untuk bab ini dalam Sahihnya iaitu hadith `Aishah, kata `Aishah: “كان النبي صلى الله عليه وسلم يحب التيمن ما استطاع في شأنه كله في طهوره وترجله وتنعله – adalah Nabi SAW suka mendahulukan yang kanan dalam setiap perbuatannya. Seperti dalam bersuci, menaiki kendaraan dan memakai sandal” (al-Jami al-Sahih (1/116)).

Perhatikan gaya Amirul Mu’minin fil Hadith ini, tidakkah ia genius! Ya, bahkan tidak dinafikan lagi. Imam al-Bukhari mengetahui bahawa dalam hal ini tiada satupun hadith yang sahih dan sarih, namun beliau mengetahui bahawa amalan itu sememangnya sunnah, ini dapat kita lihat daripada tajuk babnya apabila dia berkata: “باب التيمن في دخول المسجد وغيره – bab mendahulukan kaki kanan dalam memasuki masjid dan sebagainya”.

Kemudian, disebabkan tiada hadith marfu’ yang sahih dan sarih, maka al-Bukhari membawakan athar amalan sahabi `Abdullah ibn `Umar yang beramal dengan isi kandungan fiqh hadith tersebut, kemudian sebagai penguat maka al-Bukhari membawakan hadith `Aishah. Gaya seni yang sama dapat kita perhatikan ketika al-Bukhari ingain menjelaskan anjuran membaca “bismillah” sebelum wudhu’ walaupun diketahui bahawa tiada walaupun satu hadith yang sahih dalam bab itu. Allah hu’alam.

7- Dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang disyariatkan: “اللهم افتح لي أبواب رحمتك-Allahummaftah li abwaba rahmatik” ketika memasuki masjid (Muslim (1685)).

8- Tidak berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah (al-Bukhari (934))

9- Tidak mengganggu para jamaah, jika kita datang lewat maka jangan melangkah-langkah antara bahu Jamaah, atau memisahkan bahu dua orang yang sedang duduk agar boleh dilalui untuk mencari tempat.

Abdullah bin Bisr berkata: “جاء رجل يتخطى رقاب الناس يوم الجمعة والنبى -صلى الله عليه وسلم- يخطب فقال له النبى -صلى الله عليه وسلم- « اجلس فقد آذيت » - pernah datang seseorang dengan melangkahi bahu manusia-manusia pada hari Jum'at, sedangkan Nabi SAW sedang berkhutbah, maka Nabi SAW bersabda kepadanya: "Duduklah, kamu benar-benar telah mengganggu orang lain." (Abu Daud (1118), dan beliau mendiamkannya, bermaksud ia Soleh. Dan berkata Abu `Abd al-Rahman al-Albani: “Sahih”).

Sebaliknya memintalah dengan baik, Nabi SAW bersabda: “لا يقيمن أحدكم أخاه يوم الجمعة ثم ليخالف إلى مقعده فيقعد فيه ولكن يقول افسحوا - janganlah salah seorang daripada kamu mengusir saudaranya dari tempat duduknya pada hari Jum'at untuk kamu ambil tempat duduknya itu, tetapi katakanlah kepadanya: - tolong - lapangkanlah!” (Muslim (5417)). Dan ini adalah adab yang dilupakan ramai manusia kini.

10- Sekiranya mengantuk mendengar khutbah, maka dianjurkan untuk bangun dan berubah tempat. Nabi SAW bersabda: “إذا نعس أحدكم يوم الجمعة فليتحول من مجلسه ذلك - jika salah seorang daripada kamu mengantuk pada hari Jum'at (iaitu ketika khutbah Jum'at), hendaknya dia pindah dari tempat duduknya” (al-Tirmizi (526) dan katanya Hasan Sahih)

Juga antara amalan yang dianjurkan dilakukan apabila selesai solat Jum’at ialah:

1- Mendirikan solat nawafil selepas Jum’at sebanyak 4 rak’at di masjid, atau 2 rak’at di masjid dan 2 rak’at apabila tiba di rumah (Muslim (2074)).

2- Dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang disyariatkan: “اللهم إنى أسألك من فضلك –Allahumma inni as aluka min fadhlik” ketika keluar masjid (Muslim (1685)).

3- Keluar dari masjid dengan mendahulukan dengan kaki kiri (rujuk penjelasan sebelum ini)

Sekian, Allah hu'alam
Abu Ismail
Fathi Al-Sakandary al-Tabib

Tulisan ini adalah ekstrak daripada nota kaki no. 3 dalam risalah saya bertajuk: "Hadith-Hadith Fadhilat Pengkhususan Surah al-Kahfi Pada Hari Jum’at: Satu Kajian Terperinci"

Saturday, 31 December 2011

Fatah dan Hamas bergaduh Zionis yang untung....


Rabu , 28/12/2011 - Jawatankuasa Keluarga Tahanan Penjara berunsur Politik berkata bahawa ejen keselamatan pihak berkuasa Palestin (PA) masih melakukan tangkapan politik secara rambang di Tebing Barat walaupun fasa perbincangan ke arah perpaduan negara masih berlangsung antara gerakan Fatah dan Hamas.
Dalam satu kenyataan media bersama Persatuan Belia Muslim, jawatankuasa tersebut menyeru semua rakyat Palestin supaya menyertai protes ke-25 yang diadakan bagi mengutuk pencabulan terhadap hak-hak kebebasan di Tebing Barat. Protes itu akan menuntut supaya PA menamatkan aktiviti tangkapan politik terhadap rakyat Palestin dan ketidakadilan dalam proses pemecatan penjawat awam hanya kerana hubungan politik mereka.
“Pencabulan kebebasan merencatkan perbincangan” akan menjadi slogan protes tersebut yang dijangka diadakan pada hari Khamis di Bandar Al-Khalil.

Fatah dan Hamas bergaduh Zionis yang untung.
UMNO dan PAS bergaduh siapa yang untung?
Fatah dan Hamas bergaduh, bumi Palestin terus dijajah dengan keganasan syaitani.
UMNO dan PAS bergaduh, minda umat bercelaru dengan permusuhan dan kebencian.
Jadi siapa yang untung???
Kanak-kanak Islam Palestin terus dibunuh, tanah umat Islam dirampas, hak mereka dinafikan di bumi mereka sendiri, siibu kehilangan anak, siisteri kehilangan suami. 
Di Malaysia pula? Siibu Islam kehilangan anaknya yang murtad mengikut kekasih, Sibapa kehilangan anaknya yang merempit dijalanan. Masalah sosial berleluasa, zina berleluasa, permusuhan sesama Islam terus menjadi-jadi. Terhakisnya sifat kasih sayang sesama Muslim. Kurangnya sikap nasihat menasihati sesama Muslim sebaliknya sentimen permusuhan yang dipilih.
Jadi maaf saya ingin bertanya, siapa yang untung dan siapa yang rugi???
Marilah kita bermuhasabah diri dan kembali bersatu padu dibawah naungan kebenaran. Marilah kita bertaqwa kepada ALLAH swt dengan sebenar-benar taqwa, berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.


Firman ALLAH swt maksudnya:

“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)


abu umair 30.12.11