Saturday, 30 July 2011

ADAB-ADAB BERBUKA PUASA MENURUT SUNNAH NABI SAW.


Adab-adab berhubung dengan ibadah mestilah mengikut kehendak ALLAH swt iaitu berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Jadi sempena Bulan Ramadhan yag mulia ini marilah sama-sama kita berusaha mengikut dan mengamalkan adab-adab berpuasa menurut sumber  yang diredhai ALLAH swt iaitu al-Quran dan Sunnah.

Sehubungan itu antara adab-adab berbuka puasa mengikut Sunnah Nabi saw adalah seperti berikut:

Segera berbuka puasa apabila masuk waktu atau disebut sebagai ta’jil al-iftar.

Sabda Nabi saw maksudnya:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jadi sikap suka melewat-lewatkan berbuka puasa dengan sengaja adalah bercanggah dengan Sunnah nabi saw. Oleh itu hendaklah kita menyegerakan berbuka puasa supaya kita sentiasa berada dalam kebaikan.

Berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air.

Anas Bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah saw berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab. Sekiranya tiada rutab, maka baginda berbuka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka baginda meneguk beberapa teguk air. (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi. Menurut al-Tirmizi hadis ini hasan. Diya’ al-Maqdisi telah mensahihkan hadis ini)

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar yang kering. Ianya lembut dan manis. Tamar pula ialah buah kurma yang sudah kering. (al-Mu’jam al-Wasit)

Pada masa kini, rutab sudahpun dikenali dan dijual di Negara kita.

Hadis di atas menunjukkan tertib yang dilakukan oleh Nabi saw. Pilihan pertama Baginda saw adalah rutab. Jika tiada rutab, Baginda saw berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda hanya meneguk air.





Menyegerakan Solat Maghrib selepas berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadis yang dinyatakan sebelum ini menunjukkan bahawa Nabi saw berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air sebelum menunaikan Solat Maghrib. Oleh itu kita juga disunatkan mengikut perbuatan tersebut iaitu terus menunaikan solat Maghrib sejurus selepas berbuka dengan makanan-makanan yang dinyatakan dalam hadis di atas tadi.

Hal ini jika makanan belum dihidangkan. Jika makanan sudahpun dihidangkan di depan mata, maka kita hendaklah menjamu makanan tersebut terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Menurut para ulama seperti Imam al-Nawawi rh, makruh bersolat apabila makanan yang hendak dimakan sudah terhidang di depan mata kerana ia boleh menganggu jantung hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Ini berdasarkan Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: 
Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan malam”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a, baginda Nabi saw bersabda maksudnya:
”Apabila dihidangkan makan malam untuk kamu sedangkan solat (berjemaah) telah didirikan, maka mulakanlah dengan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah sehingga dia selesai makan” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang sama dinyatakan bahawa-Maksudnya:  
 ”Ibnu Umar r.a apabila dihidangkan makanan untuknya ketika solat didirikan, beliau tidak mendatangi solat hinggalah beliau selesai makan sedangkan beliau mendengar bacaan imam”

Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka puasa.

Firman ALLAH swt maksudnya:

Makan dan minumlah kamu. Jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya DIA tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf:31)

Sabda Nabi saw maksudnya:

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suapan yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya dia tidak dapat (berbuat demikian), maka satu per tiga untuk makanan, satu per tiga untuk minuman dan satu per tiga untuk pernafasan.” (Hadis Hasan Riwayat al-Tirmizi)

Nabi saw mengalakkan kita makan dan minum dengan kadar yang dapat memberi tenaga. Jika tidak mampu, Nabi saw menetapkan had maksima untuk makan dan seelok-eloknya dikurangkan lagi iaitu satu per tiga untuk makanan, satu per tiga untuk minuman dan satu per tiga utuk pernafasan.

Oleh itu sudah menjadi Sunnah Nabi saw iaitu makan secara tidak berlebih-lebihan. Bahkan makan yang tidak berlebih-lebihan boleh menjamin kesihatan badan berbanding dengan makan dalam kuantiti yang banyak sehingga susah hendak bernafas.

Makanan yang seimbang dan berkhasiat serta bersih juga hendaklah dipilih selaras dengan kehendak Islam yang menganjurkan kita memakan makanan yang halal dan baik (Halalan taiiban).

Berdoa ketika berbuka puasa.

Sabda Nabi saw maksudnya:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis Hasan Riwayat Ibn Majah)

Oleh itu kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul.

Al-Munawi menyebut:

“Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab berpuasa dengan menjaga lidah, jantung hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, al-Munawi)

Kita juga disunatkan berdoa dengan doa berbuka puasa yang diajar oleh Nabi saw.

Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka puasa.

Menurut Anas Bin Malik r.a., Nabi saw pernah datang ke (rumah) Sa’ad bin ‘Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda lalu makan dan membaca (maksudnya):

“Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud).

Oleh itu marilah kita berdoa untuk mereka yang menjamu kita berbuka puasa dan ini merupakan adab yang sangat baik.

Jika berkemampuan kita juga boleh menjamu orang lain berbuka puasa walaupun dengan sebiji tamar kerana banyak pahalanya bagi insan yang menjamu orang lain berbuka puasa.


 30.7.11

-SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA-


No comments:

Post a Comment