Islam agama kasih sayang yang menganjurkan umatnya ke arah kedamaian dan keamanan. Salah satu punca kepada permusuhan, huru hara dan pulau memulau adalah kerana sikap suka berdendam dan sukar untuk memaafkan orang lain.
Kadang kala kita lupa akan jasa dan pengorbanan seseorang lalu tergamak memulaunya hanya kerana satu kesalahan yang dilakukanya. Sedangkan kebaikan yang dilakukan oleh insan tersebut jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahannya. Akhirnya kita menjadi insan tidak mengenang budi. Inilah realiti yang pernah saya lihat dikalangan kita.
Wajarkah seorang Muslim bersikap sedemikian? Tentu sekali tidak kerana sikap pemaaf dan saling kasih mengasihani adalah suatu yang mulia dan dianjurkan Islam. Firman ALLAH swt maksudnya:
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH maha pengampun, Maha Penyayang” – Surah An Nuur: 22.
“Dan balasan kejahatan itu adalah dengan kejahatan seumpamanya dan barang siapa yang memaafkan dan mendamaikan keadaan, maka balasannya (ganjaran) pada ALLAH swt., sesungguhnya DIA tidak sukakan orang-orang yang zalim. – Surah al-Syura:40
Islam juga melarang kita memulau saudara kita selama tiga hari berturut-turut kerana bergaduh. Ia bertentangan dengan akhlak Islam dan juga haram. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)
Marilah kita menjadi insan pertama meminta maaf dan segera memulihkan hubungan persaudaraan daripada terus retak. Tentu sekali kita akan mendapat pahala yang lebih jika kita ikhlas kerana ALLAH swt.
Mudah menerima kemaafan juga merupakan sikap mulia dan akan mendapat pahala jika dia tidak berpura-pura serta memaafkan seseorang itu ikhlas kerana ALLAH swt.
Bagi yang suka berdendam dan sukar memaafkan, perlulah memperbaiki sikap dan tahap keimananya. Jangan biarkan jantung hati kita menjadi kotor kerana gemar akan permusuhan. Sabda Nabi saw maksudnya:
“Dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika ia elok, maka eloklah seluruh tubuh dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh, ia adalah jantung hati”. (Bukhari).
Marilah menjadi insan yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Kenapa hendak menyiksa diri dengan menyimpan dendam di dalam jantung hati? Kelak diri sendiri yang tertekan dan gundah gulana. Biarkan ia berlalu. Lupakan sahaja dan teruskan hidup seperti biasa. Alangkah bahagianya jika kita mudah memaafkan dan melupakan perkara lama. Tenangkanlah jiwa dengan mengingati ALLAH swt.
Sesungguhnya diri ini lemah dan perlu dimotivasikan dengan santapan rohani. Hadirlah ke masjid dan majlis ilmu. Bersahabatlah dengan orang soleh, membaca Al Quran, beristighfar dan lain-lain amalan Sunnah yang mendekatkan diri kepada ALLAH swt… Wallahu’alam.
Indahya Hidup Ini Jika Kita Saling Bermaafan.......................
Abu umair 27/06/2011
No comments:
Post a Comment