Gambar di atas menunjukkan seorang anak yatim sedang meminta derma kepada orang ramai di sebuah restoran sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kebetulan ketika itu saya sedang menjamu selera di restoran tersebut bersama isteri lebih kurang jam 7.00 petang 28 Julai 2011.
Dengan wajah lesu yang jelas mengambarkan keletihan, anak yatim tersebut menghampiri saya menghulurkan sebotol minuman herba yang tidak pernah saya lihat sebelum ini untuk dijual. Saya menolak daripada membeli atas sebab tertentu dengan mengunakan nada yang lembut kerana kasihan melihat kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak tersebut meminta derma untuk sebuah Tahfiz yang terletak di Kedah.
Ini bukanlah kali pertama kanak-kanak sekecil ini menghampiri saya untuk meminta derma atau menjual barang atas alasan ianya akan disalurkan ke sebuah Tahfiz di Kedah dan saya yakin para pembaca turut pernah melalui pengalam ini.
Patutkah kanak-kanak sekecil ini diperalatkan oleh sesetengah pihak untuk menjual barang atau meminta derma ke sana ke mari seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa?. Bagaimana pula dengan faktor keselamatan kanak-kanak tersebut yang saya jangkakan hanya seawal usia 9-10 tahun? Tidakkah kanak-kanak sekecil ini berisiko tinggi untuk diculik, disamun atau dilangar kenderaan? (Mudahan ALLAH swt melindungi kanak-kanak tersebut dari segala bahaya dan keburukan)
Bagaimana pula dengan persekolahan kanak-kanak tersebut? Adakah anak yatim ini bersekolah sedangkan dia sibuk berjalan mengutip derma dan menjual barang?. Ya jika dia bersekolah sekalipun tidak kasihankah kita kepadanya setelah keletihan belajar di sekolah terpaksa pula menjual barang dan mengutip derma diwaktu petang sehingga keadaan hampir senja masih sibuk mengutip derma. Patutkah mereka memperlakukan insan kecil ini sedemikian rupa? Pukul berapa kanak-kanak ini akan diambil pulang ke asramanya? Pukul berapa dia hendak mengulang kaji pelajaran? Pukul berapa pula dia hendak tidur?
Sepatutnya waktu usia sekecil ini diluangkan untuk belajar, bermain, berseronok dan berehat seperti kanak-kanak normal yang lain bukan berjalan ke sana ke mari untuk meminta derma. Hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui berapa lama dan sejauh mana anak yatim ini berjalan meminta derma. Kita sebagai ibubapa tentu tidak sanggup melihat anak kita berkeadaan sebegini.
Lebih menyakitkan hati lagi apabila ada pelangan yang tergamak menengking dan memarahi anak yatim tersebut apabila dia menghampiri mereka. Tentu emosi kanak-kanak tersebut akan terjejas dengan layanan buruk diterimanya sedangkan dia tidak melakukan sebarang dosa. Jika kita, sanggupkah kita melihat anak kita diperlakukan sedemikian rupa? Jika tidak mahu membeli atau menderma itu hak masing-masing, tetapi janganlah sampai menengking dan memarahi anak yatim yang tidak bersalah ini.
Firman ALLAH swt maksudnya:
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya” (Ad-Dhuha : 9)
“Tahukah kamu orang yang mendustakan Agama, itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin. “ (Al-ma’un : 1-3)
Sabda Nabi saw maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH menyukai sifat lemah lembut pada setiap perkara. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Janganlah mengharapkan kanak-kanak sahaja menghormati orang dewasa sedangkan orang dewasa juga hendaklah menghormati kanak-kanak. Jangan buat kanak-kanak seperti insan yang tidak mempunyai nilai sebaliknya kasihanilah mereka. Lihatlah akhlak Nabi saw yang sentiasa mengasihi kanak-kanak lebih-lebih lagi anak yatim. Kita sepatutnya mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw dengan melayan kanak-kanak secara baik.
Sebuah Hadis menyebut (maksudnya):
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan didekatnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah S.A.W. segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham(barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi) (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Gambar hiasan. |
Kemana perginya pihak pengurusan Tahfiz yang mempergunakan anak yatim seperti ini meminta derma? Adakah wang derma tersebut benar-benar disalurkan kepada Tahfiz anak yatim?. Ya kita bersangka baik tetapi sepatutnya pihak pengurusan Tahfiz itu sendirilah yang patut berusaha mengumpul dana bagi menjalankan operasi Tahfiz mereka bukan mempergunakan kanak-kanak kecil seperti ini untuk berjalan meminta derma.
Saya memuji sebuah Tahfiz anak yatim bertempat di Kajang dimana pengurusnya sendiri menjalankan berbagai jenis perniagaan dan keuntungan daripada perniagaan tersebut berserta sumbangan orang ramai disalurkan kepada Tahfiznya untuk kebajikan anak yatim yang berlindung di situ. Inilah pengurus rumah anak yatim yang bertanggungjawab dan berjiwa murni. Inilah cara yang sepatutnya dan bukan dengan cara mempergunakan anak yatim yang masih kecil mengutip derma menagih simpati masyarakat.
Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga ‘begini’. ” Rasulullah mengatakan demikian sambil menunjukkan dua jariya iaitu jari telunjuk dan jari tengah. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Saya menyeru kepada pihak berwajib dan individu yang berkemampuan agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan sesetengah pihak yang mempergunakan anak yatim sebagai buruh menjual barang dan meminta derma. Kebajikan anak yatim wajib dijaga agar mereka tidak diperlakukan sewenang-wenangnya.
Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kualiti diri. Marilah kita berbuat baik kepada anak yatim kerana ianya sangat dituntut oleh Islam. Marilah kita mengasihi kanak-kanak lebih lagi anak yatim dan janganlah kita sebagai Muslim dewasa memperlakukan mereka dengan sewenang-wenangnya. Cukuplah kesengsaraan dilalui anak yatim akibat kehilangan kasih sayang ibu atau bapa atau kedua-duanya dalam usia yang masih kecil. Marilah kita menjadi muslim yang berjantung hati mulia dengan mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw yang kita kasihi. Wallahu’alam.
Sabda Nabi saw maksudya:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik. (Hadis Riwayat Ahmad)
Firman ALLAH swt maksudnya:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (An-Nisaa:36)
Gambar hiasan |
BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM MENDEKATKAN DIRI KITA KE SYURGA!
MARILAH KITA BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM WALAUPUN HANYA SEKADAR MENGUSAP KEPALA MEREKA DENGAN PENUH KASIH SAYANG.
Abu umair 18/9/11
No comments:
Post a Comment