Gambar di atas adalah senaskah Al Quran yang telah diperlakukan sebegitu buruk di suatu tempat yang menjadi kunjungan umat Islam. Ianya telah diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh manusia yang bergelar Muslim di Rumah ALLAH swt iaitu Masjid. Ramai yang berkunjung pergi ke masjid tersebut seolah-olah tidak peduli dengan keadaan Kitab ALLAH ini. Amat meyedihkan. Lihatlah gambar-gambar di bawah yang saya ambil dibeberapa buah masjid sekitar Pulau Pinang.
Patutkah keadaan seperti ini dibiarkan di sebuah masjid yang terkenal dan menjadi kunjungan ramai? Dimana perginya sensitiviti kita dalam memelihara naskah Al Quran ini? Sungguh menyedihkan. |
Keadaan Al Quran dan lain-lain kitab/buku yang seolah-olah dilemparkan begitu sahaja di rak sebuah masjid. |
Inikah sikap kita dalam menyusun semula Al Quran, Keadaan begini menyakitkan mata memandang dan menyebabkan naskah Al Quran mudah rosak dan koyak. |
Al Quran dibiarkan ditindan dengan papan rehal bersama helaian-helaian kertas dalam keadaan berselerakkan dan kotor di sebuah masjid. |
Beginilah rialiti yang menyedihkan terhadap sikap segelintir umat Islam sekarang. Naskah Al Quran yang agung dan mulia, terkandung di dalamnya petunjuk dari Tuhan Semesta Alam, petunjuk jalan kebenaran sebegini pun sangup diperlakukan dengan sewenangnya seolah-olah sudah tidak ada nilai di dalam jantung hati kita sebagai Muslim.
Gambar-gambar yang saya paparkan di atas secara terang-terangan mencerminkan sikap buruk, tidak peka, tidak ambil peduli dan pemalas sesetengah daripada kita. Dimana perginya sensitiviti kita sebagai umat Islam dalam menjaga dan memelihara kitab ALLAH? Cakap berdentam dentum tentang Islam tetapi amalan menjaga naskah Al Quran sekecil ini pun kita gagal lakukan. Kita marah kononnya membela Islam apabila ada musuh Islam yang menghina Al Quran tetapi lihatlah bagaimana cara kita memperlakukan naskah Al Quran. Lebih mengecewakan lagi apabila ianya diperlakukan sebegini buruk di Masjid. Subhanallah.
Bayangkan betapa malunya kita jika ada Non Muslim secara kebetulan terlihat keadaan naskah Al Quran di perlakukan sebegini buruk di dalam Masjid. Apa kita nak jawab jika Non Muslim tersebut bertanya atau menyindir mengenai keadaan naskah Al Quran tersebut?. Kemungkinan mereka yang hendak memeluk Islam pun boleh mengubah fikiran setelah melihat sikap buruk kita terhadap naskah Al Quran ini.
Apakah terlalu sukar untuk kita memelihara naskah Al Quran dengan baik sebagai tanda cinta kita kepada ALLAH swt? Tidakkah kita merasa bersalah dengan perbuatan buruk ini sedangkan kita sentiasa diawasi oleh ALLAH swt dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak?. Firman ALLAH swt maksudnya:
“Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mengawasi.” –Surah al-Fajr:14
Sepatutya lebih kuat iman kita, maka lebih kuatlah usaha kita menjaga dan memelihara naskah Al Quran. Kita tidak akan sanggup melihat dan membiarkan naskah Al Quran terbiar dalam keadaan kotor, koyak rabak, tanpa berkulit, berselerakkan dan tindan-menindan dengan tidak terurus di masjid kerana berasa sedih dan sayang kita kepada kitab ALLAH ini.
Marilah kita membuka minda dan memperbaiki sikap kita sebagai seorang Muslim. Usahlah hanya pandai berslogan tetapi lakukanlah perubahan kearah kebaikan. Saya mencadangkan beberapa usaha yang boleh dilakukan dalam menjaga dan memelihara naskah Al Quran dengan baik di masjid seperti berikut:
Marilah kita membuka minda dan memperbaiki sikap kita sebagai seorang Muslim. Usahlah hanya pandai berslogan tetapi lakukanlah perubahan kearah kebaikan. Saya mencadangkan beberapa usaha yang boleh dilakukan dalam menjaga dan memelihara naskah Al Quran dengan baik di masjid seperti berikut:
1. Usaha yang boleh dilakukan oleh setiap individu Muslim.
Kita hendaklah sentiasa menjaga dan menyusun semula naskah Al Quran dengan baik setelah membacanya (Membaca Al Quran dengan suara yang perlahan di masjid supaya tidak menggangu orang lain yang sedang solat). Mulakan dengan diri sendiri dahulu kemudian nasihatilah orang lain yang bersikap sambil lewa dalam penjagaan naskah Al Quran tersebut serta pihak pengurusan masjid secara lemah lembut dan ikhlas. Sabda Nabi saw maksudnya:
“Agama itu nasihat" – tiga kali -. Kami bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Untuk ALLAH, KitabNYA, RasulNYA, dan untuk pemimpin kaum Muslimin serta kaum Muslimin pada umumnya.” –Hadis Riwayat Muslim.
Jika berkemampuan, tidak salah untuk kita memperbetul dan menyusun naskah Al Quran yang berselerak di masjid yang kita kunjungi.
2. Usaha yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan masjid.
Pihak pengurusan masjid adalah pihak yang amat bertanggungjawab dalam penjagaan dan pengurusan masjid. Ini kerana mereka akan disoal di akhirat kelak terhadap tanggungjawab mereka. Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan segala aspek dan keadaan di dalam masjid dijaga dan diuruskan dengan baik.
Mereka hendaklah sentiasa memantau keadaan naskah Al Quran bagi memastikan ianya berada dalam keadaan baik dan tersusun serta hendaklah memberi peringatan kepada para pengunjung masjid agar menjaga kemudahan masjid termasuk naskah Al Quran dengan baik.
Pihak pengurusan masjid juga hendaklah memastikan naskah Al Quran yang disediakan berkualiti tinggi agar tidak mudah rosak da koyak. Kulit depan naskah Al Quran tersebut boleh dibalut dengan pembalut buku plastik lutsinar dan disimpan di dalam almari berpintu cermin kaca (sliding door) agar tidak mudah kotor dan rosak.
Bagi AJK masjid yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka, maka mereka hendaklah melepaskan jawatan dengan kadar segera bagi memberi laluan kepada individu yang lebih layak dan mampu memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan. Sesungguhnya jawatan itu amanah dan ia akan dipertangunggjawabkan di akhirat kelak. Maka marilah kita takut kepada ALLAH swt.
Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." –Hadis Riwayat Muslim
3. Usaha yang boleh dilakukan oleh para pendakwah yang memberi kuliah di masjid.
Mengikut pemerhatian saya, teguran para pendakwah yang memberi kuliah di masjid-masjid lebih berkesan dan didengari. Ini berdasarkan pengalaman sendiri contohnya pernah seorang pendakwah menegur tindakkan pihak pengurusan masjid yang meletakkan jam loceng di dalam masjid. Akhirnya teguran tersebut dipatuhi.
Oleh itu para pedakwah yang saya hormati bolehlah menasihati AJK masjid serta para jamaah agar menjaga kebersihan serta kekemasan masjid termasuk menjaga naskah Al Quran bagi menonjolkan imej Islam yang sebenar.
4. Usaha yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa agama.
Tanggungjawab pihak berkuasa agama adalah lebih besar kerana mereka mempunyai kuasa perundangan terhadap hal ehwal agama Islam sesuatu negeri dan mereka juga tidak terlepas daripada disoal di akhirat kelak atas tanggungjawab besar yang mereka pikul. Oleh itu mereka hendaklah memantau dan memberi peringatan kepada pihak pengurusan masjid dengan lebih kerap agar keadaan masjid menjadi lebih baik.
Pemantauan yang lebih berkesan hendaklah dilakukan untuk memastikan pihak pengurusan masjid menjalankan tugas mereka dengan baik. Diharapkan pihak berkuasa agama memberi tauliah kepada mereka yang layak sahaja dalam memegang jawatan di masjid.
Akhir kata marilah kita menjaga naskah Al Quran dengan baik selayak dengan kedudukan kitab tersebut sebagai ayat ALLAH swt yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi. Selain daripada itu, kita juga hendaklah menjaga aspek-aspek lain di dalam masjid seperti tidak merokok di dalam masjid, menjaga kebersihan masjid, menjaga kebersihan tandas masjid, sentiasa berpakaian bersih ketika mengunjungi masjid dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej kita sebagai umat Islam. Jika kita seorang yang beriman kepada ALLAH swt, kita patut melakukan perubahan. Wallahu’alam
Firman ALLAH swt maksudnya:
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNYA! Dan pakaian mu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi” –Al-Muddaththir: 1-5
Abu umair 11.6.2011
abu irfan bila anda melihat keadaan yang teruk berlaku di masjid itu, apa yang anda lakukan? adakah anda menyusunnya kembali??? atau keluar begiti sahaja dari masjid?
ReplyDeleteTerima kasih atas keprihatinan saudara/ri yang bertanya di atas. Ya saya pernah menyusun Al Quran & katab yang berselerak di masjid tetapi tidaklah selalu. Tengok keadaan. Soalan saya sekarang bagaimana kalau 10 kali kita susun dan 10 kali ia berselerak kembali?
ReplyDeleteabu irfan....orang yang ikhlas di dalam jalan Allah takkan berkira.. ya memang anda mengajar kita semua membuat amal maa'ruf nahi munkar.. tapi tak ramai yang ada perasaan membesarkan syiar islam..sedih melihat alquran diperbuat sebegitu rupa..seeloknya anda susunlah kitab allah tu. kerana setiap perkara kecil yang kita lakukan ada perhitungannya disisi ALLAH. Mari kita ambil contoh baginda nabi muhammad s.a.w, berkali-kali beliau menunjukkan contoh yang baik kepada kaum jahilliyah dan umat islam pada ketika itu, sampai dicaci,difitnah dan dibaling najis.. alangkah pedihnya ujian itu, namun baginda sentiasa bersabar bukannya put the blame on others:) buat sahaja sampai masuk otak orang2 islam kat semua masjid..:) saya cakap ni sebab komuniti kami disini pun buat perkara yang sama seperti menyusun al quran yang berselerak di masjid.. memang mereka pakat pandang tak ada yang menolong... tapi abu irfan ALLAH KAN MAHA MELIHAT, DAN CUKUPLAH PANDANGAN ALLAH KE ATAS KITA, INILAH JALAN YANG DIBAWA OLEH PARA NABI DAN AULIYA ALLAH...:)
ReplyDeleteTerima kasih kepada saudara/ri yg memberi komen di atas, saya amat menghargai usaha murni komuniti saudara/ri dan saya berdoa mudahan ALLAH permudahkan urusan Saudara/ri. Cumanya saya ini bukanlah seorang yang perkira seperti yang saudara/ri sangkakan. Seperti yang saya katakan dalam tulisan di atas kita mulakan dalam diri kita dahulu baru menasihati orang lain, jadi saya tak akan menulis kalau saya sendiri tak buat cuma tengok keadaan sebab kadang kala saya terpaksa cepat atas urusan kerja dan lain-lain urusan yang menyebabkan saya tak dapat tunggu lama di masjid. Saya juga tak mahu hebohkan apa usaha saya cukuplah ALLAH sahaja yang tahu. Manusia tak dapat mengukur keikhlasan seseorang insan sebab ia berada dalam jantung hati kita hanya ALLAH yang tahu sama ada kita ikhlas atau tak. Apapun saya amat berterima kasih diatas komen di atas dan saya berharap saudara/ri akan terus memberi komen dan pembetulan jika ada kelemahan dalam tulisan saya sebab saya insan biasa yang tak boleh lari dari kesalahan. Mudahan usaha kita diberkati ALLAH swt. Wallahu'alam
ReplyDelete