“Kalau hendak mencuri, jangan curi harta orang Islam tetapi curilah harta orang kafir”.
Pernahkah anda mendengar suara-suara sumbang yang menyebut ungkapan seperti ini? Adakah wajar ungkapan seperti ini terbit daripada mulut seorang Muslim yang mengaku beriman kepada al-Quran dan Sunnah? Adakah Islam menganjurkan penganiayaan terhadap orang bukan Islam? Saya yakin jawapannya sudahpun tersedia jauh di dalam jantung hati anda tanpa perlu merujuk mana-mana kitab, bahawa tidak sama sekali tidak ini bukan daripada ajaran Islam dan Islam menentang sebarang bentuk penganiayaan .
Mencuri adalah satu perbuatan yang haram tidak kira samaada harta yang dicuri adalah kepunyaan Muslim mahupun Non Muslim. Yang salah tetap salah. Yang haram tetap haram.
Malangnya ungkapan seperti ini pernah disebut oleh seorang individu berjubah yang saya kenali serta menjadi ikutan anak muda yang mengelilinginya. Ianya amat tidak wajar disebut dan diikuti oleh mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras. Ianya merupakan racun yang mencemarkan imej agama. Hendaklah difahami bahawa bukan semua individu berjubah itu benar. Ramai yang berjubah tetapi menjadi pengikut ajaran sesat yang merosakkan akidah. Oleh itu tidak wajar bagi kita megikuti seseorang secara membuta tuli dengan hanya terpengaruh dengan penampilan luaran semata-mata sebaliknya hendaklah meneliti latar belakangnya serta hujah-hujah yang dikemukakan olehnya samaada bertepatan dengan al Quran dan sunnah ataupun tidak. Kita hendaklah mengunakan akal fikiran yang dikurniakan ALLAH swt sebelum melakukan sesuatu tindakan agar tidak menimbulkan implikasi negetif terhadap diri dan imej agama yang mulia ini.
Islam adalah agama ALLAH swt. yang mewajibkan umatnya berlaku adil kepada semua tidak kira Muslim mahupun Non Muslim bahkan lebih daripada itu Islam juga mengharamkan umatnya menganiaya haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan sewenang-wenagnya. Oleh itu contohilah sifat Rasulullah saw. yang berakhlak tinggi yang mampu menambat hati setiap insan Muslim mahupun non-Muslim dahulu, kini dan selamanya.
ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw. itu adalah contoh tauladan yang baik......’’.(Al Ahzab:21)
Sebagai umat Islam, kita hendaklah berlaku adil kepada semua apatah lagi kepada non-Muslim. Dengan keadilan dan akhlak mulia yang dipamerkan oleh seorang Muslim, maka dapatlah menambat hati non-Muslim untuk menerima Islam yang benar ini sebagai pegangan hidup mereka. Ianya terbukti dengan sikap umat Islam terdahulu yang telah menunjukkan suatu akhlak dan keadilan yang luar biasa sehingga dapat menambat hati non-Muslim untuk memeluk Islam lalu tersebarlah agama yang suci ini jauh ke seluruh pelosok dunia termasuk di alam Nusantara ini.
Al-Imam Ibn al-Qayyim pernah menyatakan:
’’Apabila orang-orang Kristian melihat tingkah laku yang baik yang ditunjukkan oleh para sahabat(Nabi Muhammad saw), kebanyakan mereka beriman dengan Risalah yang dibawa oleh para sahabat secara sukarela tanpa sebarang paksaan, malah mereka tidak segan menyatakan: Orang-orang yang pernah menjadi sahabat Isa al-Masih, tidaklah sebaik para sahabat Rasulullah saw.(Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili. 2004. Kewajipan Memahamkan Bukan Islam Tentang Islam. Johor: Perniagaan Jahabersa.).
Lihatlah betapa mulianya akhlak dan keadilan para sahabat yang merupakan anak didik Rasulullah saw. sehingga mampu menarik minat non-Muslim untuk memeluk Islam dengan penuh kerelaan yang patut kita contohi sepanjang zaman. Namun amatlah menyedihkan apabila melihat realiti segelintir umat Islam masa kini yang mempamerkan sikap dan tingkah laku buruk sehingga menyebabkan salah faham terhadap Islam itu sendiri.
Yusuf Islam (Bekas penyanyi rock terkenal kelahiran Britain yang telah memeluk Islam) pernah berkata:
’’Aku masuk Islam kerana keindahan Islam. Malangnya, umat Islam kini mengambil perangai buruk yang aku tinggalkan”(Majalah ILUVISLAM keluaran 24-30 September 2010 m/s 08)
Berdakwah adalah tanggugjawab setiap Muslim Mukallaf |
Islam merupakan agama benar yang patut dianuti oleh setiap insan di muka bumi ini. Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah berlaku adil dan berakhlak mulia serta menyeru umat manusia kepada jalan ALLAH swt.
ALLAH swt. berfirman maksudnya:
”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik...(an Nahl:125).
Akhir kata marilah kita berlaku adil kepada sesiapa sahaja termasuk Non Muslim dan mempamerkan akhlak mulia selari dengan imej Islam. Janganlah sesekali kita menganiaya Non-Muslim sebaliknya berdakwahlah kepada mereka agar mereka menerima kebenaran Islam. Berbuat baiklah kepada Non-Muslim yang tidak memerangi kita dan agama kita supaya dengan kebaikan itu dapatlah menambat hati mereka menerima Islam.
Firman ALLAH swt maksudnya:
”ALLAH tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berlaku adil”(al Mumtahanah:8).
Apalah gunanya jika kita segak berjubah tetapi tidak faham agama dan berlaku zalim terhadap insan yang lain. Ingatlah bahawa kita akan dipersoal di akhirat kelak terhadap penganiayaan yang kita lakukan di muka bumi ini. Kita tidak rugi dengan menjadi orang baik sebaliknya kita rugi serugi ruginya jika menjadi orang jahat.
Abu umair. 24.10.2010.
No comments:
Post a Comment