8 Mei 2011 yang lepas merupakan hari ibu yang disambut oleh barat pada setiap tahun. Sesetengah daripada kita turut menyambut hari ibu seperti orang barat yang gemar menyambut sesuatu secara bermusim seperti hari ibu, hari bapa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bagi umat Islam, setiap hari adalah hari ibu. Ini kerana Islam menuntut kita berbuat baik dan mengenang jasa ibu kita pada setiap hari bukan secara bermusim.
Firma ALLAH swt maksudnya:
“Dan KAMI perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada-KUlah kembalinya mu.” –Surah Luqman:14.
Ibu merupakan insan mulia yang amat berjasa kepada kita. Tanpa ibu siapalah kita. Ibulah insan yang telah menyabung nyawa melahirkan kita dengan susah payah ke dunia ini. Dialah juga yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Dia sanggup berlapar dan berjaga malam asalkan perut kita terisi. Jasanya terlalu besar sehingga tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Dia sangup berkorban nyawa demi kita. Jasanya terlalu besar tidak terbalas sehingga syurga kita terletak di bawah tapak kakinya.
Daripada Jahimah al-Sulami, beliau datang menemui Rasulullah saw lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya ingin berperang, dan saya datang untuk berbincang.” Rasulullah bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah bersabda: “Dampingilah dia, sesungguhnya syurga terletak di kedua kakinya.” –Hadis Riwayat al-Hakim.
“Syurga terletak di kedua kakinya” Ini kerana sesuatu benda jika berada di bawah tapak kaki seseorang, ia tidak boleh diambil atau dicapai oleh orang lain melainkan jika ia terdapat di tempat itu.(Syarah Sunan al-Nasa’i).
Berkata Abu Hurairah r.a.: Seseorang telah datang kepada Nabi saw lalu bertanya: “Siapakah yang berhak aku layani dengan sebaik-baiknya? “ Jawab Nabi: “Ibumu.” “ Kemudian siapa?” Jawab Nabi: “Ibumu.” “Kemudian siapa?” Jawab Nabi: “Ibumu.” “Lalu siapa lagi?” Jawab Nabi “Ayahmu.” –Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hayatilah dalil-dalil di atas, betapa Islam memuliakan insan yang bergelar IBU kerana jasanya yang mengunung tinggi. Nabi saw menyuruh berbuat baik kepada ibu sebanyak tiga kali dan barulah diikuti dengan bapa.
Islam juga mewajibkan kita berbuat baik kepada bapa kerana jasa mereka juga amat besar. Kerana bapalah ibu kita bahagia dan dapat membahagiakan kita. Kerana bapa yang bertangunggjawab terhadap keluarganya jugalah kita dapat membesar dengan baik. Bapalah yang mendidik kita, memberi nafkah dan mencurahkan kasih sayang kepada kita. Bapa sangup bersusah payah memerah keringat mencari rezeki agar kita dapat hidup tanpa lapar dan dahaga. Bapa sering berkorban untuk kita dan sentiasa melindungi kita daripada bahaya.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a., Nabi saw bersabda “Diri engkau dan harta engkau adalah untuk bapa engkau” –Hadis Riwayat Ibn Majah.
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya kebaikan yang terbaik adalah seorang anak menjalinkan hubungan persaudaraan dengan saudara yang dikasihi bapanya.” -Hadis Riwayat Muslim.
Sungguh menghairankan kerana saya sering mendengar perihal mengenai sambutan hari ibu dan hari bapa tetapi tidak pernah pula mendengar sambutan hari anak. Terlintas di fikiran kenapakah hari anak tidak disambut? Adakah kerana anak-anak hanya melayan ibu bapa mereka secara baik dan istimewa pada hari tertentu sahaja sedangkan ibu bapa melayan anak-anaknya dengan baik dan istimewa pada setiap hari?.
Saya merasakan kadang kala ada kebenarannya bahawa ibubapa mampu menjaga dan melayan karenah anak-anak mereka dengan baik walaupun seramai 10 orang dengan sumber kewangan yang tidak seberapa tetapi belum tentu 10 orang anak tadi mampu menjaga ibu bapa mereka dengan baik walaupun mereka mewah dengan kebendaan. Barangkali kerana itulah orang barat menyambut hari ibu dan bapa supaya anak-anak yang sepanjang tahun mengabaikan ibu bapa mereka dapat berbuat baik kepada ibu bapa mereka sekali dalam setahun itupun jika mereka mahu.
Firman ALLAH swt maksudnya:
Firman ALLAH swt maksudnya:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duaya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Rabbir hamhuma kama rabbayani shoghira” (Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil).” –Surah Al Israa:23-24.
Oleh itu saya berpesan kepada diri sendiri dan para pembaca sekalian, marilah kita sentiasa mengenang jasa ibu bapa kita. Marilah kita berbuat baik kepada mereka berdua tanpa mengira hari dan musim. Sesungguhnya redha ALLAH swt bergantung kepada redha kedua ibu bapa kita. Janganlah kita menyakiti hati mereka. Jika kita terlanjur menyakiti hati mereka, hendaklah segera memohon maaf serta berazam tidak akan mengulanginya lagi dan tidak perlu menunggu Hari Raya untuk memohon maaf. Sesungguhnya Hari Raya adalah hari bergembira dan tidak dikhususkan untuk meminta ampun. Kita boleh meminta ampun pada bila-bila masa sekalipun.
Sabda Nabi saw maksudnya:
“Dosa-dosa besar ialah: Menyekutukan ALLAH, dan derhaka kepada kedua ibu bapa dan membunuh manusia dan sumpah palsu (sumpah yang meneggelamkan ke dalam neraka).” -Hadis Riwayat Bukhari.
“Sesungguhnya ALLAH mengharamkan atas kamu, derhaka pada ibu dan menolak kewajipan…….. –Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Sabda Nabi saw: “Daripada dosa-dosa besar ialah seseorang yang memaki kedua ayah bondanya.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah adakah seseorang yang memaki ayah bondanya?” Jawab Nabi: “Ya. Dia memaki ayah orang lain, maka dibalas dimaki ayahnya atau dia memaki ibu orang lain, lalu dibalas dimaki ibuya.” - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Walaupun saya menetap di Seberang Jaya, Perai dan ibu bapa kini jauh di Behrang, Perak. Jantung hati ini tetap mengingati mereka berdua. Jasa mereka amat besar tidak mampu dibalas walau apa cara sekalipun. Terima kasih ata dan mak. Jasa mu dikenang. Doaku sentiasa bersama mu.
JANGAN MENYAMBUT HARI IBU! BERBUAT BAIKLAH KEPADA IBU ANDA SETIAP HARI.
Abu umair 8 Mei 2011.
satu tulisan yg amat baik,walaupun ringkas ia padat dan penuh dengan makna.tersentuh jiwa ana yg membaca.semoga allah beri surga yg paling atas untuk anta dan keluarga,juaga kepada ana dan keluarga,amin allah huma amin
ReplyDelete