Thursday, 14 April 2011

TUNAIKANLAH SOLAT WAHAI SAUDARA SAUDARIKU.

Wahai saudara saudariku yang dikasihi ALLAH swt, tunaikanlah solatmu dengan ikhlas dan sempurna walau di mana jua engkau berada serta dalam apa situasi sekalipun kerana ingatlah bahawa solat itu tiang agama. Solat membezakan antara dirimu sebagai seorang Muslim dengan non Muslim.

Ketahuilah bahawa amalanmu yang pertama akan dihisab oleh ALLAH swt. di akhirat kelak adalah SOLAT. 

Rasulullah saw. pernah bersabda maksudnya: 
’’Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Maka berkata ALLAH swt kepada para malaikat-Nya, dan ia Maha Mengetahui: ’Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya lengkap sempurna tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah ALLAH swt.: Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardunya.’ ’’(Riwayat Abu Daud: hadis sahih).

Wahai saudara saudariku, pastikanlah solatmu ikhlas hanya kerana ALLAH swt. kerana sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda maksudnya:  
’’Sesungguhnya ALLAH Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredhaan-Nya semata-mata’’(Sahih Sunan An-Nasai, no.3140).

Solatlah kamu dengan sempurna seperti mana kamu contohinya daripada Nabi saw. kerana Nabimu telah bersabda maksudnya:  
’’Kamu dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat’’(Riwayat al-Bukhari). 
Janganlah sesekali kita mengada-adakan dan menokok tambah ibadah solat mengikut selera dan kemahuan kita kerana Nabi saw. telah bersabda maksudnya: 
’’Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ianya tertolak’’ (Sahih Muslim, no.1718)
Jadi, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu bagi memastikan solat kita sempurna. Sesungguhnya solat yang sempurna itu hanyalah dengan mengikut contoh daripada Nabi saw.  


Solatmu adalah sebagai tanda engkau bersyukur kepada ALLAH swt. Solat merupakan sebaik-baik cara bagi menunjukkan sifat kesyukuran kita terhadap segala nikmat kurniaan ALLAH swt. ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu telah berseru, jika kamu bersyukur niscaya akan kami tambah lagi (nikmat kami) dan jika kamu kufur maka sesungguhnya azab kami adalah sangat pedih’’.(Ibrahim:7).


Wahai saudara saudariku, solatlah kamu kerana solat merupakan wasilah terbaik bagi termakbulnya doa kita. Allah swt. Bersabda maksudnya: 
’’Hai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar.(Al-Baqarah: 153). 
 Jadi, jalan untukmu mendapatkan sesuatu yang dihajati dan diperlukan adalah dengan meminta kepada-Nya melalui ibadah solat.


Anda melakukan dosa? Solat dapat menghalang diri anda dari melakukan dosa. ALLAH swt berfirman maksudnya: 
’’Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat ALLAH(Solat) adalah lebih besar(Keutamaanya dari ibadah-ibadah yang lainya). Dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan’’(Al-Angkabut:45)
 Janganlah kita berputus asa dengan dosa yang telah kita lakukan kerana kita insan yang lemah. Pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka luas untuk kita selagi hayat dikandung badan. Jadi, bertaubatlah walaupun apa jua dosa yang kita lakukan. Taubat kita pasti akan diterima oleh ALLAH swt dan bersolatlah.


Ingatlah wahai diriku dan dirimu bahawa kematian itu sangat hampir dengan kita. Kita pasti akan dijemput oleh ALLAH swt. pada bila-bila masa. Pabila jasat sudah terbujur layu dibaluti kain kafan yang memutih, tiada apa yang berguna lagi kecuali amalan-amalan soleh kita ketika hayat dikandung badan. Jadi, aku berpesan kepada diriku dan dirimu agar sentiada mengerjakan amalan soleh kerana peluang kita hanya sekali di dunia yang fana ini. Kerjakanlah amal kebaikan dan tunaikanlah solat. Jadilah seorang Muslimin/Muslimah contoh yang bertakwa kepada ALLAH swt. dengan sebenar-benar takwa. 


Abu umair. 23.10.2010.

No comments:

Post a Comment