Monday, 18 April 2011

MEMBANTU ORANG LAIN (KERJA KEBAJIKAN) MENDAMAIKAN JIWA.


Islam sememangnya agama kasih sayang yang menggalakan umatnya saling bantu membantu terutamanya sesama saudara semuslim. Islam juga menggalakkan umatnya berbuat baik kepada Non Muslim supaya dengan kebaikkan yang dilakukan dapat membuka hati mereka menerima Islam yang benar lagi suci ini.

Nabi saw bersabda maksudnya: 
’Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri (HR. al- Bukhari dan Muslim).


Berkata Imam an-Nawawi rh: 
Pertama-tama, hadis di atas difahami pada keumuman persaudaraan, sehingga mencakupi kafir dan Muslim. Ia suka untuk saudaranya yang kafir apa yang disukainya untuk dirinya, iaitu masuk ke dalam Islam...(Sayyid Bin Ibrahim al- Huwaithi, Syarah Arbain An-Nawawi, Darul Haq, Jakarta 2006, M/S: 142 & 143.)

Melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan.

Melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan adalah satu amalan yang mulia selari dengan ruh Islam itu sendiri. Ianya terbukti dapat menenangkan dan mendamaikan jiwa insan.

Menurut Dr. Danial Zainal Abidin, salah satu contoh yang baik adalah isteri Nabi saw, Zainab Binti Jahsy. Beliau digelar sebagai ’Ibu Bagi Orang-Orang Miskin’ kerana sering mengutamakan kebajikan orang-orang miskin di dalam hidup beliau. Satu kajian kebangsaan yang dilakukan ke atas 3,300 pekerja-pekerja sosial di Amarika mendapat, mereka yang terlibat dalam aktiviti kebajikan sering merasai helper’s high ataupun perasaan damai dan tenang selepas membantu orang lain. Sembilan daripada sepuluh mengatakan mereka berasa lebih sihat dan tekanan di dalam hidup mereka semakin berkurangan. Sebahagian yang lain pula mengalami kelegaan daripada sakit-sakit tulang, lelah dan gastrik.( Dr. Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden(Edisi kemas kini) PTS Millennia, Selangor 2010, M/S 177.)

Terbukti bahawa kerja kebajikan adalah suatu amalan yang mulia dan amat menguntungkan insan yang bergelar Muslim baik di dunia lebih lagi di akhirat. 
   
Antara kerja-kerja kebajikan yang boleh dilakukan.

Saya berpendapat kerja-kerja kebajikan akan lebih berkesan jika dilakukan secara berjamaah seperti menyertai NGO-NGO yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan. Antara kerja-kerja kebajikan yang boleh dilakukan adalah:

1.Program ziarah dan pemberian bantuan secara berterusan baik dari segi kewangan mahupun tenaga disusuli dengan nasihat kepada golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, saudara baru, anak yatim, warga tua, orang sakit, orang asli, OKU dan lain-lain bagi meringankan beban mereka sekali gus peluang tersebut dapat digunakan sepenuhnya untuk berdakwah.

   2.Bantuan ’segera’ kepada mangsa bencana alam. Apabila mendapat khabar tentang sesuatu musibah seperti banjir dan kebakaran. Umat Islam hendaklah menjadi golongan yang paling awal menyalurkan bantuan. 

3.Menyediakan pusat-pusat kebajikan seperti pusat penjagaan orang kurang upaya, pusat pemulihan akhlak remaja, pusat pelindungan pesakit HIV dan sebagainya.

4.Dakwah lapangan seperti menziarahi para remaja yang melepak di pusat-pusat rekriasi, pasaraya dan pusat hiburan dengan mengedarkan risalah kesedaran dan nasihat keagamaan serta bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa dengan meniggalkan nombor telefon kita kepada mereka.

5.Melakukan lain-lain aktiviti kebajikan disusuli dakwah dengan bersungguh-sungguh.

Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan seperti di atas, tidak dinafikan perlunya sumber kewangan dan tenaga kerja yang mencukupi. Kelemahan dalam dua aspek inilah yang sering kali menggagalkan usaha gerak kerja kebajikan. Oleh itu saya menyeru kepada umat Islam terutama sekali golongan muda yang cintakan agama agar turut serta dalam kerja-kerja kebajikan secara lebih serius. Usaha yang lebih agresif juga perlu digerakkan bagi mengumpul dana untuk menampung segala aktiviti yang dijalankan.


Kita agak ketingalan.

Saya berpendapat bahawa kita agak jauh ketinggalan dalam melakukan kerja-kerja kebajikan berbanding golongan agama lain seperti Kristian dan Budha di Pulau Pinang ini. Hal ini amat merugikan kita yang hakikatnya berdiri di atas landasan kebenaran berbanding golongan agama lain. Sepatutnya kitalah yang lebih mendahului mereka kerana Islam sememangnya menganjurkan amal kebajikan dikalangan umatnya. Terdapat juga mereka yang beragama lain menggunakan kerja-kerja kebajikan bagi menyebarkan dakyah mereka dan ini merupakan satu perkara yang amat membahayakan umat. Usahlah kita menjadi umat yang hanya pandai bercakap dan menunding jari kepada orang lain tanpa melakukan apa-apa. Usahlah kita hanya melihat golongan agama lain yang melakukan kerja-kerja kebajikan, membantu golongan yang memerlukan secara bersungguh-sungguh sebaliknya kita masih tidur dan leka. Oleh itu saya menyeru kepada diri sendiri dan khususnya golongan muda yang cintakan agama serta umat Islam seluruhnya supaya sama-sama berganding bahu dalam melakukan kerja-kerja kebajikan dengan ikhlas, sabar dan Istikhomah. Marilah kita menjadi umat contoh dalam melakukan  kebajikan buat bekalan di akhirat kelak. Wallahu’alam.


Ramai lagi insan seperti mereka memerlukan bantuan. Sudahkah anda membantu mereka sedangkan anda mampu melakukannya?. Tidakkah anda bersyukur dengan nikmat kesenangan dan kesihatan tubuh badan yang telah ALLAH SWT kurniakan? Adakah sudah cukup rutin hidup seharian kita sekadar pergi kerja di waktu pagi, pulang petang, mandi, makan, menonton televisyen, minum teh di kedai mamak bersama rakan-rakan dan tidur? Inikah rutin hidup seorang muslim???

Ayuh! Marilah kita menjadi MUSLIM SEJATI dengan menjadikan kerja kebajikan sebagai gaya hidup kita. Jadikan kerja kebajikan sebahagian daripada hidup kita. INSYAALLAH hidup kita akan lebih bermakna, jiwa kita akan lebih tenang dan kita akan mendapat ganjaran yang besar daripada ALLAH SWT INSYAALLAH.

Oleh: Abu umair, 2010

No comments:

Post a Comment