Friday, 30 August 2013

ERTI SEBUAH KEHIDUPAN.

Gambar hiasan.
Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk bernafas pada hari ini, esok lusa hanya ALLAH swt yang tahu. Itulah sebuah kehidupan makluk bernama insan. Jika dihitung, amat singkatlah kisah hidup kita menuju ke daerah yang kekal abadi.

Kenapa kita diutuskan ke dunia yang fana ini? Untuk apa ALLAH swt mencipta kita?. Jawapannya mudah. DIA meciptakan kita untuk beribadah kepadaNYA dan tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu apapun. Firman ALLAH swt maksudnya: 
“Dan tidaklah AKU menciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada KU.” (Adz-Dzaariyat: 56)
Nabi saw pula bersabda maksudnya: 
“Hak ALLAH atas hamba-hambaNYA hendaklah mereka beribadah kepadaNYA dan tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu apapun.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). 
Jadi , amat jelaslah matlamat hidup kita di dunia yang amat sementara dan penuh dengan dugaan ini. Firman ALLAH swt maksudnya: 
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH, Rabb semesta alam.” (Al-An’aam:162)
Dan Nabi saw bersabda bahawa ALLAH swt berfirman ( maksudnya): 
“Tidaklah hambaKU bertaqarub (mendekatkan) kepada KU dengan sesuatu yang lebih AKU cintai daripada hal-hal yang AKU wajibkan kepadanya. (Hadis Qudsi Riwayat Al-Bukhari)
Doa itu juga adalah satu bentuk ibadah. Nabi saw bersabda (Maksudnya): 
“Doa itu adalah ibadah.” (Hadis Hasan Sahih Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi).
Jika kita mempunyai masalah dan hajat yang ingin dicapai serta apa-apa jua permintaan, maka berdoalah kepada ALLAH swt. Hanya ALLAH sahaja yang dapat menolong hambaNYA. Jadi mintalah kepada NYA. ALLAH swt berfirman maksudnya: 
“Dan Rabb-mu berfirman: Berdoalah kepada KU,nescaya akan KU perkenankan bagimu...” (Ghaafir:60).
Matlamat hidup sudah jelas, jadi bagaimana jika kita melakukan dosa? Masihkah ada harapan untuk kembali ke pangkal jalan?. Subhanallah! rahmat dan kasih sayang ALLAH swt kepada hambaNYA sangatlah luas. Walaupun kita menderhakai ALLAH swt dengan melakukan dosa dan walau sebesar manapun dosa yang kita lakukan, pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka luas selagi nyawa melekat di tubuh. Jika nyawa sudah melayang, sesalan tidak berguna lagi. Jadi janganlah kita putus harapan dengan dosa yang telah dilakukan. Segeralah bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai ALLAH swt. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman (Maksudnya): 
"Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya DIA adalah Maha Pengampun Niscaya DIA akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10-12)
ALLAH swt berfirman maksudnya:  
“Dan ALLAH tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan ALLAH tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” [surah al-Anfaal : 33].

Mudahan hidup yang sementara dan amat singkat ini penuh bermakna dalam kita mencapai redha ALLAH swt buat bekalan di akhirat sana. Apalah gunanya jika usia ini dibazirkan secara  sia-sia. Marilah kita bertaqwa kepada ALLAH swt dengan mengerjakan amal soleh. Marilah berakhlak mulia dan berbakti kepada agama. Mudahan kesudahan yang baik menanti di sana. 

Abu Umair 30.08.2013             

Thursday, 15 August 2013

DOA UNTUK MESIR.



Amat sedih dan mendukacitakan melihat saudara-saudara kita dibunuh dan diperlakukan dengan penuh zalim oleh puak perampas lagi zalim di Mesir. Adakah mereka yang membunuh umat Islam akan selamat??? Tidak sama sekali, mereka tidak akan terselamat dari balasan ALLAH Azza Wa Jalla. Hidup mereka tidak akan aman InsyaALLAH. Ya ALLAH selamatkanlah saudara-saurara kami di Mesir dan hancurkanlah si pembunuh umat Islam. Amin.

Di dunia mereka nampak seperti samseng dan kononya gagah dengan senjata, tetapi mereka yang zalim tidak akan terlepas dari balasan ALLAH Azza Wa Jalla.

Allah SWT berfirman (Maksudnya) ;


“Dan barang siapa yang membunuh seorang mu’min dengan sengaja maka balasannya ialah Jahanam, dia kekal di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan melaknatinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (An Nisa: 93)



Beginilah keadaan jenazah-jenazah umat Islam yang tersusun di dalam Masjid menurut sumber dari Facebook Dr. Muhammad Salah.

Menurut maklumat dari Facebook Dr. Muhammad Salah lagi, Masjid Rabeah aladawiah ini dibakar untuk menutup bukti kekejaman mereka. Masjid dibakar bersama jenazah-jenazah umat Islam yang dibunuh.

Marilah kita melakukan Qunut Nazilah dan terus menerus berdoa mudahan ALLAH menyelamatkan umat Islam di Mesir dan di seluruh dunia serta menghancurkan musuh-musuh Islam di seluruh dunia.


Abu Umair 15/8/2013

Sunday, 4 August 2013

DUNIA PENTAS DUGAAN

Gambar hiasan.



Beberapa hari yang lepas, kami telah menziarahi dan memberi bantuan kepada sepasang suami isteri miskin. Dahulunya pendapatan mereka baik kerana menjalankan perniagaan kedai runcit berdekatan tempat tinggal mereka. 

Pada mulanya perniagaan berjalan lancar tetapi hari demi hari perniagaan semakin merosot dan akhirnya jatuh 'bankrupt' dan terpaksa ditutup. Kehidupan mereka menjadi semakin merosot tanpa halatuju, akhirnya siisteri mengalami ganguan perasaan dan kerap menangis dan kini menjalani rawatan, sisuami pula menghadapi masalah sakit kaki dan sudah tidak dapat berdiri lama dan bekerja. Kini mereka sudah putus harapan untuk bangun semula dan mengharapkan tangan anak-anak untuk membantu walaupun anak-anak mereka hanya berpendapatan rendah.


Setiap dugaan di dunia yang sementra ini adalah kerana ALLAH swt menyayagi kita dan ALLAH swt hendak memberikan kita Syurga yang abadi jika kita menjadi hambaNYA yang bertaqwa. Mudahan mereka kembali tabah dan sabar dengan dugaan dan tidak putus harapan dan terus berdoa. Mudahan ALLAH swt mengeluarkan mereka daripada kesusahan yang sementara ini. 


Lihatlah bagaimana saudara kita di Syria, Myanmar, Palestin diduga. Tidak sia-sailah dugaan yang mereka hadapi di dunia yang fana ini kerana berita gembira menanti mereka di akhirat sana jika mereka sabar dan bertaqwa kepada ALLAH swt.


Firman ALLAH swt maksudnya:


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Al-Baqarah 155-157). 

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. ( Al-“ankabut : 2-3)


Mudahan saya dan saudara saudari sekalian mengambil ikhtibar dan menjadi insan yang tabah, sabar dan bersyukur kepada ALLAH swt dan tidak putus-putus beristigfar dan berdoa kepadaNYA. Wallahu'alam 


Abu Umair 4.8.13

Tuesday, 23 July 2013

ISTIGHFAR, Kunci Kebahagiaan Dan Ketenangan.

ISTIGHFAR, kunci kebahagiaan dan ketenangan... oleh itu sentiasalah ber:
استغفار، استغفر الله...
Pada suatu hari ada seorang lelaki mengadu kepada Hasan al-Basri mengenai langit tidak hujan. Hasan al-Basri lantas berkata kepadanya: 
“Beristighfarlah kepada Allah.”

Selanjutnya seorang lelaki lain mengadu akan kemiskinan yang menimpanya. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: 
“Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang seorang lelaki berkata : Isteri aku mandul, tidak dapat melahirkan anak. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya:
“Beristighfarlah kepada Allah”.

Berkata seseorang : Beberapa orang lelaki mendatangimu mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!

Hasan al-Basri menjawab: “ Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:

Ertinya:
“Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: ayat 10-12)

===================
Firman Allah swt :

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” [surah al-Anfaal : 33].

1. Allah menjelaskan nikmat keberadaan Nabi Muhammad :saw, sehinggakan azab secara umum dapat dicegah. Tidak seperti kaum-kaum lain yang Allah turunkan azab terus kepada mereka.

2. Istighfar dapat menyelamatkan manusia dari azab didunia dan diakhirat.

Maka, janganlah sekali-kali kita lupa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah swt… Astaghfirullah…Astaghfirullah…. Astaghfirullah….

Dan jangan lupa bahawa anda merupakan orang yang mendapat ganjaran orang yang beristigfar disebabkan peringatan anda. Moga2 Allah mengampunku dan kamu, dan seluruh orang-orang Islam.

Abdul Basit Abdul Rahman

Friday, 31 May 2013

KEPENTINGAN DAN TANGGUNGJAWAB MENYOKONG PERNIAGAAN MUSLIM

Gambar hiasan

Masih ramai umat Islam tidak sedar akan tanggungjawab dan kepentingan membeli produk keluaran Muslim dan menyokong perniagaan Muslim. Akibat kurangnya semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim, ramai yang tidak peka mengenai hal ini dan tidak peduli akan tanggungjawab mereka membantu dan menyokong perniagaan Muslim. Hasilnya banyak produk Muslim tersusun rapi di rak pasaraya tetapi malangnya sudah hampir melepasi tarikh luput kerana tak laku.Sedangkan kuasa membeli ada ditangan umat Islam yang merupakan mejoriti di negara ini.

Islam amat menitik beratkan aspek kasih sayang, persaudaraan dan tolong-menolong sesama saudara Muslim. ALLAH swt berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat:10). Nabi saw pula bersabda maksudnya: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Malangnya hadis dan ayat al-Quran seperti ini tidak dihayati oleh ramai Muslim.

Antara alasan yang pernah saya dengar dari segolongan Muslim yang memilih untuk tidak membeli produk Muslim  dan tidak membeli di premis perniagaan Muslim adalah seperti berikut:

1. 'Produk Muslim lebih mahal harganya berbanding produk lain'. Benarkah begitu? Bagi saya bukan semua produk Muslim itu lebih mahal sebaliknya telah ditanamkan di dalam otak  sesetengah daripada kita bahawa asalkan produk atau perkhidmatan Muslim sahaja mesti lebih mahal. Ya jika mahal sedikit pun apa salahnya? adakah dengan membayar lebih sepuluh atau dua puluh sen boleh menyebabkan kita menjadi miskin?. Apa salahnya membayar lebih sedikit demi membantu saudara sesama Muslim? Anggaplah lebihan harga  yang dibayar itu sebagai sumbangan bagi meningkatkan ekonomi umat Islam.

2. 'Produk Muslim kurang berkualiti'. Bagi saya ini satu tuduhan yang tidak berasas kerana saya merupakan pembeli tetap produk Muslim dan ianya ternyata berkualiti setanding produk yang lain. Ya memang ada produk Muslim yang kurang berkualiti dan ianya bertentangan dengan Islam tetapi persoalan saya adakah semua produk Non Muslim itu berkualiti?

3. 'Perkhidmatan kurang cekap dan kurang mesra pelangan'. Ya saya akui realiti ini berdasarkan pengalaman sendiri berurusan dengan syarikat Muslim walaupun bukan semua begitu. Ada juga syarikat Muslim yang menawarkan perkhidmatan sangat baik pernah sy jumpa. Bagi saya apa yang perlu kita lakukan adalah menasihati peniaga-peniaga Muslim yang menawarkan perkhidmatan yang buruk agar mereka sedar dan berubah. Sampaikan pesanan kepada mereka bahawa Islam mementingkan kualiti dan amanah dalam perniagaan. InsyaALLAH akan ada perubahan.

Banyak lagi alasan yang diberikan dan semua itu tidak menafikan tanggungjawab kita untuk terus menyokong perniagaan Muslim. Antara kepentingan Muslim menyokong perniagaan Muslim adalah:

1. 'Bagi meningkatkan ekonomi umat Islam'. Ianya penting sebagai contoh, jika keuntungan semakin bertambah dan perniagaan semakin maju, maka wang zakat yang dikeluarkan juga semakin bertambah. Wang zakat tersebut jika diagihkan dengan baik, insyaALLAH dapat mewujudkan perubahan positif terhadap masyarakat Islam. Peniaga muslim yang berjiwa besar dan mendapat keuntungan yang luar biasa hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada penguna Muslim juga akan memperbanyakkan sedekah dan sumbangan kepada gerakan dakwah dan gerak kerja kebajikan. ini menyebabkan dakwah berkembang dan umat Islam akan bertambah maju insyaALLAH.

2. 'Umat Islam akan lebih dihormati dan berpengaruh didalam sesuatu masyarakat serta tidak mudah ditindas hasil kuasa ekonomi yang mereka miliki'. Sebagai contoh, sahabat saya pernah belajar di Afrika Selatan. Beliau menceritakan bagaimana umat Islam di sana menguasai ekonomi hasil perniagaan yang maju hampir setanding warga Non Muslim kulit putih. Umat Islam disana dihormati dan mempunyai pengaruh yang kuat serta mendapat sokongan kerajaan yang kini dikuasai bangsa Afrika. Dakwah dan kerja kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

3. 'Kuasa ekonomi umat Islam insyaALLAH dapat menguatkan gerakkan dakwah dan kerja kebajikan'. Seperti sedia maklum, wang adalah penting dan untuk berdakwah pun kita memerlukan wang. Jika ekonomi umat Islam mundur, maka kita tidak dapat menjana kelangsungan dakwah dan gerak kerja kebajikan yang lebih berkesan kerana tidak dapat menampung kos yang timbul.

4. 'Dapat memupuk kasih sayang dan saling sokong menyokong dikalangan Muslim'. Jika ekonomi umat Islam kukuh, maka umat Islam akan lebih saling tolong menolong dan memberi sokongan diantara satu sama lain insyaALLAH. 

5. Produk Muslim juga sudah semestinya halal dan dapat digunakan tanpa was-was insyaALLAH.

Oleh itu saya menyeru diri sendiri dan seluruh umat Islam marilah kita menyokong perniagaan umat Islam, Utamakan produk Muslim. Jika Muslim tidak menyokong perniagaan Muslim, siapa lagi yang hendak kita harapkan?. 

Para peniaga Muslim juga hendaklah amanah dan takut kepada ALLAH dalam apa yang diusahakan. Tingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. InsyaALLAH umat Islam akan terus maju. Jadilah penguna dan peniaga yang soleh!
“Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid” (Riwayat al-TIrmizi, bertaraf ‘hasan’).

Abu Umair 31.05.2013 

Monday, 27 May 2013

Wasiat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wassalam kepada Abu Dzar Al Ghifari

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah berwasiat pada Abu Dzar Al Ghifari di mana Abu Dzar berkata,

أَوْصَانِيْ خَلِيْلِي بِسَبْعٍ : بِحُبِّ الْمَسَاكِيْنِ وَأَنْ أَدْنُوَ مِنْهُمْ، وَأَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلُ مِنِّي وَلاَ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوقِيْ، وَأَنْ أَصِلَ رَحِمِيْ وَإِنْ جَفَانِيْ، وَأَنْ أُكْثِرَ مِنْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، وَأَنْ أَتَكَلَّمَ بِمُرِّ الْحَقِّ، وَلاَ تَأْخُذْنِيْ فِي اللهِ لَوْمَةُ لاَئِمٍ، وَأَنْ لاَ أَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا.


“Kekasihku (Rasulullah) shallallahu 'alaihi wa sallam berwasiat kepadaku dengan tujuh hal: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka, (2) beliau memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku, (3) beliau memerintahkan agar aku menyambung silaturahmiku meskipun mereka berlaku kasar kepadaku, (4) aku dianjurkan agar memperbanyak ucapan laa hawla wa laa quwwata illa billah (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), (5) aku diperintah untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit, (6) beliau berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah, dan (7) beliau menasehatiku agar tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia” (HR. Ahmad 5: 159. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa hadits ini shahih).

Monday, 29 April 2013

WANITA DAN PERJUANGAN HAK KESAMARATAAN.

Gambar hiasan.

Kedengaran laungan pejuang hak asasi wanita di sana sini. Mereka kononya memperjuangkan hak kesamaratan diantara wanita dan lelaki. Adakah matlamat mereka tepat atau sebaliknya hanya menjatuhkan lagi martabat mereka?

Apabila kaum lelaki dijadikan sebagai role model ataupun standard bagi kaum wanita untuk berjaya, iaitu kaum wanita hendaklah mendapat hak atau menjadi seperti kaum lelaki dalam semua aspek. Mereka tidak sedar sebenarnya dengan meletakkan kaum lelaki sebagai standard, mereka telah merendahkan martabat mereka sebagai seorang wanita kerana berangapan bahawa kaum lelaki lebih tinggi statusnya berbanding kaum wanita sehingga memaksa mereka menjadi sama seperti kaum lelaki. Inilah kesilapan besar mereka.

Hakikatnya, wanita dan lelaki adalah sama dari segi statusnya cuma berbeza dari segi tanggungjawab. Tanggungjawab ini telah disusun dengan baik oleh Yang Maha Esa bagi mewujudkan kestabilan umat manusia. Jika salah seorang diantara mereka meningalkan tanggungjawab yang diamanahkan, maka akan terserlahlah kesan buruk jangka panjang mahupun pendek didalam sesuatu masyarkat khususnya. Jika sisuami mahupun siisteri atau siibu mahupun sibapa meningalkan tanggungjawab mereka, maka tungulah kerosakkan yang bakal menjelma hasil tindakan mereka. Jadi dari sudut Islam, tidak timbul soal ketidakadilah hak diantara lelaki dan wanita. Islam memberi keadilan dan membela hak wanita tanpa megabaikan hak lelaki. Itulah keadilah namanya.


Islam telah lama membela hak wanita. Bahkan sebelum kedatangan Nabi saw, kaum wanita ditindas dengan begitu teruk dan Nabi saw, pembela agung hak wanita membebaskan mereka dari penindasan tersebut lalu mengangkat martabat kaum wanita di suatu tahap yang tinggi sama seperti kaum lelaki.

Menurut Prof. Madya Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dalam kertas kerja beliau bertajuk Pembelaan hak wanita dalam hadith-hadith Nabi saw dan keseimbangannya:


Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jika pun ada pembelaan, hak mereka adalah atas ehsan dan simpati lelaki semata-mata. Malah dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. 
Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya daripada lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam Masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. 
Sementara itu, masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu adalah lebih dahsyat lagi. Mereka membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut, “..Historically, Islam had been very liberal and progressive in granting property rights to women. It is a fact that there were no property rights given to Hindu women until 1956, when the Hindu Code Bill was passed, whereas Islam hand granted these rights to Muslim women over 1400 years ago.” 
Namun, kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Hadith-hadith baginda membela dan mempertahankan hak mereka. Kehadiran hadith-hadith ini mengembalikan kedudukan wanita dan membuang anggapan bahawa mereka tidak perlu diletakkan di tempat yang mulia.
Begitu banyak hadis-hadis yang membela wanita antaranya:
Daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).
Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).
Daripada  al-Mughirah bin Syu’bah katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu penderhakaan terhadap ibu, menanam (membunuh) anak perempuan..." (Riwayat al-Bukhari 2/848, 5/2229 dan Muslim 3/1341).
Banyak lagi hadis-hadis Nabi saw yang membela kaum wanita jika hendak disenaraikan. Itulah keadilan Islam yang benar ini.

Malangnya bila berlakunya sesuatu penindasan terhadap kaum wanita oleh sebilangan kaum lelaki Muslim yang kurang beriman, maka Islam dipersalahkan. Kelemahan-kelemahan sesetengah institusi melibatkan umat Islam yang pengurusannya kurang cekap sehingga hak wanita tidak dibela juga menyumbang kepada salah faham ini. Ditambah pula dengan media massa yang dikuasai barat sering membuat propaganda memburuk-burukkan Islam atas sebab agenda jahat mereka.

Disebabkan kelemahan manusia dan agenda jahat musuh-musuh Islam menyerang Islam dengan pelbagai propaganda kononya Islam tidak membela wanita, apa yang boleh kita lakukan sebagai insan biasa?. Kita hendaklah memulakan satu gerakan pemahaman kepada masyarakat mengenai betapa Islam membela wanita. Sebarkan hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran yang membela wanita supaya masyarakat jelas dengan hakikat sebenar. Sebarkan melalui ucapan, facebook dan sebagainya.

Kaum lelaki Islam hendaklah bersikap baik dan berlaku adil terhadap wanita selari dengan kehendak Islam, dengan contoh yang baik daripada lelaki Islam, ianya dapat menonjolkan akhlak Islam yang sebenar lalu dapat memadamkan salah faham terhadap Islam insyaALLAH.

Kaum wanita Islam khususnya jika terasa dirinya ditindas akibat institusi kekeluargaan yang lemah dan institusi melibatkan umat Islam yang kurang cekap, janganlah terus menghukum agama Islam yang benar ini sebaliknya semaklah apa kata al-Quran dan apa kata as-Sunnah. Kembali kepada Islam yang sebenar bukan menyertai gerakkan hak asasi wanita yang terkeliru. Yakinlah wahai wanita, bila disemak al-Quran dan Sunnah, anda pasti akan melihat betapa Islam membela hak wanita dan betapa kelemahan manusia dan agenda jahat media massa telah memburuk-burukan Islam yang benar lagi suci ini. Wallahu'alam

Abu Umair
15.03.2013 




Thursday, 28 March 2013

BOLEHKAH MEMBERI SUMBANGAN SECARA TERANG-TERANGAN?


Sudah lama agaknya blog saya tidak dikemaskini dengan tulisan-tulisan yang baru. Alhamdulillah pada hari ini, blog ini sudah kembali aktif dan topik yang saya paparkan juga mungkin memberi jawapan kepada ramai pihak yang selama ini tidak tahu sehinggalah saudari Hafizah yang merupakan Pengerusi Biro Muslimat persatuan kami mengemukakan dalil-dalil sahih mengenai isu ini. Alhamdulillah mudahan ALLAH merahmati dan memberkati beliau diatas perkongsian ilmu ini.

Isu ini timbul akibat kritikan seorang saudara kita yang tidak berpuas hati apabila persatuan kami memuat naik gambar-gambar kerja kebajikan yang kami lakukan di Facebook bagi tujuan tertentu yang tidak mahu saya panjangkan disini supaya tulisan ini tidak terlalu panjang. Cukuplah sekadar saya mengemukakan dalil seperti yg telah dikongsikan oleh saudari Hafizah.

Memberi sumbangan secara terang-terangan, menampakkan wajah, menyebarkan kepada umum dan sebagainya adalah termasuk di dalam SUNNAH HASANAH. 

"Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan" al-Baqarah 2:271

Tafsiran Imam Ibn Katsir terhadap ayat di atas:
"Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riya’. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama".

Mudah kata, sedekah atau derma dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut menderma, maka atas tujuan ini adalah baik untuk 'menunjukkan' dermanya. Menderma secara terang-terangan atau 'menunjuk' turut ada contoh di dalam sunnah berdasarkan hadis berikut:

Daripada Jarir bin 'Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah saw. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka, mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda.(Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda. (Melihat yang sedemikian) Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun." HR Muslim


Mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua dan sesudah ini kita tidak lagi buruk sangka terhadap mereka yang menzahirkan amalan sedekah mereka. Hanya ALLAH swt yang tahu sejauh mana keikhlasan seseorang itu dalam beramal. Wallahu'alam

Abu Umair
28.03.2013

Wednesday, 24 October 2012

Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada Ajaran Islam.


Subhanallah, apabila saya mempelajari Hadis di bawah ini, terasa bergetar di jiwa betapa Islam menganjurkan umatnya mengerjakan kebajikan seperti memberi makan dan sebagainya.

Sahih Bukhari - Kitab Iman
Bab 6: Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada (Ajaran) Islam

١١ - حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ خَالِدٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ عَنْ أَبِي الْخَيْرِ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِي اللَّه عَنْهممَا{ أَنَّ رَجُلا سَأَلَ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الإِسْلامِ خَيْرٌ ؟ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ }
...
11- `Amru bin Khalid telah meriwayatkan kepada kami, katanya, al-Laith telah meriwayatkan kepada kami dari Yazid dari Abi al-Khair dari `Abdillah bin `Amar r.a, bahawa ada seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi s.a.w., katanya: “Apakah (ajaran) Islam yang paling baik? Nabi s.a.w. bersabda: Memberi makanan dan memberi salam sama ada kepada orang yang telah engkau kenali atau belum.”

Faedah hadis berdasarkan bab:


1. Memberi makan bukan khusus kepada umat Islam sahaja, tetapi termasuk kepada bukan Islam dan binatang.

2.Sesuatu kaedah umum, ia akan menjadi khusus hanya apabila mempunyai dalil. Contoh umum adalah seperti hadis di atas 'orang yang kamu kenal dan tidak kenal'. contoh khusus adalah 'kepada orang Islam'.

3.Nabi saw nak suruh umatnya menjadi 'jud' yang bermaksud teramat dermawan (dermawan bukan hanya dari sudut kebendaan seperti harta atau wang sahaja, ianya boleh jadi ilmu, kasih sayang dan sebagainya)

4.Antara amal yang ada dalam Islam sekurang-kurangnya berilah makan untuk menjalinkan hubungan.

Saudara dan saudari sekalian, marilah kita menonjolkan akhlak Islam yang mulia dengan memberi makan terutamanya kepada ahli keluarga, jiran, fakir miskin dan lain-lain lagi. Lihatlah betapa Islam menganjurkan kebaikan dan kebajikan. Lakukanlah dengan seikhlasnya. Mudahan kita semua dirahmati dan diberkati oleh ALLAH swt.  Wallahu'alam.

abu umair 24.10.2012

Sunday, 8 July 2012

KEBAJIKAN ICS: ZIARAH DAN MEMBANTU MANGSA KEBAKARAN.

Antara usaha gerak kerja kebajikan ICS adalah jika mendapat khabar berita berlakunya kebakaran disekitar Pulau Pinang khususnya, InsyaALLAH ICS akan menziarahi mereka yang diduga tersebut dengan memberi kata semangat dan menghulurkan bantuan. 

ICS sedar akan penderitaan mereka. Bayangkan rumah yang didiami selama ini musnah sama sekali. Pakaian, kelengkapan rumah, barangan berharga yang kadang kala tiada tukar gantinya dan dokumen-dokumen penting semuanya hangus dijilat api. Bayangkan betapa sukarnya keadaan mereka?. Jadi sebagai umat Islam,  kita bertanggungjawab membantu mereka. Inilah anjuran Islam.

Beginilah keadaan beberapa rumah yang telah ICS ziarahi. Bayangkan betapa sedih dan sukarnya mereka menghadapi keadaan seperti ini. Mudahan ALLAH swt mengurniakan kesabaran dan ketabahan serta mempermudahkan urusan mereka. Bersama kita doakan. 








ICS hadir tanda ambil berat dan kasih sayang sesama Islam. Saudara-saudara seIslam kita dalam kesusahan, kita wajib menghulurkan tangan membantu. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri" (HR. al- Bukhari dan Muslim). 
"Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu angota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
"Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.






Walaupun membantu umat Islam yang dalam kesusahan merupakan agenda utama ICS sebagai tanda tanggungjawab, ambil berat dan kasih sayang sesama saudara Islam, ianya tidak menghalang ICS daripada membantu mereka yang belum memeluk Islam selari dengan firman ALLAH swt yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
Dengan kita membantu mereka, Mudahan ALLAH swt membuka jantung hati mereka untuk menerima Islam. Paling tidakpun mereka akan menghormati umat Islam dan akan lebih dekat dengan Islam. 

Dalam usaha musuh-musuh Islam memberikan gambaran buruk mengenai Islam melalui media massa mereka, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan akhlak Islam yang mulia bagi membuktikan pembohongan musuh-musuh Islam tersebut. Kerja kebajikan adalah salah satu cara kita menonjolkan imej Islam yang sebenar.

Akhir kata, ICS menyeru diri sendiri dan saudara saudari yang seakidah sekalian, marilah sama-sama kita melakukan amal kebajikan dan marilah kita berakhlak mulia. Tonjolkan imej Islam yang sebenar dan martabatkanlah Islam.

ICS amat memerlukan sokongan dan doa saudara saudari sekalian bagi meneruskan usaha gerak kerja kebajikan ini. ICS amat mengalu-alukan sumbangan anda. Semuga ALLAH swt memberkati kita semua. Semuga kegemilangan umat Islam yang telah tercicir akan kembali menyinar semula.


Tulisan ini adalah pandangan dan pendirian peribadi abu umair. Ianya tiada kaitan dengan ICS.

Abu umair 7 Julai 2012

Saturday, 2 June 2012

BANTUAN RAMADHAN ICS


PROJEK BANTUAN RAMADHAN ICS 2012

Dikala kita menyambut ramadhan dengan makanan sahur dan berbuka yang enak-enak belaka, ramai lagi saudara kita di luar sana dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita.

Atas dasar itu, ICS melancarkan kempen membekalkan makanan berkhasiat kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka.

Salurkan sumbangan anda hari ini melalui akaun ICS untuk membantu mereka yang memerlukan. Mudahan sedikit sumbangan yang anda salurkan mendapat pahala kebaikan yang besar daripada ALLAH swt.


abu umair Mei 2012

Thursday, 24 May 2012

KEBAJIKAN ICS: DUKACITA MELIHAT KEADAAN SAUDARA KITA



ICS amat berdukacita dengan penganiayaan terhadap saudara kita seorang cina Muslim yang baru memeluk Islam.

Ahli ICS telah menguruskan pengislaman beliau dan memberi sokongan terhadap perkahwinan beliau dengan seorang Muslimah melayu 2 bulan lepas.

Kegembiraan beliau dan isteri sebagai pengantin baru bertukar rupa apabila dibelasah oleh beberapa pemuda melayu Islam sehingga cedera parah di muka, retak di kaki & bahu mengalami lebam.

Pemuda melayu yang berjumlah antara 4-5 orang tersebut telah mezalimi beliau, memukul beramai-ramai sehingga parah tanpa usul periksa kerana termakan fitnah dan hasutan orang luar.

ICS ingin bertanya apa hak kita untuk memukul orang lain dengan sedemikian rupa? Adakah ini akhlak Islam? adalah ini yang Islam ajar?

ICS sedang berusaha menonjolkan imej Islam yg sukakan keamanan, kasih sayang, ambil berat dan tolong menolong tetapi sikap segelintir umat Islam yang tidak bertanggungjawab seperti ini hanya mengundang salah faham dan boleh menyebabkan orang lari dari Islam.

Beliau bertanya kepada kami "Kenapa saya dipukul sebegini tanpa diberi peluang bercakap?" "Beginikah orang Islam?". Sungguh sedih.

Alhamdulillah beliau memaklumkan bahawa bersedia memaafkan pemuda melayu yang memukul beliau dengan syarat mereka hendaklah berjumpa dan mendengar penjelasa beliau terlebih dahulu.

ICS menyeru diri sendiri dan saudara saudari sekalian agar berlaku adillah, berakhlak mulialah. Pergi meminta maaf kepada orang yang anda zalimi secara segera kerana ya akhi dosa zalim sangat besar.

"Sesungguhnya ALLAH menangguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila ALLAH mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

"Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat" (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab diantaranya dengan ALLAH."Hadis Riwayat al-Bukhari)
 
abu umair Mei 2012

Sunday, 6 May 2012

DI MANA TERLETAKNYA KEKUATAN SEBENAR?

Gambar hiasan.
Bulan April lepas, seorang lelaki bukan Islam terjatuh dari tingkat 10 Flat Jalan Kedah. Jasadnya terkulai di dalam longkang dan otaknya pula bersepah di tangga dan dinding.

Ketika melihat mayat tersebut, satu perkara telah menganggu fikiran saya. Betapa lemahnya makhluk bernama manusia. Ketika hidup, berapa ramai dikalangan kita yang berlagak samseng dan kuat. mendabik dada dan berjalan dengan penuh kesombongan tanpa menyedari yang dirinya hanyalah insan yang amat lemah dan boleh MATI pada bila-bala masa.

Manusia yang sombong dan samseng ini tidak sedar yang mereka sangat lemah sehingga tidak mampu menjauhi kematian yang ditentukan ALLAH swt. Lalu mereka pantang dicabar dan suka mencari penyelesaian dengan bergaduh dan menzalimi orang lain.

Ada insan menjadi samseng jalanan. Jika ada pemandu kenderaan yang tersilap, mereka akan menghimpit kenderaan tersebut lalu memukul pemandunya. Akhirnya pemandu tersebut mungkin terselamat dari kemalangan jalan raya tetapi cedera dan ada yang mati akibat dipukul.

Jika berlaku salah faham, maka si sombong yang berlagak kuat dan samseng ini akan membawa 'geng'  seramai 20 atau 30 orang untuk memukul seorang sahaja sehingga lembik, 'lunyai' dan ada yang berkesudahan dengan kematian.

Orang yang kuat bukanlah yang menang bertumbuk dan ada 'geng' ramai. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. Sungguh cantik Islam mendidik jiwa kita.
Jangan sombong jika hendak selamat.
Adakah sikap zalim ini tidak akan dibalas oleh ALLAH swt?. Ia pasti akan dibalas dengan azab yang amat berat. Di dunia engkau samseng berlagak kuat, ada 'geng' ramai tetapi setelah engkau MATI dan keseorangan di dalam kubur, adakah engkau masih berlagak samseng? adakah 'geng-geng' yang engkau banggakan itu dapat menolong dikala engkau disebat dalam kubur?. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Sesungguhnya ALLAH menagguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila ALLAH mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri" (Hadis Riwayat al-Bukhari)
"Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat" (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab diantaranya dengan ALLAH."Hadis Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu fikirkanlah sejenak wahai saudaraku yang dikasihi sebelum anda ingin berlagak samseng dan berhasrat menyertai kumpulan samseng tentang matlamat anda di utuskan ke dunia ini. Tulisan ini sebagai tanda kasih dan sayang saya kepada anda sebagai saudara seakidah.

Wahai saudaraku, janganlah menjadi samseng, menganiaya serta menzalimi orang lain. Jadilah hambaNYA yang soleh. Kejayaan sebenar tidak diukur berdasarkan betapa samsengnya anda dan berapa ramai yang telah anda pukul selama ini tetapi diukur berdasarkan berapa banyak amalan soleh anda di dunia yang sementara ini. Kematian semakin menghampiri kita.

Bagi saudaraku yang sudah terlanjur, bertaubatlah segera. Hentikan kezaliman yang merosakkan ini. Orang akan membenci dan mendoakan keburukkan untuk anda. Anda tidak akan hidup selamanya. Setelah mati, sesalan tidak berguna lagi kerana pintu taubat sudah ditutup. Oleh itu bertaubatlah segera dengan kembali ke pangkal jalan. Hiduplah secara normal dan aman damai.Lakukanlah kebaikan sebanyak yang mungkin. Mudahan sesudah mati, kita dikenang dengan kebaikan yang dilakukan bukan dengan keburukkan serta peganiayaan yang kita lakukan.

Mudahan hayat yang pendek ini dipenuhi dengan segala kebaikan buat bekalan di akhirat kelak. Kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertakwa. Mudahan kita menjadi hambaNYA yang bertakwa. Fikir-fikirkan sebelum bertindak supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Abu umair 4.5.2012

Sunday, 22 April 2012

BERTAWAKAL KEPADA ALLAH ATAU KEPADA DATO' DAN AHLI POLITIK?

Seorang pegawai bank bertanya kepada saya, "siapa di belakang pertubuhan kebajikan encik". Saya minta diperjelaskan kerana kurang faham. Lalu beliau memperjelaskan "Dato' mana atau ahli politik mana di belakang pertubuhan encik". Saya menjawab tiada dato' mahupun ahli politik di belakang kami. Beliau kehairanan lalu bertanya "bagaimana pertubuhan encik bergerak tanpa sokongan dari dato' atau ahli politik?"

Ketika pegawai bank tersebut mengajukan soalan. Jauh di dalam jantung hati ini berbisik. Kenapa mestinya ada dato' dan ahli politik di belakang kami untuk kami bergerak?. 

Jantung hati ini berbisik lagi "cukuplah ALLAH swt berada di belakang kami". Tidak ada mana-mana dato' dan ahli politikpun di dunia ini dapat membantu baik dari segi kewangan mahupun pengaruh jika tidak diizinkan ALLAH swt.


Begitulah sebahagian daripada kita. Kadang kala tanpa disengajakan kita lupa bahawa segala-galanya yang berlaku di alam ini adalah dengan izin ALLAH swt. Dato' sekaya manapun atau ahli politik sepengaruh mana pun berada di belakang kita, mereka tidak akan dapat memberi manfaat mahupun keburukan kepada kita jika tidak diizinkan oleh ALLAH, Tuhan Semesta Alam.

"Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman" (Al-Maidah: 23)
Jangan bertawakal kepada dato' dan ahli politik dan menyangka tanpa sokongan serta pengaruh mereka kita tidak dapat pergi jauh. Bertawakallah hanya kepada ALLAH swt. Hanya ALLAH swt sahajalah yang dapat membantu hambaNYA. Mintalah pertolongan daripadaNYA. Pohonlah doa kepadaNYA. beristighfarlah kepadaNYA. Rezeki dan pertolongan ALLAH swt akan sampai dari tempat yang tidak disangka-sangka.

"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung" (Ali 'Imran:173)
Ya ALLAH permudahkanlah urusan kami. Bantulah Kami. Tiada siapapun yang dapat membantu kami selain MU Ya ALLAH. Hanya kepada MU sahajalah tempat kami meminta dan bertawakal. Ikhlaskanlah jantung hati kami Ya ALLAH.....


 
"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung"


abu umair 20.04.2012

Sunday, 8 April 2012

MURTAD: DI MANA KITA DAN DI MANA MEREKA???

Seorang pendakyah Kristian perempuan yang hanya berusia 19 tahun dari USA mengaku telah ke 34 buah negara dan kini berada di Pulau Pinang untuk menyebarkan agama Krisitian. Dia berani ke sebuah masjid dan ‘buat gila’, menghina Islam tanpa rasa gentar setelah dakyahnya tidak diterima. Ya tentu ramai yang marah tetapi cukupkah sekadar itu?

Di mana kita ketika berusia 19 tahun dan di mana kita sekarang??? sudahkah kita berdakwah menyebarkan Islam agama yang benar ini? sudah berapa ramai yang telah kita sampaikan mengenai Islam?

Sudah berapa ramai anak muda Islam telah kita dampingi untuk memberi nasihat dan penerangan tentang Islam? Atau sekadar bersangka buruk dan membenci mereka kerana sikap mereka yang kelihatan jauh dari agama seperti merempit dan sebagainya?

Berapa ramaikah insan yang dalam kesusahan sudah kita bantu? Atau sekadar melihat, lalu bibirpun berkata kasihan tanpa kita membuat apa-apa?

Ingatlah jikalau kita tidak berkerja untuk agama yang tercinta ini, orang lain sedang berusaha memurtadkan anak-anak kita, Nauzhubillah.

Pelbagai cara mereka gunakan untuk memurtadkan saudara kita antaranya melalui soalan-soalan mengelirukan bertujuan menimbulkan keraguan terhadap agama yang benar ini. Ya mereka tidak akan mampu memesongkan akidah umat Islam yang kuat imannya dan mantap ilmunya, tetapi mereka menyasarkan golongan yang tidak faham agama dan jauh dari agama bagi merealisasikan agenda jahat ini.

Mereka mengunakan taktik kerja kebajikan, membantu saudara seakidah dengan kita  sehingga terhutang budi lalu memurtadkan sebahagian dari mereka. Walaubagaimanapun bukan semua golongan Kristian seperti itu.

Pelbagai cara telah digunakan bagi memenuhi agenda Kristianisasi mereka tetapi di mana kita? Apa yang sudah kita lakukan setakat ini bagi menyekat fahaman yang merosakkan ini dari terus menular? Sudahkah kita berdakwah kepada yang belum Islam? Sudahkah kita memberi  nasihat dan peringatan kepada saudara seagama kita agar mereka berpegang teguh dengan Islam? Sudahkah kita membantu golongan yang memerlukan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan serta menonjolkan akhlak Islam yang mulia?

Sudahkah kita memupuk rasa kasih sayang sesama umat Islam?

Tepuk dada Tanya iman. Jangan sampai kita mati tanpa melakukan apa-apa untuk agama kerana kita akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Wahai saudara saudari yang ku kasihi, mari sertai kami atau mana-mana badan, persatuan, pertubuhan, masjid dan surau dalam menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar melalui dakwah, Islah dan kerja kebajikan serta berakhlak mulia. Kita sudah kesuntukkan masa.  Jika bukan sekarang, bila lagi???. Nyawa masih melekat di tubuh, peluang masih dibuka oleh ALLAH swt untuk kita melakukan amal kebaikan jadi tunggu apa lagi?

Mari sertai kami Islamic Charity Society (ICS) dalam gerak kerja dakwah, Islah dan kerja kebajikan membantu golongan yang memerlukan. Anda boleh menyumbang tenaga sebagai sukarelawan ICS, menyumbang dana, peralatan dan barang terpakai. Meyumbang idea, cadangan dan sebagainya bagi memartabatkan agama Islam yang benar ini. Hubungi saya sekarang melalui email ahzam10@yahoo.com.

Sekilas Pandang Mengenai Kami.

Kesedaran dan idea penubuhan ICS bermula setelah peristiwa 12 orang Islam telah dikesan oleh pihak JAIS di dalam Gereja kerana menerima bantuan pihak gereja dan ada yang mengesyaki suatu usaha Kristianisasi berlaku di situ atas alasan kerja kebajikan.

Atas dasar kesedaran betapa pentingnya gerak kerja kebajikan tanpa mengira agama disusuli dakwah dan islah yang lebih sistematik dan bersugguh-sungguh perlu dilakukan oleh umat Islam selaras dengan kehendak Islam itu sendiri, ICS telah ditubuhkan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Pulau Pinang pada 20 Februari 2012 dan bernombor pendaftaran : 0415-12-PPG. ICS kini dalam proses penstrukturan dan InsyaALLAH akan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Mei 2012.

Walaubagaimanapun, satu gerak kerja dakwah, islah dan kebajikan sudahpun dilancarkan sejak beberapa tahun yang lalu dan penubuhan NGO ini adalah satu usaha bagi memantapkan lagi usaha yang sedia ada InsyaALLAH.


Doa serta bantuan saudara saudari sekalian amatlah dihargai dan mudahan ALLAH swt membalasnya dengan ganjaran pahala yang tinggi. Jazakumullah hukhoiro

Tulisan ini adalah pandangan abu umair semata-mata dan tiada sebarang kaitan dengan Islamic Charity Society (ICS) 

abu umair 8 April 2012   
www.voiceofsunnah.blogspot.com