Seorang pegawai bank bertanya kepada saya, "siapa di belakang pertubuhan kebajikan encik". Saya minta diperjelaskan kerana kurang faham. Lalu beliau memperjelaskan "Dato' mana atau ahli politik mana di belakang pertubuhan encik". Saya menjawab tiada dato' mahupun ahli politik di belakang kami. Beliau kehairanan lalu bertanya "bagaimana pertubuhan encik bergerak tanpa sokongan dari dato' atau ahli politik?"
Ketika pegawai bank tersebut mengajukan soalan. Jauh di dalam jantung hati ini berbisik. Kenapa mestinya ada dato' dan ahli politik di belakang kami untuk kami bergerak?.
Jantung hati ini berbisik lagi "cukuplah ALLAH swt berada di belakang kami". Tidak ada mana-mana dato' dan ahli politikpun di dunia ini dapat membantu baik dari segi kewangan mahupun pengaruh jika tidak diizinkan ALLAH swt.
Begitulah sebahagian daripada kita. Kadang kala tanpa disengajakan kita lupa bahawa segala-galanya yang berlaku di alam ini adalah dengan izin ALLAH swt. Dato' sekaya manapun atau ahli politik sepengaruh mana pun berada di belakang kita, mereka tidak akan dapat memberi manfaat mahupun keburukan kepada kita jika tidak diizinkan oleh ALLAH, Tuhan Semesta Alam.
"Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman" (Al-Maidah: 23)
Jangan bertawakal kepada dato' dan ahli politik dan menyangka tanpa sokongan serta pengaruh mereka kita tidak dapat pergi jauh. Bertawakallah hanya kepada ALLAH swt. Hanya ALLAH swt sahajalah yang dapat membantu hambaNYA. Mintalah pertolongan daripadaNYA. Pohonlah doa kepadaNYA. beristighfarlah kepadaNYA. Rezeki dan pertolongan ALLAH swt akan sampai dari tempat yang tidak disangka-sangka.
"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung" (Ali 'Imran:173)
Ya ALLAH permudahkanlah urusan kami. Bantulah Kami. Tiada siapapun yang dapat membantu kami selain MU Ya ALLAH. Hanya kepada MU sahajalah tempat kami meminta dan bertawakal. Ikhlaskanlah jantung hati kami Ya ALLAH.....
"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung"
abu umair 20.04.2012
No comments:
Post a Comment