Saturday 18 June 2011

BAHAYA SYIRIK: MEMPERCAYAI RAMALAN HOROSKOP MEROSAKAN AKIDAH.

Zodiak  (Horoskop)


Sudah menjadi trend sesetengah daripada kita yang gemar mengikuti ramalan horoskop bagi menentukan nasib mereka. Apakah nasib aku pada hari ini? apakah pula nasib aku pada hari esok? Seolah-olah horoskop itulah yang menentukan perjalanan hidup mereka.

Dikatakan horoskop berasal daripada  kepercayaan masyarakat Greek kuno yang mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang dan matahari mampu mempengaruhi nasib mereka. Pada hari ini ramai yang megamalkan ramalan horoskop di seluruh dunia. Mereka menilik bintang kelahiran mereka seperti  Leo, Capricorn, Cancer, Virgo, Libra dan lain-lain dengan merujuk apakah yang akan berlaku kepada diri mereka pada hari ini. Malangnya ramai umat Islam turut terpengaruh dengan kepercayaan yang boleh  merosakan akidah ini.

Ramalan horoskop adalah kepercayaan SYIRIK umpama racun merbahaya yang menyerang akidah umat Islam. Rasulullah saw melarang ilmu perbintangan seperti ini melalui sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengambil panduan satu cabang daripada ilmu perbintangan maka itu bermakna ia telah mengambil satu cabang daripada ilmu sihir dan bertambah selama ia bertambah.” Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah.

Berhati-hatilah kerana dosa syirik adalah amat besar dan dapat merosakan akidah kita sebagai seorang Muslim. Firman ALLAH swt maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-NYA. Barang siapa yang mempersekutukan ALLAH, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” –Surah al-Nisa:48
Bagi muda mudi janganlah sesekali anda terpengaruh dengan sesetengah artis yang sering mempromosikan horoskop mereka di akhbar dan majalah. Jangan jadikan artis yang berakhlak buruk sebagai ikutan. Jadikanlah Nabi kita Muhammad saw, insan mulia yang benar sebagai contoh dan ikutan yang muktamad.

Bagi sesetengah blogger, janganlah anda meletakkan horoskop di profil anda walaupun dengan hanya bersuka-suka. Jangan mempromosikan pengaruh syirik ini. Begitu juga di facebook dan lain-lain.

Yakinlah bahawa tiada apapun yang dapat memberi sesuatupun kepada kita kecuali dengan izin ALLAH swt Tuhan Maha Pencipta langit dan bumi. Tiada sesiapapun yang tahu akan nasib kita kecuali ALLAH swt. Oleh itu janganlah sesekali kita mempercayai amalan karut marut seperti ini yang tidak dapat memberi apa-apa faedah. Takutlah kepada azab ALLAH swt. Marilah kita membulatkan jantung hati kita dengan hanya bertawakal kepada ALLAH swt serta berdoa kepada-NYA.

Bagi mereka yang telah beramal dengan ramalan horoskop dan lain-lain amalan syirik hendaklah bertaubat dengan segera sebelum terlambat. Selagi hayat dikandung badan, selagi nyawa melekat di jasad, pintu taubat terbuka seluas-luasnya untuk kita kembali ke jalan yang benar.

Oleh itu saudara saudariku yang telah melakukan dosa syirik ini bertaubatlah sebelum jasadmu dibaluti kain kafan dan ditinggalkan keseorangan di dalam kubuh. Wallahu’alam.

Hanya ALLAH swt sahaja yang dapat menentukan nasib makhluk ciptaan-NYA. Oleh itu marilah kita berusaha, berdoa dan bertawakal selagi mana diberi kesempatan hidup di muka bumi ini.

Abu umair 13.6.2011

4 comments:

  1. "Jadikanlah Nabi kita Muhammad saw, insan mulia yang benar sebagai contoh dan ikutan yang muktamad".

    ReplyDelete
  2. Boz , Izin Copy ya
    http://ea-go-blog.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah silakan :), Barakallah hulak.

    ReplyDelete
  4. Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.

    ReplyDelete