Thursday, 28 March 2013

BOLEHKAH MEMBERI SUMBANGAN SECARA TERANG-TERANGAN?


Sudah lama agaknya blog saya tidak dikemaskini dengan tulisan-tulisan yang baru. Alhamdulillah pada hari ini, blog ini sudah kembali aktif dan topik yang saya paparkan juga mungkin memberi jawapan kepada ramai pihak yang selama ini tidak tahu sehinggalah saudari Hafizah yang merupakan Pengerusi Biro Muslimat persatuan kami mengemukakan dalil-dalil sahih mengenai isu ini. Alhamdulillah mudahan ALLAH merahmati dan memberkati beliau diatas perkongsian ilmu ini.

Isu ini timbul akibat kritikan seorang saudara kita yang tidak berpuas hati apabila persatuan kami memuat naik gambar-gambar kerja kebajikan yang kami lakukan di Facebook bagi tujuan tertentu yang tidak mahu saya panjangkan disini supaya tulisan ini tidak terlalu panjang. Cukuplah sekadar saya mengemukakan dalil seperti yg telah dikongsikan oleh saudari Hafizah.

Memberi sumbangan secara terang-terangan, menampakkan wajah, menyebarkan kepada umum dan sebagainya adalah termasuk di dalam SUNNAH HASANAH. 

"Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan" al-Baqarah 2:271

Tafsiran Imam Ibn Katsir terhadap ayat di atas:
"Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riya’. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama".

Mudah kata, sedekah atau derma dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut menderma, maka atas tujuan ini adalah baik untuk 'menunjukkan' dermanya. Menderma secara terang-terangan atau 'menunjuk' turut ada contoh di dalam sunnah berdasarkan hadis berikut:

Daripada Jarir bin 'Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah saw. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka, mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda.(Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda. (Melihat yang sedemikian) Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun." HR Muslim


Mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua dan sesudah ini kita tidak lagi buruk sangka terhadap mereka yang menzahirkan amalan sedekah mereka. Hanya ALLAH swt yang tahu sejauh mana keikhlasan seseorang itu dalam beramal. Wallahu'alam

Abu Umair
28.03.2013

Wednesday, 24 October 2012

Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada Ajaran Islam.


Subhanallah, apabila saya mempelajari Hadis di bawah ini, terasa bergetar di jiwa betapa Islam menganjurkan umatnya mengerjakan kebajikan seperti memberi makan dan sebagainya.

Sahih Bukhari - Kitab Iman
Bab 6: Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada (Ajaran) Islam

١١ - حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ خَالِدٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ عَنْ أَبِي الْخَيْرِ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِي اللَّه عَنْهممَا{ أَنَّ رَجُلا سَأَلَ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الإِسْلامِ خَيْرٌ ؟ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ }
...
11- `Amru bin Khalid telah meriwayatkan kepada kami, katanya, al-Laith telah meriwayatkan kepada kami dari Yazid dari Abi al-Khair dari `Abdillah bin `Amar r.a, bahawa ada seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi s.a.w., katanya: “Apakah (ajaran) Islam yang paling baik? Nabi s.a.w. bersabda: Memberi makanan dan memberi salam sama ada kepada orang yang telah engkau kenali atau belum.”

Faedah hadis berdasarkan bab:


1. Memberi makan bukan khusus kepada umat Islam sahaja, tetapi termasuk kepada bukan Islam dan binatang.

2.Sesuatu kaedah umum, ia akan menjadi khusus hanya apabila mempunyai dalil. Contoh umum adalah seperti hadis di atas 'orang yang kamu kenal dan tidak kenal'. contoh khusus adalah 'kepada orang Islam'.

3.Nabi saw nak suruh umatnya menjadi 'jud' yang bermaksud teramat dermawan (dermawan bukan hanya dari sudut kebendaan seperti harta atau wang sahaja, ianya boleh jadi ilmu, kasih sayang dan sebagainya)

4.Antara amal yang ada dalam Islam sekurang-kurangnya berilah makan untuk menjalinkan hubungan.

Saudara dan saudari sekalian, marilah kita menonjolkan akhlak Islam yang mulia dengan memberi makan terutamanya kepada ahli keluarga, jiran, fakir miskin dan lain-lain lagi. Lihatlah betapa Islam menganjurkan kebaikan dan kebajikan. Lakukanlah dengan seikhlasnya. Mudahan kita semua dirahmati dan diberkati oleh ALLAH swt.  Wallahu'alam.

abu umair 24.10.2012