Sunday, 22 April 2012

BERTAWAKAL KEPADA ALLAH ATAU KEPADA DATO' DAN AHLI POLITIK?

Seorang pegawai bank bertanya kepada saya, "siapa di belakang pertubuhan kebajikan encik". Saya minta diperjelaskan kerana kurang faham. Lalu beliau memperjelaskan "Dato' mana atau ahli politik mana di belakang pertubuhan encik". Saya menjawab tiada dato' mahupun ahli politik di belakang kami. Beliau kehairanan lalu bertanya "bagaimana pertubuhan encik bergerak tanpa sokongan dari dato' atau ahli politik?"

Ketika pegawai bank tersebut mengajukan soalan. Jauh di dalam jantung hati ini berbisik. Kenapa mestinya ada dato' dan ahli politik di belakang kami untuk kami bergerak?. 

Jantung hati ini berbisik lagi "cukuplah ALLAH swt berada di belakang kami". Tidak ada mana-mana dato' dan ahli politikpun di dunia ini dapat membantu baik dari segi kewangan mahupun pengaruh jika tidak diizinkan ALLAH swt.


Begitulah sebahagian daripada kita. Kadang kala tanpa disengajakan kita lupa bahawa segala-galanya yang berlaku di alam ini adalah dengan izin ALLAH swt. Dato' sekaya manapun atau ahli politik sepengaruh mana pun berada di belakang kita, mereka tidak akan dapat memberi manfaat mahupun keburukan kepada kita jika tidak diizinkan oleh ALLAH, Tuhan Semesta Alam.

"Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman" (Al-Maidah: 23)
Jangan bertawakal kepada dato' dan ahli politik dan menyangka tanpa sokongan serta pengaruh mereka kita tidak dapat pergi jauh. Bertawakallah hanya kepada ALLAH swt. Hanya ALLAH swt sahajalah yang dapat membantu hambaNYA. Mintalah pertolongan daripadaNYA. Pohonlah doa kepadaNYA. beristighfarlah kepadaNYA. Rezeki dan pertolongan ALLAH swt akan sampai dari tempat yang tidak disangka-sangka.

"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung" (Ali 'Imran:173)
Ya ALLAH permudahkanlah urusan kami. Bantulah Kami. Tiada siapapun yang dapat membantu kami selain MU Ya ALLAH. Hanya kepada MU sahajalah tempat kami meminta dan bertawakal. Ikhlaskanlah jantung hati kami Ya ALLAH.....


 
"Cukuplah ALLAH menjadi Penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung"


abu umair 20.04.2012

Sunday, 8 April 2012

MURTAD: DI MANA KITA DAN DI MANA MEREKA???

Seorang pendakyah Kristian perempuan yang hanya berusia 19 tahun dari USA mengaku telah ke 34 buah negara dan kini berada di Pulau Pinang untuk menyebarkan agama Krisitian. Dia berani ke sebuah masjid dan ‘buat gila’, menghina Islam tanpa rasa gentar setelah dakyahnya tidak diterima. Ya tentu ramai yang marah tetapi cukupkah sekadar itu?

Di mana kita ketika berusia 19 tahun dan di mana kita sekarang??? sudahkah kita berdakwah menyebarkan Islam agama yang benar ini? sudah berapa ramai yang telah kita sampaikan mengenai Islam?

Sudah berapa ramai anak muda Islam telah kita dampingi untuk memberi nasihat dan penerangan tentang Islam? Atau sekadar bersangka buruk dan membenci mereka kerana sikap mereka yang kelihatan jauh dari agama seperti merempit dan sebagainya?

Berapa ramaikah insan yang dalam kesusahan sudah kita bantu? Atau sekadar melihat, lalu bibirpun berkata kasihan tanpa kita membuat apa-apa?

Ingatlah jikalau kita tidak berkerja untuk agama yang tercinta ini, orang lain sedang berusaha memurtadkan anak-anak kita, Nauzhubillah.

Pelbagai cara mereka gunakan untuk memurtadkan saudara kita antaranya melalui soalan-soalan mengelirukan bertujuan menimbulkan keraguan terhadap agama yang benar ini. Ya mereka tidak akan mampu memesongkan akidah umat Islam yang kuat imannya dan mantap ilmunya, tetapi mereka menyasarkan golongan yang tidak faham agama dan jauh dari agama bagi merealisasikan agenda jahat ini.

Mereka mengunakan taktik kerja kebajikan, membantu saudara seakidah dengan kita  sehingga terhutang budi lalu memurtadkan sebahagian dari mereka. Walaubagaimanapun bukan semua golongan Kristian seperti itu.

Pelbagai cara telah digunakan bagi memenuhi agenda Kristianisasi mereka tetapi di mana kita? Apa yang sudah kita lakukan setakat ini bagi menyekat fahaman yang merosakkan ini dari terus menular? Sudahkah kita berdakwah kepada yang belum Islam? Sudahkah kita memberi  nasihat dan peringatan kepada saudara seagama kita agar mereka berpegang teguh dengan Islam? Sudahkah kita membantu golongan yang memerlukan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan serta menonjolkan akhlak Islam yang mulia?

Sudahkah kita memupuk rasa kasih sayang sesama umat Islam?

Tepuk dada Tanya iman. Jangan sampai kita mati tanpa melakukan apa-apa untuk agama kerana kita akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Wahai saudara saudari yang ku kasihi, mari sertai kami atau mana-mana badan, persatuan, pertubuhan, masjid dan surau dalam menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar melalui dakwah, Islah dan kerja kebajikan serta berakhlak mulia. Kita sudah kesuntukkan masa.  Jika bukan sekarang, bila lagi???. Nyawa masih melekat di tubuh, peluang masih dibuka oleh ALLAH swt untuk kita melakukan amal kebaikan jadi tunggu apa lagi?

Mari sertai kami Islamic Charity Society (ICS) dalam gerak kerja dakwah, Islah dan kerja kebajikan membantu golongan yang memerlukan. Anda boleh menyumbang tenaga sebagai sukarelawan ICS, menyumbang dana, peralatan dan barang terpakai. Meyumbang idea, cadangan dan sebagainya bagi memartabatkan agama Islam yang benar ini. Hubungi saya sekarang melalui email ahzam10@yahoo.com.

Sekilas Pandang Mengenai Kami.

Kesedaran dan idea penubuhan ICS bermula setelah peristiwa 12 orang Islam telah dikesan oleh pihak JAIS di dalam Gereja kerana menerima bantuan pihak gereja dan ada yang mengesyaki suatu usaha Kristianisasi berlaku di situ atas alasan kerja kebajikan.

Atas dasar kesedaran betapa pentingnya gerak kerja kebajikan tanpa mengira agama disusuli dakwah dan islah yang lebih sistematik dan bersugguh-sungguh perlu dilakukan oleh umat Islam selaras dengan kehendak Islam itu sendiri, ICS telah ditubuhkan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Pulau Pinang pada 20 Februari 2012 dan bernombor pendaftaran : 0415-12-PPG. ICS kini dalam proses penstrukturan dan InsyaALLAH akan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Mei 2012.

Walaubagaimanapun, satu gerak kerja dakwah, islah dan kebajikan sudahpun dilancarkan sejak beberapa tahun yang lalu dan penubuhan NGO ini adalah satu usaha bagi memantapkan lagi usaha yang sedia ada InsyaALLAH.


Doa serta bantuan saudara saudari sekalian amatlah dihargai dan mudahan ALLAH swt membalasnya dengan ganjaran pahala yang tinggi. Jazakumullah hukhoiro

Tulisan ini adalah pandangan abu umair semata-mata dan tiada sebarang kaitan dengan Islamic Charity Society (ICS) 

abu umair 8 April 2012   
www.voiceofsunnah.blogspot.com