Sunday, 29 May 2011

JANGAN ANIAYA MEREKA.



“Kalau hendak mencuri, jangan curi harta orang Islam tetapi curilah harta orang kafir”.
Pernahkah anda mendengar suara-suara sumbang yang menyebut ungkapan seperti ini? Adakah wajar ungkapan seperti ini terbit daripada mulut seorang Muslim yang mengaku beriman kepada al-Quran dan Sunnah? Adakah Islam menganjurkan penganiayaan terhadap orang bukan Islam? Saya yakin jawapannya sudahpun tersedia jauh di dalam jantung hati anda tanpa perlu merujuk mana-mana kitab, bahawa tidak sama sekali tidak ini bukan daripada ajaran Islam dan Islam menentang sebarang bentuk penganiayaan .

Mencuri adalah satu perbuatan yang haram tidak kira samaada harta yang dicuri adalah kepunyaan Muslim mahupun Non  Muslim. Yang salah tetap salah. Yang haram tetap haram.

Malangnya ungkapan seperti ini pernah disebut oleh seorang individu berjubah yang saya kenali serta menjadi ikutan anak muda yang mengelilinginya. Ianya amat tidak wajar disebut dan diikuti oleh mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras. Ianya merupakan racun yang mencemarkan imej agama. Hendaklah difahami bahawa bukan semua individu berjubah itu benar. Ramai yang berjubah tetapi menjadi pengikut ajaran sesat yang merosakkan akidah. Oleh itu tidak wajar bagi kita megikuti seseorang secara membuta tuli dengan hanya terpengaruh dengan penampilan luaran semata-mata sebaliknya hendaklah meneliti latar belakangnya serta hujah-hujah yang dikemukakan olehnya samaada bertepatan dengan al Quran dan sunnah ataupun tidak. Kita hendaklah mengunakan akal fikiran yang dikurniakan ALLAH swt sebelum melakukan sesuatu tindakan agar tidak menimbulkan implikasi negetif terhadap diri dan imej agama yang mulia ini.  

Islam adalah agama ALLAH swt. yang mewajibkan umatnya berlaku adil kepada semua tidak kira Muslim mahupun Non Muslim bahkan lebih daripada itu Islam juga mengharamkan umatnya menganiaya haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan sewenang-wenagnya. Oleh itu contohilah sifat Rasulullah saw. yang berakhlak tinggi yang mampu menambat hati setiap insan Muslim mahupun non-Muslim dahulu, kini dan selamanya.

ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw. itu adalah contoh tauladan yang baik......’’.(Al Ahzab:21)
Sebagai umat Islam, kita hendaklah berlaku adil kepada semua apatah lagi kepada non-Muslim. Dengan keadilan dan akhlak mulia yang dipamerkan oleh seorang Muslim, maka dapatlah menambat hati non-Muslim untuk menerima Islam yang benar ini sebagai pegangan hidup mereka. Ianya terbukti dengan sikap umat Islam terdahulu yang telah menunjukkan suatu akhlak dan keadilan yang luar biasa sehingga dapat menambat hati non-Muslim untuk memeluk Islam lalu tersebarlah agama yang suci ini jauh ke seluruh pelosok dunia termasuk di alam Nusantara ini.

Al-Imam Ibn al-Qayyim pernah menyatakan:
’’Apabila orang-orang Kristian melihat tingkah laku yang baik yang ditunjukkan oleh para sahabat(Nabi Muhammad saw), kebanyakan mereka beriman dengan Risalah yang dibawa oleh para sahabat secara sukarela tanpa sebarang paksaan, malah mereka tidak segan menyatakan: Orang-orang yang pernah menjadi sahabat Isa al-Masih, tidaklah sebaik para sahabat Rasulullah saw.(Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili. 2004. Kewajipan Memahamkan Bukan Islam Tentang Islam. Johor: Perniagaan Jahabersa.).
Lihatlah betapa mulianya akhlak dan keadilan para sahabat yang merupakan anak didik Rasulullah saw. sehingga mampu menarik minat non-Muslim untuk memeluk Islam dengan penuh kerelaan yang patut kita contohi sepanjang zaman. Namun amatlah menyedihkan apabila melihat realiti segelintir umat Islam masa kini yang mempamerkan sikap dan tingkah laku buruk sehingga menyebabkan salah faham terhadap Islam itu sendiri.

Yusuf Islam (Bekas penyanyi rock terkenal kelahiran Britain yang telah memeluk Islam) pernah berkata:
’’Aku masuk Islam kerana keindahan Islam. Malangnya, umat Islam kini mengambil perangai buruk yang aku tinggalkan”(Majalah ILUVISLAM keluaran 24-30 September 2010 m/s 08)
Berdakwah adalah tanggugjawab
setiap Muslim Mukallaf
Inilah realiti masa kini dimana kebanyakkan mereka yang memeluk Islam tidak kerana akhlak dan kebaikan kita tetapi atas inisiatif dan kajian yang mendalam mereka terhadap kebenaran Islam. Namun betapa ramai non-Muslim yang tidak memeluk Islam kerana terkesan dengan sikap buruk kita. Apakah kita tidak merasa bersalah kerana dengan sikap dan contoh buruk yang kita pamerkan selama ini menyebabkan mereka tidak mahu menerima Islam malah semakin jauh dari Islam? Adakah kita tidak akan disoal oleh ALLAH swt sewaktu di akhirat kelak?

Islam merupakan agama benar yang patut dianuti oleh setiap insan di muka bumi ini. Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah berlaku adil dan berakhlak mulia serta menyeru umat manusia kepada jalan ALLAH swt.

ALLAH swt. berfirman maksudnya:

”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik...(an Nahl:125).
Akhir kata marilah kita berlaku adil kepada sesiapa sahaja termasuk Non Muslim dan mempamerkan akhlak mulia selari dengan imej Islam. Janganlah sesekali kita menganiaya Non-Muslim sebaliknya berdakwahlah kepada mereka agar mereka menerima kebenaran Islam. Berbuat baiklah kepada Non-Muslim yang tidak memerangi kita dan agama kita supaya dengan kebaikan itu dapatlah menambat hati mereka menerima Islam.

Firman ALLAH swt maksudnya:
”ALLAH tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berlaku adil”(al Mumtahanah:8).
Apalah gunanya jika kita segak berjubah tetapi tidak faham agama dan berlaku zalim terhadap insan yang lain. Ingatlah bahawa kita akan dipersoal di akhirat kelak terhadap penganiayaan yang kita lakukan di muka bumi ini. Kita tidak rugi dengan menjadi orang baik sebaliknya kita rugi serugi ruginya jika menjadi orang jahat.




Abu umair. 24.10.2010.

Wednesday, 25 May 2011

BERDUA-DUAAN BERSAMA BUAH HATI.



Remaja sering terlibat dengan gejala suka berdua-duaan bersama buah hati masing-masing tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal menimpa diri mereka.

“Alaa bang, kami tak buat apa-apapun, hanya duduk bersembang takkan itupun salah kot?”. Inilah antara alasan yang sering kita dengar dari mereka yang ‘kantoi’.

Sebenarnya perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah haram dan mendekati zina.

Firman ALLAH swt maksudnya:

“Dan janganlah kamu mendekati zina.” –Surah Al-Israa: 32

Dalam sebuah hadis pula, Nabi saw bersabda maksudnya:

“Tidaklah seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahramnya, kecuali syaitan akan menjadi orang yang ketiga.” –Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim.

Jika anda melihat rakan anda berdua-duaan dengan individu berlainan jantina, maka anda hendaklah menasihati mereka agar meninggalkan perbuatan yang terkutuk itu. Cegahlah kemungkaran sedaya mampu.

Oleh itu wahai remaja harapan agama, perbuatan berdua-duaan bersama individu yang berlawanan jantina hanya kelak akan merosakkan dirimu. Ingatlah malu dan kesakitan yang bakal engkau hadapi.  Ingatlah dosa yang bakal engkau tanggung. Takutlah engkau akan azab ALLAH swt.

Jagalah maruah diri mu wahai remaja. Janganlah engkau mencemarkan maruah diri dengan perbuatan yang keji dan mungkar. Ingatlah ibu bapa mu yang tersayang. Janganlah engkau memusnahkan harapan mereka.  Ingatlah ALLAH swt. Janganlah engkau terpedaya degan tipu daya syaitan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Jika nasi sudah menjadi bubur, air mata darah sekalipun sudah tidak memberi apa-apa erti.

Berdua-duaan boleh menyebabkan diri terjerumus kedalam zina.
Akhirnya insan yang tidak berdosa ini menjadi mangsa. 

Wahai remaja Muslimin dan Muslimah yang beriman kepada ALLAH swt. Jauhkanlah dirimu daripada berdua-duaan. Janganlah engkau menghampiri zina. Sesungguhnya implikasi zina amat buruk ke atas diri, keluarga dan masyarakat.. Remaja bertakwa adalah remaja berjaya.

Abu umair 25/5/2011

Sunday, 22 May 2011

JIWA KOSONG BERSINAR KEMBALI.


Jiwa Kosong Bersinar Kembali.

Dikehenigan malam nan sunyi
Ku rasakan jiwa ini kosong bagai tiada bertepi
Bagaikan ada yang tidak kena di jantung hati
Adakah kerna aku belum Solat lagi?

Dikala senja menanti
Kurasakan dunia ini sempit sekali
Ketenangan bagaikan tidak mahu mendekati
Adakah kerna bibit benci dan dendam bersemat di sanubari?

Dipagi subuh nan dingin ini
Kurasakan hidupku tidak  bererti
Wang ku bertimbun namun jiwa ku sepi
Adakah kerna ku tidak bersedekah kepada si miskin ini?

Disiang hari nan menyilau diri
Kurasakan hidup ku tidak diberkati
Kurasakan dosa ku bertimbun tinggi
Masihkah ada taubat untuk ku ya Ilahi?

Ku ingin menunaikan Solat ya Rabbi
Ku ingin bermaaf-maaf ya Maha Tinggi
Ku ingin bersedekah ya Maha Pemurah lagi Maha Suci
Ku ingin bertaubat ya Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

Setiap insan tidak terlepas dari dosanya sendiri
Kerna dia hamba-Nya yang lemah sekali
Pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk digapai
Walaupun dosa menggunung tinggi

Usahlah engkau menunggu lagi
Jika engkau ikhlas dan menyesal dengan dosa mu selama ini
Berazam tidak mahu mengulanginya lagi
Taubat mu pasti diterima Ilahi

Sebelum nafas terhenti
Bertaubatlah wahai insani
Kerna apabila sudah mati
segalanya sudah tidak bererti


 
 Abu umair, 3.15pagi, 25.12.2010

Thursday, 19 May 2011

KEAJAIBAN AL QURAN: AL QURAN BERBICARA MENGENAI TEORI BIG BANG.


Pernahkah anda mendengar mengenai teori Big Bang? Teori ini menyatakan bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum bermulanya proses kejadian alam diantara 12 hingga 14 bilion tahun yang lalu. Kemudian berlaku satu letupan yang kuat dan seterusnya  berlaku pengembangan dan peyejukan sehingga akhirya lahirlah bintang-bintang, planet-plenet termasuk bumi, galaksi dan seumpamanya.

Albert Einstein
Teori ini pada asalnya dicadangkan oleh Albert Einstein pada tahun 1915 berasaskan formula General Theory of Relativity. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia Alexander Friedmann mengembangkan dan mengukuhkan lagi teori ini. Pada tahun 1929, seorang tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, menemui bukti-bukti yang mengukuhkan lagi teori Big Bang dengan mengunakan peralatan yang canggih. Selain itu, kajian-kajian yang dilakukan sekitar tahun 1965 hingga 1993 terus mengukuhkan teori ini. Pada hari ini, dengan adanya teknologi yang lebih canggih seperti  di makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Bandar Geneva, Switzerland, kajian- kajian yang dilakukan terus mengukuhkan teori ini.   

Walaupun teori Big Bang baharu ditemui oleh saintis sekitar puluhan tahun yang lalu, namun amat mengkagumkan kerana perkara ini sudahpun disebut di dalam al Quran lebih 1,400 tahun yang lalu.

Firman ALLAH swt maksudya:

“Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu(ratqa) kemudian kami pisahkan antara keduanya(fataq)” –Surah Al-Anbiya:30

Terdapat dua perkataan dalam ayat ini yang perlu diberi perhatian iaitu ratqa dan fataq. Ratqa berasal dari perkataan arab rataqa yang bermaksud patch up, sew up iaitu ditampal dan dijahit. Ia melambangkan suatu yang terhimpun, melekat dan mengucup.

Fataq pula berasal daripada bahasa arab fataqa yag bermaksud unsew, unstitch, rip open, tear apart iaitu dibuka, dibelah dan dikoyak. Ia melambangkan suatu yang terbuka, terungkai dan mengembang.


Kesan daripada ayat yang menkagumkan ini, lahirlah pandangan daripada ulama tabiin iaitu Imam Said Bin Jubair yang telah meninggal lebih seribu tahun lalu. Beliau berkata: “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan oleh ALLAH dalam ayat ini.”




Dr. Alfred Kroner
Antara pakar yang kagum dengan ayat Al Quran ini adalah Dr. Alfred Kroner yang merupakan professor dalam bidang giologi dan pernah menjadi dekan di Jabatan Geologi, Institute of Geosciences, Johannes Gutenberg Univercity, Mainz, Germany. Beliau berkata: “Melihat asal usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui langit dan bumi mempunyai asal usul yang sama. Hal ini disebabkan ilmu mengenainya hanya baharu diketahui beberapa tahun baru-baru ini, itupun dengan mengunakan alat-alat yang canggih. Seorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuclear 1,400 tahun dahulu, saya rasakan, tidak akan mampu megetahui mengenainya.” Akhirnya beliau berkata: “Apabila kita menghimpunkan kesemua kenyataan Quran berkaitan dengan bumi dan kejadiannya, dan kita kaitkannya dengan sains kita akan mengatakan kenyataan (Quran) secara dasarnya adalah benar”

Banyak lagi ayat-ayat saintifik yang terkandung di dalam al Quran. Ayat-ayat ini sangat menakjubkan dan mengukuhkan lagi hujah kita mengenai kebenaran al Quran. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada Non Muslim agar mereka kembali kepada fitrah iaitu menyembah ALLAH, tuhan pencipta langit dan bumi. Marilah kita menjadi umat yang mengaji dan mengkaji serta berzikir dan berfikir.


Abu umair 19.5.2011

Rujukan:
Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia, Selangor, 2009.
Majalah I, Karangkraf, keluaran Bil.72, 2008.
http://neokhilafah.blogspot.com/2010/03/quran-on-origin-of-universe.html

Sunday, 8 May 2011

SETIAP HARI ADALAH HARI IBU?

8 Mei 2011 yang lepas merupakan hari ibu yang disambut oleh barat pada setiap tahun. Sesetengah daripada kita turut  menyambut hari ibu seperti orang barat yang gemar menyambut sesuatu secara bermusim seperti hari ibu, hari bapa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bagi umat Islam, setiap hari adalah hari ibu. Ini kerana Islam menuntut kita berbuat baik dan mengenang jasa ibu kita pada setiap hari bukan secara bermusim. 

Firma ALLAH swt maksudnya:
 
“Dan KAMI perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada-KUlah kembalinya mu.” –Surah Luqman:14.
Ibu  merupakan insan mulia yang amat berjasa kepada kita. Tanpa ibu siapalah kita. Ibulah insan yang telah menyabung nyawa melahirkan kita dengan susah payah ke dunia ini. Dialah juga yang telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Dia sanggup berlapar dan berjaga malam asalkan perut kita terisi. Jasanya terlalu besar sehingga tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Dia sangup berkorban nyawa demi kita.  Jasanya terlalu besar tidak terbalas sehingga syurga kita terletak di bawah tapak kakinya.
Daripada Jahimah al-Sulami, beliau datang menemui Rasulullah saw lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya ingin berperang, dan saya datang untuk berbincang.” Rasulullah bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah bersabda: “Dampingilah dia, sesungguhnya syurga terletak di kedua kakinya.” –Hadis Riwayat al-Hakim.
 “Syurga terletak di kedua kakinya” Ini kerana sesuatu benda jika berada di bawah tapak kaki seseorang, ia tidak boleh diambil atau dicapai oleh orang lain melainkan jika ia terdapat di tempat itu.(Syarah Sunan al-Nasa’i).
Berkata Abu Hurairah r.a.: Seseorang telah datang kepada Nabi saw lalu bertanya: “Siapakah yang berhak aku layani dengan sebaik-baiknya? “ Jawab Nabi: “Ibumu.” “ Kemudian siapa?” Jawab Nabi: “Ibumu.” “Kemudian siapa?” Jawab Nabi: “Ibumu.” “Lalu siapa lagi?” Jawab Nabi “Ayahmu.” –Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hayatilah dalil-dalil di atas, betapa Islam memuliakan insan yang bergelar IBU kerana jasanya yang mengunung tinggi. Nabi saw menyuruh berbuat baik kepada ibu sebanyak tiga kali dan barulah diikuti dengan bapa.

Islam juga mewajibkan kita berbuat baik kepada bapa kerana jasa mereka juga amat besar. Kerana bapalah ibu kita bahagia dan dapat membahagiakan kita. Kerana bapa yang  bertangunggjawab terhadap keluarganya jugalah kita dapat membesar dengan baik. Bapalah yang mendidik kita, memberi nafkah dan mencurahkan kasih sayang kepada kita. Bapa sangup bersusah payah memerah keringat mencari rezeki agar kita dapat hidup tanpa lapar dan dahaga. Bapa sering berkorban untuk kita dan sentiasa melindungi kita daripada bahaya.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a., Nabi saw bersabda “Diri engkau dan harta engkau adalah untuk bapa engkau” –Hadis Riwayat Ibn Majah.
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya kebaikan yang terbaik adalah seorang anak menjalinkan hubungan persaudaraan dengan saudara yang dikasihi bapanya.”  -Hadis Riwayat Muslim.
Sungguh menghairankan kerana saya sering mendengar perihal mengenai sambutan hari ibu dan hari bapa tetapi tidak pernah pula mendengar sambutan hari anak. Terlintas di fikiran  kenapakah hari anak tidak disambut? Adakah kerana anak-anak hanya melayan ibu bapa mereka secara baik dan istimewa pada hari tertentu sahaja sedangkan ibu bapa melayan anak-anaknya dengan baik dan istimewa pada setiap hari?. 

Saya merasakan kadang kala ada kebenarannya bahawa  ibubapa mampu menjaga dan melayan karenah anak-anak mereka dengan baik walaupun seramai 10 orang dengan sumber kewangan yang tidak seberapa tetapi belum tentu 10 orang anak tadi mampu menjaga ibu bapa mereka dengan baik walaupun mereka mewah dengan kebendaan. Barangkali kerana itulah orang barat menyambut hari ibu dan bapa supaya anak-anak yang sepanjang tahun mengabaikan ibu bapa mereka dapat berbuat baik kepada ibu bapa mereka sekali dalam setahun itupun jika mereka mahu.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duaya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Rabbir hamhuma kama rabbayani shoghira” (Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil).”  –Surah Al Israa:23-24.
Oleh itu saya berpesan kepada diri sendiri dan para pembaca sekalian, marilah kita sentiasa mengenang jasa ibu bapa kita. Marilah kita berbuat baik kepada mereka berdua tanpa mengira hari dan musim. Sesungguhnya redha ALLAH swt bergantung kepada redha kedua ibu bapa kita. Janganlah kita menyakiti hati mereka. Jika kita terlanjur menyakiti hati mereka, hendaklah segera memohon maaf serta berazam tidak akan mengulanginya lagi dan tidak perlu menunggu Hari Raya untuk memohon maaf. Sesungguhnya Hari Raya adalah hari bergembira dan tidak dikhususkan untuk meminta ampun. Kita boleh meminta ampun pada bila-bila masa sekalipun.

 Sabda Nabi saw maksudnya:
“Dosa-dosa besar ialah: Menyekutukan ALLAH, dan derhaka kepada kedua ibu bapa dan membunuh manusia dan sumpah palsu (sumpah yang meneggelamkan ke dalam neraka).”  -Hadis Riwayat Bukhari.
“Sesungguhnya ALLAH mengharamkan atas kamu, derhaka pada ibu dan menolak kewajipan…….. –Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Sabda Nabi saw: “Daripada dosa-dosa besar ialah seseorang yang memaki kedua ayah bondanya.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah adakah seseorang yang memaki ayah bondanya?” Jawab Nabi: “Ya. Dia memaki ayah orang lain, maka dibalas dimaki ayahnya atau dia memaki ibu orang lain, lalu dibalas dimaki ibuya.” - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Walaupun  saya menetap di Seberang Jaya, Perai dan ibu bapa  kini  jauh di Behrang, Perak. Jantung hati ini tetap mengingati mereka berdua. Jasa mereka amat besar tidak mampu dibalas walau apa cara sekalipun. Terima kasih ata dan mak. Jasa mu dikenang. Doaku sentiasa bersama mu. 

JANGAN MENYAMBUT HARI IBU! BERBUAT BAIKLAH KEPADA IBU ANDA SETIAP HARI.
Abu umair 8 Mei 2011.

Sunday, 1 May 2011

KEADAAN DI LIBYA AMAT MENDUKACITAKAN.

Saban hari kita membaca di dada-dada akhbar mengenai peperangan di negara umat Islam seperti Libya. Pengeboman demi pengeboman, kematian demi kematian, kesengsaraan, penindasan, kemiskinan dan kesedihan berleluasa di sana-sini. Jantung hati ini terluka menggenangkan nasib saudara se-syahadah kita diperlakukan sewenang-wenangnya seolah nyawa mereka sudah tidak berharga lagi.

Umat Islam Libya kini diduga dengan kesengsaraan akibat peperangan. Bermula dengan tunjuk perasaan secara aman dibalas dengan tembakkan membuta tuli yang membunuh banyak nyawa  oleh mereka yang dikatakan sebagai  tentera upahan Rejim Gaddafi. Kemudian bermulalah sebuah episod peperangan yang baharu di sebuah lagi tanah air umat Islam. Tidak cukup dengan itu, Barat yang seolah-olah sekian lama menunggu peluang mula campur tangan kononya ingin menyelesaikan konflik di negara yang kaya dengan minyak itu.

Setakat ini jumlah kematian dan kemusnahan masih belum diketahui dengan jelas namun sumber dari Amarika menyatakan jumlah kematian diangarkan boleh mencecah diantara 10,000 hingga ke 30,000 orang Wallahu'alam. Sungguh memilukan. 




Kesengsaraan saudara-saudara kita di Libya pasti menimbulkan sebak di dada mereka yang beriman. Sabda Nabi saw maksudya:
"Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu angota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Orang yang beriman pasti akan merasakan bahawa dia bertaggungjawab dalam membantu saudara-sudaranya yang berada dalam kesusahan walau apa cara sekalipun selagi dalam lingkungan kemampuannya dan dia tidak akan lupa kepada saudara-saudaranya itu. Sabda Nabi saw maksudnya: 
"Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Sungguh malanglah jika jantung hati kita tidak merasa apa-apa terhadap kesengsaraan dan penganiayaan saudara semuslim kita di Libya dan di serata dunia kerana kurangnya kasih sayang sesama Muslim sedangkan persaudaraan sesama Muslim itu lebih besar daripada persaudaraan kerana keturunan. Kita kasih kepada saudara kita kerana ALLAH swt. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Sebagai tanda kasih yang mendalam kita terhadap saudara semuslim, kita inginkan mereka hidup dengan aman dan tenang sepertimana kita mahu hidup kita sentiasa berasa aman dan tenang. Kita mahu saudara kita bertakwa kepada ALLAH swt sepertimana kita mahu diri kita bertakwa dan tidak sesat buat selama-lamanya.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan untuk kita sama-sama membantu saudara-saudara yang kita kasihi dalam apa cara sekalipun termasuk berdoa kepada ALLAH swt jika hanya itu yang termampu. Inilah tanda kasih sayang kita sesama Muslim.

Harapan saya mudah-mudahan Libya dan seluruh negara umat Islam yang bergolak akan kembali aman. Pemimpin yang zalim dapat digantikan dengan pemimpin yang adil serta bertakwa kepada ALLAH swt. Mudah-mudahan pimpinan Libya yang akan datang tidak menjadi boneka Amarika dan sentiasa menegakkan syi'ar Islam InsyaALLAH. 

Abu umair 2 Mei 2011