Monday, 27 June 2011

JADILAH PEMAAF, JAUHI DENDAM DAN PERMUSUHAN.



Islam agama kasih sayang yang menganjurkan umatnya ke arah kedamaian dan keamanan. Salah satu punca kepada permusuhan, huru hara dan pulau memulau adalah kerana sikap suka berdendam dan sukar untuk memaafkan orang lain.

Kadang kala kita lupa akan jasa dan pengorbanan seseorang lalu tergamak memulaunya hanya kerana satu kesalahan yang dilakukanya. Sedangkan kebaikan yang dilakukan oleh insan tersebut jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahannya. Akhirnya kita menjadi insan tidak mengenang budi. Inilah realiti yang pernah saya lihat dikalangan kita.

Wajarkah seorang Muslim bersikap sedemikian? Tentu sekali tidak kerana sikap pemaaf dan saling kasih mengasihani adalah suatu yang mulia dan dianjurkan Islam. Firman ALLAH swt maksudnya:

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH maha pengampun, Maha Penyayang” – Surah An Nuur: 22.

“Dan balasan kejahatan itu adalah dengan kejahatan seumpamanya dan barang siapa yang memaafkan dan mendamaikan keadaan, maka balasannya (ganjaran) pada ALLAH swt., sesungguhnya DIA tidak sukakan orang-orang yang zalim. – Surah al-Syura:40

Islam juga melarang kita memulau saudara kita selama tiga hari berturut-turut kerana bergaduh. Ia bertentangan dengan akhlak Islam dan juga haram. Sabda Nabi saw maksudnya:

"Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)


Marilah kita menjadi insan pertama meminta maaf dan segera memulihkan hubungan persaudaraan daripada terus retak. Tentu sekali kita akan mendapat pahala yang lebih jika kita ikhlas kerana ALLAH swt.






Mudah menerima kemaafan juga merupakan sikap mulia dan akan mendapat pahala jika dia tidak berpura-pura serta memaafkan seseorang itu ikhlas kerana ALLAH swt.




Bagi yang suka berdendam dan sukar memaafkan, perlulah memperbaiki sikap dan tahap keimananya. Jangan biarkan jantung hati kita menjadi kotor kerana gemar akan permusuhan. Sabda Nabi saw maksudnya:

“Dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika ia elok, maka eloklah seluruh tubuh dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh, ia adalah jantung hati”. (Bukhari).

Marilah menjadi insan yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Kenapa hendak menyiksa diri dengan menyimpan dendam di dalam jantung hati? Kelak diri sendiri yang tertekan dan gundah gulana. Biarkan ia berlalu. Lupakan sahaja dan teruskan hidup seperti biasa. Alangkah bahagianya jika kita mudah memaafkan dan melupakan perkara lama. Tenangkanlah jiwa dengan mengingati ALLAH swt.

Sesungguhnya diri ini lemah dan perlu dimotivasikan dengan santapan rohani. Hadirlah ke masjid dan majlis ilmu. Bersahabatlah dengan orang soleh, membaca Al Quran, beristighfar dan lain-lain amalan Sunnah yang mendekatkan diri kepada ALLAH swt…  Wallahu’alam.

Indahya Hidup Ini Jika Kita Saling Bermaafan.......................



Abu umair 27/06/2011 

Saturday, 18 June 2011

BAHAYA SYIRIK: MEMPERCAYAI RAMALAN HOROSKOP MEROSAKAN AKIDAH.

Zodiak  (Horoskop)


Sudah menjadi trend sesetengah daripada kita yang gemar mengikuti ramalan horoskop bagi menentukan nasib mereka. Apakah nasib aku pada hari ini? apakah pula nasib aku pada hari esok? Seolah-olah horoskop itulah yang menentukan perjalanan hidup mereka.

Dikatakan horoskop berasal daripada  kepercayaan masyarakat Greek kuno yang mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang dan matahari mampu mempengaruhi nasib mereka. Pada hari ini ramai yang megamalkan ramalan horoskop di seluruh dunia. Mereka menilik bintang kelahiran mereka seperti  Leo, Capricorn, Cancer, Virgo, Libra dan lain-lain dengan merujuk apakah yang akan berlaku kepada diri mereka pada hari ini. Malangnya ramai umat Islam turut terpengaruh dengan kepercayaan yang boleh  merosakan akidah ini.

Ramalan horoskop adalah kepercayaan SYIRIK umpama racun merbahaya yang menyerang akidah umat Islam. Rasulullah saw melarang ilmu perbintangan seperti ini melalui sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengambil panduan satu cabang daripada ilmu perbintangan maka itu bermakna ia telah mengambil satu cabang daripada ilmu sihir dan bertambah selama ia bertambah.” Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah.

Berhati-hatilah kerana dosa syirik adalah amat besar dan dapat merosakan akidah kita sebagai seorang Muslim. Firman ALLAH swt maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-NYA. Barang siapa yang mempersekutukan ALLAH, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” –Surah al-Nisa:48
Bagi muda mudi janganlah sesekali anda terpengaruh dengan sesetengah artis yang sering mempromosikan horoskop mereka di akhbar dan majalah. Jangan jadikan artis yang berakhlak buruk sebagai ikutan. Jadikanlah Nabi kita Muhammad saw, insan mulia yang benar sebagai contoh dan ikutan yang muktamad.

Bagi sesetengah blogger, janganlah anda meletakkan horoskop di profil anda walaupun dengan hanya bersuka-suka. Jangan mempromosikan pengaruh syirik ini. Begitu juga di facebook dan lain-lain.

Yakinlah bahawa tiada apapun yang dapat memberi sesuatupun kepada kita kecuali dengan izin ALLAH swt Tuhan Maha Pencipta langit dan bumi. Tiada sesiapapun yang tahu akan nasib kita kecuali ALLAH swt. Oleh itu janganlah sesekali kita mempercayai amalan karut marut seperti ini yang tidak dapat memberi apa-apa faedah. Takutlah kepada azab ALLAH swt. Marilah kita membulatkan jantung hati kita dengan hanya bertawakal kepada ALLAH swt serta berdoa kepada-NYA.

Bagi mereka yang telah beramal dengan ramalan horoskop dan lain-lain amalan syirik hendaklah bertaubat dengan segera sebelum terlambat. Selagi hayat dikandung badan, selagi nyawa melekat di jasad, pintu taubat terbuka seluas-luasnya untuk kita kembali ke jalan yang benar.

Oleh itu saudara saudariku yang telah melakukan dosa syirik ini bertaubatlah sebelum jasadmu dibaluti kain kafan dan ditinggalkan keseorangan di dalam kubuh. Wallahu’alam.

Hanya ALLAH swt sahaja yang dapat menentukan nasib makhluk ciptaan-NYA. Oleh itu marilah kita berusaha, berdoa dan bertawakal selagi mana diberi kesempatan hidup di muka bumi ini.

Abu umair 13.6.2011

Sunday, 12 June 2011

PATUTKAH NASKAH AL QURAN DIPERLAKUKAN SEBEGINI BURUK?



Gambar di atas adalah senaskah Al Quran yang telah diperlakukan sebegitu  buruk di suatu tempat yang menjadi kunjungan umat Islam. Ianya telah diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh manusia yang bergelar Muslim di Rumah ALLAH swt iaitu Masjid. Ramai yang berkunjung pergi ke masjid tersebut seolah-olah tidak peduli dengan keadaan Kitab ALLAH ini. Amat meyedihkan. Lihatlah gambar-gambar di bawah yang saya ambil dibeberapa buah masjid sekitar Pulau Pinang.


Patutkah keadaan seperti ini dibiarkan di sebuah masjid yang  terkenal dan menjadi kunjungan ramai? Dimana perginya sensitiviti kita dalam memelihara naskah Al Quran ini? Sungguh menyedihkan.


Keadaan Al Quran dan lain-lain kitab/buku yang seolah-olah dilemparkan begitu sahaja di rak sebuah masjid.


Inikah sikap kita dalam menyusun semula Al Quran, Keadaan begini  menyakitkan mata memandang dan menyebabkan naskah Al Quran mudah rosak dan koyak.


Saya rasa Al Quran dan kitab/buku yang terdapat di dalam almari sebuah masjid ini mungkin tidak pernah disusun sejak ianya disediakan . Sungguh memalukan. Maka terserlahlah sikap tidak ambil peduli, tidak peka dan pemalas sesetengah daripada kita.


Al Quran dibiarkan ditindan dengan papan rehal bersama helaian-helaian  kertas dalam keadaan berselerakkan dan kotor di sebuah masjid. 


Beginilah rialiti yang menyedihkan terhadap sikap segelintir umat Islam sekarang. Naskah Al Quran yang agung dan mulia, terkandung di dalamnya petunjuk dari Tuhan Semesta Alam, petunjuk jalan kebenaran  sebegini pun sangup diperlakukan dengan sewenangnya seolah-olah sudah tidak ada nilai di dalam jantung hati kita sebagai Muslim.

Gambar-gambar yang saya paparkan di atas secara terang-terangan mencerminkan sikap buruk, tidak peka, tidak ambil peduli dan pemalas sesetengah daripada kita. Dimana perginya sensitiviti kita sebagai umat Islam dalam menjaga dan memelihara kitab ALLAH? Cakap berdentam dentum tentang Islam tetapi amalan menjaga naskah Al Quran sekecil ini pun kita gagal lakukan. Kita marah kononnya membela Islam apabila ada musuh Islam yang menghina Al Quran tetapi lihatlah bagaimana cara kita memperlakukan naskah Al Quran. Lebih mengecewakan lagi apabila ianya diperlakukan sebegini buruk di Masjid. Subhanallah.

Bayangkan betapa malunya kita jika ada Non Muslim secara kebetulan terlihat keadaan naskah Al Quran di perlakukan sebegini buruk di dalam Masjid. Apa kita nak jawab jika Non Muslim tersebut bertanya atau menyindir mengenai keadaan naskah Al Quran tersebut?. Kemungkinan mereka yang hendak memeluk Islam pun boleh mengubah fikiran setelah melihat sikap buruk kita terhadap naskah Al Quran ini.

Apakah terlalu sukar untuk kita memelihara naskah Al Quran dengan baik sebagai tanda cinta kita kepada ALLAH swt? Tidakkah kita merasa bersalah dengan perbuatan buruk ini sedangkan kita sentiasa diawasi oleh ALLAH swt dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak?. Firman ALLAH swt maksudnya:

“Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mengawasi.” –Surah al-Fajr:14

Sepatutya lebih kuat iman kita, maka lebih kuatlah usaha kita menjaga dan memelihara naskah Al Quran. Kita tidak akan sanggup melihat dan membiarkan  naskah Al Quran terbiar dalam keadaan kotor, koyak rabak, tanpa berkulit, berselerakkan dan tindan-menindan dengan tidak terurus di masjid kerana berasa sedih dan sayang kita kepada kitab ALLAH ini.

Marilah kita membuka minda dan memperbaiki sikap kita sebagai seorang Muslim. Usahlah hanya pandai berslogan tetapi lakukanlah perubahan kearah kebaikan. Saya mencadangkan beberapa usaha yang boleh dilakukan dalam menjaga dan memelihara naskah Al Quran dengan baik di masjid seperti berikut:

1. Usaha yang boleh dilakukan oleh setiap individu Muslim.

Kita hendaklah sentiasa menjaga dan menyusun semula naskah Al Quran dengan baik setelah membacanya (Membaca Al Quran dengan suara yang perlahan di masjid supaya tidak menggangu orang lain yang sedang solat). Mulakan dengan diri sendiri dahulu kemudian nasihatilah orang lain yang bersikap sambil lewa dalam penjagaan naskah Al Quran tersebut serta pihak pengurusan masjid secara lemah lembut dan ikhlas. Sabda Nabi saw maksudnya:

“Agama itu nasihat" – tiga kali -. Kami bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Untuk ALLAH, KitabNYA, RasulNYA, dan untuk pemimpin kaum Muslimin serta kaum Muslimin pada umumnya.” –Hadis Riwayat Muslim. 

Jika berkemampuan, tidak salah untuk kita memperbetul dan menyusun naskah Al Quran yang berselerak di masjid yang kita kunjungi.

2. Usaha yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan masjid.

Pihak pengurusan masjid adalah pihak yang amat bertanggungjawab dalam penjagaan dan pengurusan masjid. Ini kerana mereka akan disoal di akhirat kelak terhadap tanggungjawab mereka. Oleh itu sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan segala aspek dan keadaan di dalam masjid dijaga dan diuruskan dengan baik.

Mereka hendaklah sentiasa memantau keadaan naskah Al Quran bagi memastikan ianya berada dalam keadaan baik dan tersusun serta hendaklah memberi peringatan kepada para pengunjung masjid agar menjaga kemudahan masjid termasuk naskah Al Quran dengan baik.

Pihak pengurusan masjid juga hendaklah memastikan naskah Al Quran yang disediakan berkualiti tinggi agar tidak mudah rosak da koyak. Kulit depan naskah Al Quran tersebut boleh dibalut dengan pembalut buku plastik lutsinar dan disimpan di dalam almari berpintu cermin kaca (sliding door) agar tidak mudah kotor dan rosak.

Bagi AJK masjid yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka, maka mereka hendaklah melepaskan jawatan dengan kadar segera bagi memberi laluan kepada individu yang lebih layak dan mampu memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan. Sesungguhnya jawatan itu amanah dan ia akan dipertangunggjawabkan di akhirat kelak. Maka marilah kita takut kepada ALLAH swt.

Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." –Hadis Riwayat Muslim

3. Usaha yang boleh dilakukan oleh para pendakwah yang memberi kuliah di masjid.

Mengikut pemerhatian saya, teguran para pendakwah yang memberi kuliah di masjid-masjid lebih berkesan dan didengari. Ini berdasarkan pengalaman sendiri contohnya pernah seorang pendakwah menegur tindakkan pihak pengurusan masjid yang meletakkan jam loceng di dalam masjid. Akhirnya teguran tersebut dipatuhi.

Oleh itu para pedakwah yang saya hormati bolehlah menasihati AJK masjid serta para jamaah agar menjaga kebersihan serta kekemasan masjid termasuk menjaga naskah Al Quran bagi menonjolkan imej Islam yang sebenar.

4. Usaha yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa agama.

Tanggungjawab pihak berkuasa agama adalah lebih besar kerana mereka mempunyai kuasa perundangan terhadap hal ehwal agama Islam sesuatu negeri dan mereka juga tidak terlepas daripada disoal di akhirat kelak atas tanggungjawab besar yang mereka pikul. Oleh itu mereka hendaklah memantau dan memberi peringatan kepada pihak pengurusan masjid dengan lebih kerap agar keadaan masjid menjadi lebih baik.

Pemantauan yang lebih berkesan hendaklah dilakukan untuk memastikan pihak pengurusan masjid menjalankan tugas mereka dengan baik. Diharapkan pihak berkuasa agama memberi tauliah kepada mereka yang layak sahaja dalam memegang jawatan di masjid.

Akhir kata marilah kita menjaga naskah Al Quran dengan baik selayak dengan kedudukan kitab tersebut sebagai ayat ALLAH swt yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi. Selain daripada itu, kita juga hendaklah menjaga aspek-aspek lain di dalam masjid seperti tidak merokok di dalam masjid, menjaga kebersihan masjid, menjaga kebersihan tandas masjid, sentiasa berpakaian bersih ketika mengunjungi masjid dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej kita sebagai umat Islam. Jika kita seorang yang beriman kepada ALLAH swt, kita patut melakukan perubahan. Wallahu’alam

Firman ALLAH swt maksudnya:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNYA! Dan pakaian mu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi” –Al-Muddaththir: 1-5


Abu umair 11.6.2011

Sunday, 5 June 2011

MARILAH KITA MENGASIHANI MEREKA.


Kasihanilah mereka. Insan yang baharu dilahirkan di dunia. Mereka tidak tahu apa-apa, Mereka insan yang tidak berdosa. Mereka masih kecil tak bermaya. Jangan aniaya mereka. Jangan zalimi mereka, Jangan lempar mereka. Jangan bunuh mereka! 

Tetapi engkau wahai si ZALIM. Engkau bunuh mereka dengan kejam. Engkau lempar mereka  ke dalam sungai, engkau campak mereka ke dalam tong sampah, engkau baling mereka dari bangunan tinggi, engkau tingalkan mereka di dalam semak samun dalam kesejukan dalam kelaparan. Mereka mati dengan penuh trajis.

      
       



Aku hiba melihat mereka, aku sedih mereka dibunuh  dengan begitu kejam, aku bingung kenapa kezaliman ini berlaku. Aku bimbang kemanakah hala tuju umat ini.





Sampai bila? Sampai bila? Sampai bila?

Sampai bila perkara ini akan berlarutan? Bila penganiyayaan ini akan berhenti? Bila kezalima ini akan mencapai titik noktah?. Hanya soalan tanpa jawapan.

Wahai pemerintah, aku mengharapkan anda. Buatlah sesuatu untuk menghentikan kezaliman ini. Tutuplah segala pintu-pintu maksiat di televisyen, di radio, di akhbar, di majalah, di atas pentas, di bawah pentas dan di persekitaran. Anda mampu melakukannya sebab anda ada kuasa, jadi lakukanlah sebelum terlambat kerana azab ALLAH amat pedih.

Wahai ibubapa, aku mengharapkan anda di rumah. Jangan biarkan anak-anak anda melakukan kemaksiatan. Jangan biarkan anak-anak anda bergaul bebas tanpa batasan dengan insan berlawanan jantina. Kawallah pergaulan mereka, berilah didikan agama kepada mereka, agar mereka tidak terjebak dengan  zina yang menjurus kepada kezaliman ini. Jangan biarkan mereka menzalimi diri dan insan yang tak berdosa ini. Wahai ibubapa, andalah pendidik dan contoh ikutan mereka. Jangan musnahkan hidup mereka dengan budaya maksiat di rumah!

Wahai para guru, aku mengharapkan anda di sekolah. Anda didiklah dan nasihatlah mereka mulai dari tadika ke sekolah rendah ke sekolah menengah dan seterusnya supaya mereka faham erti kehidupan dan tidak terjebak dengan zina. Wahai guru, anda tunjukkanlah contoh yang baik kepada anak didik anda kerana kerjaya anda mulia. Jadi muliakanlah akhlak anda dan anak didik anda dengan melahirkan individu yang bertakwa kepada ALLAH swt.

Wahai insan yang bernama kawan,  janganlah anda menjadi agen syaitan dengan mengajak rakan-rakan  anda kearah kemaksiatan. Jadilah agen dakwah yang mengajak  rakan-rakan kearah amal kebajikan sebab pengaruh anda amat kuat. Jadilah kawan baik yang bertakwa kepada ALLAH swt. Boleh kan?

Wahai anak muda, jauhilah zina, katakan taknak taknak taknak kepada zina. Dengan zina anda hina. Muliakanlah akhlak anda dengan bertakwa kepada ALLAH swt. Barulah anda sempoi. Jikalau anda bertakwa kepada ALLAH swt, mengikuti segala suruhan-NYA, meninggalkan segala larangan-NYA, anda selamat dunia akhirat. Tetapi jikalau anda melakukan kemungkaran, anda tengelam dalam kemaksiatan, azab ALLAH amat pedih. Takut, takut, takutlah kepada ALLAH swt.


Wahai diri ku, janganlah engkau melihat saja, cegahlah kemungkaran selagi engkau mampu, Jikalau bukan engkau siapa lagi? Buatlah amar ma’ruf nahi mungkar dengan bersengguh-sungguh diwaktu-waktu yang semakin kritikal ini. Masa semakin suntuk, keadaan semakin parah. Engkau wajib melakukan amar ma’ruf nahi mungkar dan lakukan sekarang!

ALLAH swt Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ALLAH swt sentiasa menerima taubat nasuha hamba-hamba-NYA. Oleh itu marilah kita bertaubat kepada-NYA. Marilah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kualiti diri agar kita menjadi insan super yang bertakwa kepada ALLAH swt.

Kearah umat bebas zina. Katakan aku benci zina, katakan aku taknak maksiat. Katakan aku mahu akhlak mulia, katakan aku mahu bertakwa kepada ALLAH swt. Kita semua mempunyai peranan masing-masing dalam menghentikan kezaliman ini. Oleh itu marilah kita berusaha menghentukannya dan marilah kita berdoa mudahan kezalima ini akan berhenti segera. Hapuskan pintu-pintu zina!

“Dan janganlah kamu mendekati zina.” –Surah Al-Israa: 32



abu umair 5.6.2011