Thursday, 24 May 2012

KEBAJIKAN ICS: DUKACITA MELIHAT KEADAAN SAUDARA KITA



ICS amat berdukacita dengan penganiayaan terhadap saudara kita seorang cina Muslim yang baru memeluk Islam.

Ahli ICS telah menguruskan pengislaman beliau dan memberi sokongan terhadap perkahwinan beliau dengan seorang Muslimah melayu 2 bulan lepas.

Kegembiraan beliau dan isteri sebagai pengantin baru bertukar rupa apabila dibelasah oleh beberapa pemuda melayu Islam sehingga cedera parah di muka, retak di kaki & bahu mengalami lebam.

Pemuda melayu yang berjumlah antara 4-5 orang tersebut telah mezalimi beliau, memukul beramai-ramai sehingga parah tanpa usul periksa kerana termakan fitnah dan hasutan orang luar.

ICS ingin bertanya apa hak kita untuk memukul orang lain dengan sedemikian rupa? Adakah ini akhlak Islam? adalah ini yang Islam ajar?

ICS sedang berusaha menonjolkan imej Islam yg sukakan keamanan, kasih sayang, ambil berat dan tolong menolong tetapi sikap segelintir umat Islam yang tidak bertanggungjawab seperti ini hanya mengundang salah faham dan boleh menyebabkan orang lari dari Islam.

Beliau bertanya kepada kami "Kenapa saya dipukul sebegini tanpa diberi peluang bercakap?" "Beginikah orang Islam?". Sungguh sedih.

Alhamdulillah beliau memaklumkan bahawa bersedia memaafkan pemuda melayu yang memukul beliau dengan syarat mereka hendaklah berjumpa dan mendengar penjelasa beliau terlebih dahulu.

ICS menyeru diri sendiri dan saudara saudari sekalian agar berlaku adillah, berakhlak mulialah. Pergi meminta maaf kepada orang yang anda zalimi secara segera kerana ya akhi dosa zalim sangat besar.

"Sesungguhnya ALLAH menangguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila ALLAH mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

"Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat" (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab diantaranya dengan ALLAH."Hadis Riwayat al-Bukhari)
 
abu umair Mei 2012

Sunday, 6 May 2012

DI MANA TERLETAKNYA KEKUATAN SEBENAR?

Gambar hiasan.
Bulan April lepas, seorang lelaki bukan Islam terjatuh dari tingkat 10 Flat Jalan Kedah. Jasadnya terkulai di dalam longkang dan otaknya pula bersepah di tangga dan dinding.

Ketika melihat mayat tersebut, satu perkara telah menganggu fikiran saya. Betapa lemahnya makhluk bernama manusia. Ketika hidup, berapa ramai dikalangan kita yang berlagak samseng dan kuat. mendabik dada dan berjalan dengan penuh kesombongan tanpa menyedari yang dirinya hanyalah insan yang amat lemah dan boleh MATI pada bila-bala masa.

Manusia yang sombong dan samseng ini tidak sedar yang mereka sangat lemah sehingga tidak mampu menjauhi kematian yang ditentukan ALLAH swt. Lalu mereka pantang dicabar dan suka mencari penyelesaian dengan bergaduh dan menzalimi orang lain.

Ada insan menjadi samseng jalanan. Jika ada pemandu kenderaan yang tersilap, mereka akan menghimpit kenderaan tersebut lalu memukul pemandunya. Akhirnya pemandu tersebut mungkin terselamat dari kemalangan jalan raya tetapi cedera dan ada yang mati akibat dipukul.

Jika berlaku salah faham, maka si sombong yang berlagak kuat dan samseng ini akan membawa 'geng'  seramai 20 atau 30 orang untuk memukul seorang sahaja sehingga lembik, 'lunyai' dan ada yang berkesudahan dengan kematian.

Orang yang kuat bukanlah yang menang bertumbuk dan ada 'geng' ramai. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. Sungguh cantik Islam mendidik jiwa kita.
Jangan sombong jika hendak selamat.
Adakah sikap zalim ini tidak akan dibalas oleh ALLAH swt?. Ia pasti akan dibalas dengan azab yang amat berat. Di dunia engkau samseng berlagak kuat, ada 'geng' ramai tetapi setelah engkau MATI dan keseorangan di dalam kubur, adakah engkau masih berlagak samseng? adakah 'geng-geng' yang engkau banggakan itu dapat menolong dikala engkau disebat dalam kubur?. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Sesungguhnya ALLAH menagguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila ALLAH mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri" (Hadis Riwayat al-Bukhari)
"Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat" (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab diantaranya dengan ALLAH."Hadis Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu fikirkanlah sejenak wahai saudaraku yang dikasihi sebelum anda ingin berlagak samseng dan berhasrat menyertai kumpulan samseng tentang matlamat anda di utuskan ke dunia ini. Tulisan ini sebagai tanda kasih dan sayang saya kepada anda sebagai saudara seakidah.

Wahai saudaraku, janganlah menjadi samseng, menganiaya serta menzalimi orang lain. Jadilah hambaNYA yang soleh. Kejayaan sebenar tidak diukur berdasarkan betapa samsengnya anda dan berapa ramai yang telah anda pukul selama ini tetapi diukur berdasarkan berapa banyak amalan soleh anda di dunia yang sementara ini. Kematian semakin menghampiri kita.

Bagi saudaraku yang sudah terlanjur, bertaubatlah segera. Hentikan kezaliman yang merosakkan ini. Orang akan membenci dan mendoakan keburukkan untuk anda. Anda tidak akan hidup selamanya. Setelah mati, sesalan tidak berguna lagi kerana pintu taubat sudah ditutup. Oleh itu bertaubatlah segera dengan kembali ke pangkal jalan. Hiduplah secara normal dan aman damai.Lakukanlah kebaikan sebanyak yang mungkin. Mudahan sesudah mati, kita dikenang dengan kebaikan yang dilakukan bukan dengan keburukkan serta peganiayaan yang kita lakukan.

Mudahan hayat yang pendek ini dipenuhi dengan segala kebaikan buat bekalan di akhirat kelak. Kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertakwa. Mudahan kita menjadi hambaNYA yang bertakwa. Fikir-fikirkan sebelum bertindak supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Abu umair 4.5.2012