Tuesday, 25 October 2011

JAUHI SIKAP WAS-WAS KERANA IANYA GODAAN SYAITAN.

Buku yang bagus untuk dibaca. Terjemahan daripada kitab tulisan
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi

Saya yakin ada diantara kita menderita akibat was-was yang melampau terutamanya dalam beribadah. Contohnya walaupun seseorang itu telah menunaikan solat dengan sempurna, dia masih was-was adakah solatnya sah, Akhirnya sikap was-was tersebut menghantui dirinya lalu tidak hairanlah apabila kita lihat ada yang bertakbir berulang-ulang kali ketika hendak memulakan solat. Ada pula yang menghadapi kesukaran dalam membaca surah serta doa di dalam solat lalu dia akan mengulang-ulang bacaan yang sama seperti mengulang-ulang perkataan “alham” ketika membaca surah al-Fatihah sehingga menganggu orang lain ketika solat berjamaah.

Gambar hiasan
Was-was ketika solat bukan sahaja menyusahkan diri bahkan menganggu solat para jamaah yang lain.

Sebenarya was-was merupakan diantara godaan dan tipu daya syaitan terhadap manusia. Semakin teruk sikap was-was kita dalam beribadah, maka semakin berjayalah syaitan yang dilaknat itu.



Keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan (Al-yaqiinu la yuzaalu bisy syak)

Perasaan was-was tidak boleh dijadikan alasan membatalkan perkara yang diyakini. Contohnya, Nabi Muhammad saw semasa menjelaskan berhubung dengan seorang lelaki yang tidak pasti sama ada wuduknya sudah terbatal ataupun tidak bersabda:
”Apabila salah seorang antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu ataupun tidak janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi (kentut) ataupun menghidu baunya”. Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi.

 Ia menunjukkan keraguan tentang batalnya wuduk tidak perlu dilayani kerana keraguan bukanlah perkara yang diyakinkan. Demikian juga hukumnya apabila berpindah ke rumah baru. Oleh kerana kita tidak meyakini rumah itu sudah dikotori najis, rumah itu tidak perlu dibasuh atau disamak walaupun kita mengetahui rumah itu didiami oleh orang bukan Islam sebelum ini. Bagi orang yang terjaga daripada tidur dan merasakan dia bermimpi sehingga terkeluar air mani, sedangkan tidak terdapat tanda-tanda air mani di badan dan pakaiannya, dia tidak perlu mandi wajib. (Dr. Danial Zainal Abidin. Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden Edisi Kedua. Pahang. PTS Pub.& Distr. Sdn. Bhd. m/s 49)



Was-was adalah godaan dan tipudaya syaitan untuk merosakkan manusia.

Menurut Imam Ibn-Qayyim sesungguhnya orang yang was-was sedar atau tidak, mereka telah mengikuti syaitan. Menurut beliau lagi, orang-orang yang sudah dikuasai oleh iblis, mereka seperti kerbau yang dicucuk hidungnya. Mereka menuruti apa sahaja kemahuan iblis. Malah mereka mirip orang gila. Atau mirip pengikut Sophistis, iaitu orang-orang yang mengingkari kebenaran suatu yang nyata dan yang dapat dilihat. Pengetahuan seseorang terhadap keadaan dirinya sendiri adalah termasuk hal-hal yang konkrit. Seseorang membasuh angota tubuhnya disaksikan mata kepalanya sendiri. Dia melakukan takbir dan membaca sendiri bacaan dengan mulutnya, didengar oleh kedua telinganya sendiri dan diketahui secara yakin, malahan orang lain pun kadang kala ikut mengetahuinya, tetapi dia ternyata masih mahu menerima bisikan serta ucapan syaitan bahawa dirinya belum melakukan niat untuk solat. Betapa ingkarnya dia terhadap penglihatanya sendiri, dan betapa keras kepalanya dia terhadap keyakinan dirinya sendiri. Dia adalah orang yang kebingungan.....Semua ini kerana terlampau taat kepada iblis dan pengikut rasa was-wasnya. Kemudian orang yang was-was juga menerima begitu sahaja ucapan iblis sekalipun menyeksa jiwa dan menyusahkan raganya. (Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 47)



Contoh was-was

Berlebih-lebihan mengunakan air ketika berwuduk merupakan salah satu sikap was-was yang wajib dijauhi. Kita sering melihat gelagat sesetengah individu yang membuka paip air dengan begitu kuat untuk berwuduk seolah-olah seperti hendak mandi. Hal ini adalah satu pembaziran air yang sangat tidak digalakkan hasil daripada penyakit was-was sedangankan air yang sedikit sudah mencukupi untuk berwuduk.

 Imam Ibn Qayyim membawakan beberapa hadis bagi menyokong perkara ini. Di dalam Musnad Imam Ahmad, dinyatakan sebuah hadis riwayat Abdullah bin Umar (yang bermaksud):
”Sesungguhnya Rasulullah saw mendapati Saad sedang berwuduk. Baginda bersabda: Jangan berlebih-lebihan! Saad bertanya: Ya Rasulullah, adakah yang namanya berlebih-lebihan dalam masalah air? Rasulullah menjawab: Ya. Kalau kamu berada di sungai yang mengalir”.

Didalam Jami Imam Tarmizi, hadis daripada Ubai bin Kaab, sesungguhnya Nabi saw bersabda (maksudnya):
 Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang menganggu) yang bernama Walhan. Maka jauhilah was-was air!” Menurut penterjemah kitab, hadis ini merupakan ucapan seorang sahabat.
(Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 63)

Lihatlah di sungai yang mengalir sekalipun Nabi saw mendidik sahabat ra untuk tidak berlebih-lebihan apatah lagi pada masa kini dimana kita membuka paip air secara deras untuk berwuduk dan banyak air dibazirkan dengan penuh kesia-siaan. Islam menentang pembaziran. Bukalah paip air secara perlahan sekadar cukup untuk mengalirkan air ke  angota  wuduk dan segera menutup paip ketika air tidak diperlukan. 

Firman ALLAH saw maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan" (Al-Isra:27)

Jangan membazir dan jauhi was-was.
Botol air sekecil inipun (lebih kurang 600ml) sudah lebih daripada mencukupi untuk berwuduk. Jadi tidak perlu membazir air.

Kesimpulanya, janganlah kita menyusahkan diri dengan mengikut kehendak syaitan yang sentiasa bercita-cita menyesatkan umat manusia. Marilah sama-sama kita menjauhi sikap was-was yang merosakkan ini demi menghayati keindahan Islam yang sebenar. Islam itu mudah, syariat Islam dikurniakan ALLAH swt untuk kebaikan manusia sejagat bukan untuk menyusahkan mereka. 


ALLAH swt berfirman maksudnya:
“DIA sekali-kali tidak  menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. al-Hajj: 78


JAUHI SIKAP WAS-WAS YANG MEYUSAHKAN HIDUP ANDA.......


abu umair 23.10.11

Sunday, 23 October 2011

APA NASIB LIBYA SELEPAS INI?



Apa nasib Libya selepas ini???. Sebuah negara umat Islam yang kaya dengan minyak dan penduduknya terdiri daripada berbagai suku kabilah. 

Ada yang mengatakan mereka akan bergaduh sesama sendiri untuk mengangkat  kabilah masing-masing ke tampuk pemerintahan. Ada pula yang mengatakan Negara ini bakal dipergunakan oleh pemerintah jahat Amarika dan sekutu jahat Amarika bagi merebut hasil minyak yang melimpah di Libya.

Saya katakan hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui nasib saudara kita di Libya dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Saya berharap mudahan Libya tidak menjadi pak turut Amarika dan sekutunya walaupun tidak menafikan kebanyakkan negara yang menggulingkan pemerintah kuku besi mereka dengan bantuan Kuffar terpaksa juga meminta batuan Kuffar tersebut untuk membina negara baru. Saya doakan perkara ini tidak berlaku di Libya.

Saya doakan umat Islam Libya dan seluruh negara Islam dapat hidup dengan aman dan harmoni serta hukum ALLAH swt yang Maha Adil dapat ditegakkan. Saya tidak mahu berbicara lagi mengenai kezaliman bekas pemeritah Libya yang telah dibunuh dan keadaan di sana kerana saya tidak berada di sana. Hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui nasib hambaNYA di akhirat kelak.

 Banyak pengajaran yang boleh kita dapat daripada peristiwa  yang melanda negara Islam seperti Libya, Mesir dan lain-lain. Mudahan ianya dijadikan ikhtibar untuk meningkatkan lagi tahap keimaan kita serta mendorong kita kembali berpegang teguh kepada tali ALLAH swt.

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) ALLAH, dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali' Imran:103).

Sedikit informasi mengenai Libya.

Libya atau rasminya Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya (bahasa Arab: ليبيا, yang diartikan ke dalam bahasa Libya Lībyā atau الجماهيرية العربية الليبية الشعبية الإشتراكية) terletak di Afrika Utara, berbatasan dengan Laut Tengah, Mesir di sebelah timur, Sudan di tenggara, Chad danNiger di selatan serta Aljazair dan Tunisia di sebelah barat. Ibu kota negaranya adalah Tripoli. Bilangan penduduk Libya hampir mencecah 6 juta orang tetapi dianggap sebagai sedikit jikalau dibandingkan keluasan negaranya yang amat luas sehingga dikira sebagai negara ke-17 terbesar di dunia.
Nama "Libya" berasal daripada bahasa Mesir iaitu "Lebu", yang merupakan sebutan bagi orang-orang Berber yang tinggal di sebelah barat Sungai Nil, dan dipinjam oleh bahasa Yunanisebagai "Libya". Pada zaman Yunani kuno, istilah ini mempunyai erti yang lebih luas, yang mencakupi seluruh Afrika Utara di sebelah barat Mesir, dan kadang-kadang juga ditujukan untuk seluruh benua Afrika.
Libya adalah sebuah kerajaan yang didirikan pada 24 Disember 1951Raja Idris I bertindak sebagai pemimpin pemerintahan. Itali telah mencuba untuk merebut Libya dari Turki dan menjadikannya wilayah jajahan. Tetapi, negara yang berbatasan dengan Laut Tengah ini mendapat kemerdekaan dan kebebasan setelah Itali menyerah kalah kepada Sekutu dalamPerang Dunia Kedua.
Pada 2011,Libya terjebak dalam Perang Saudara akibat daripada tempias Revolusi Arab 2011 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Tunisia pimpinan Zine El Abidine Ben Ali dan Mesir,pimpinan Hosni Mubarak.Pada 27 Februari 2011,Pihak Pro-Demokrasi mengisytiharkan penubuhan Kerajaan Sementara Libya yang dinamakan Majlis Peralihan Nasional(National Transitional Council,المجلس الوطني الإنتقالي, al-majlis al-waṭanī al-'intiqālī),yang dipimpin oleh Mustafa Abdul Jalil,bekas Menteri Kehakiman Libya yang telah berpaling tadah dari Kerajaan Jamahiriya pimpinan Gaddafi.
Kolonel Muammar Muhammad al-Gaddafi (Arabمُعَمَّر القَذَّافِي‎ Muʿammar al-Qaḏḏāfī (lahir 7 Jun 1942- 20 Oktober 2011) adalah seorang pemimpin politik dan revolusi Libya. Beliau telah menjadi Presiden Libya semenjak menggulingkan Raja Idrisdalam rampasan kuasa tak berdarah pada 1969 dan menjadi pengasas Republik Sosialis Arab Libya.. Tempoh pemerintahan yang kini hampir mencecah 42 tahun membuatkan beliau antara pemimpin terlama memerintah dalam sejarah.
Ideologi Gaddafi dipanggil Teori Antarabangsa Ketiga dan dihuraikan dalam Buku Hijau. Buku ini disebar ke seluruh dunia secara percuma. Gaddafi dikatakan pernah menaja beberapa kumpulan pemberontak termasuk Gerakan Moro di selatan Filipina. Enam hari selepas Amerika berjaya menangkap Saddam Hussein , Gaddafi berikrar memusnahkan senjata pemusnah WMD. Ekoran komitmen itu, pada 15 Mei 2006, Setiausaha AS, Condoleezza Rice mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik AS-Libya.


Pada awal Februari 2011, bantahan politik besar, yang didorong bantahan di TunisiaMesirdan bahagian lain dunia Arab, meletus di Libya menentang kerajaan Gaddafi dan dengan cepat bertukar menjadi perang saudara. Gaddafi berikrar "mati syahid" jika perlu dalam perjuangannya menentang pemberontak dan kuasa luar, menyatakan yang mereka yang memberontak terhadap kerajaannya berhak mati. Pada 17 Mei 2011 Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan permohonan waran tangkap terhadap Gaddafi atas sebab jenayah terhadap kemanusiaan; pada 27 Jun, permohonan ini diterima dan waran dikeluarkan terhadap Gaddafi dan anaknya Saif al-Islam.



Pada Ogos 2011, Gaddafi terus diburu oleh pemberontak tetapi beliau dan tujuh anak lelakinya berjaya melarikan diri.Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011, Gaddafi berjaya dikesan di kampung asalnya di Sirte dan berjaya ditembak mati.

 abu umair 22/10/11









Saturday, 15 October 2011

TIADA AKTA UNTUK MEMBENDUNG KEGIATAN MENGHIDU GAM DI NEGARA KITA???

Sungguh terkejut bercampur sedih apabila saya membaca akhbar Harian Metro hari ini 15 Oktober 2011. Bukan terkejut membaca kisah sensasi atau gosip artis yang langsung tidak berfaedah tetapi kerana berita di bawah ini.



Keratan akhbar di atas membicarakan mengenai keprihatinan seorang wanita yang terserempak dengan beberapa remaja termasuk seorang remaja wanita sedang asyik menghidu gam di kawasan umum. Wanita prihatin tersebut lantas ke balai polis untuk membuat laporan terhadap kejadian tersebut barangkali atas kesedaran yang tinggi terhadap masa depan negara yang melahirkan remaja seperti ini.

Alangkah terkejut biawaknya saya apabila membaca kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik bahawa pihak polis tidak mempunyai akta untuk menahan individu yang terlibat dalam menghidu gam. Benarkah tiada akhta? Jika benar, ianya amat mendukacitakan.

Dimanakah keprihatinan pihak berkuasa, pemerintah termasuk pembangkang dalam membendung gejala sosial yang semakin serius melanda remaja kita pada masa kini?

Sungguh menghairankan kerana pihak polis mempunyai akta menahan mana-mana individu yang hanya memakai baju kuning tertera perkataan BERSIH tetapi tidak pula mempunyai akta menahan mereka yang menghidu gam. Adakah memakai baju berwarna kuning lebih merbahaya daripada menghidu gam?

Dimana usaha kita untuk membendung gejala yang merbahaya ini? Kenapa tiada akhta sedangkan terbukti gejala menghidu gam ini sangat merbahaya setaraf dadah. Saya sendiri pernah mempunyai seorang rakan yang telah meningal dunia kesan daripada menghidu gam serta pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang menjadi gila kesan menghidu gam.




Sepatutnya gejala menghidu gam ini wajib ditangani dengan lebih serius. Perlu ada akta yang lebih berkesan. Pendidikan awal di sekolah mengenai gejala yang merbahaya ini perlu lebih efektif. Ibu bapa dan masyarakat perlu lebih prihatin. Perlu ada peraturan ketat bagi mengawal pembelian gam yang digunakan untuk tujuan berkhayal seperti usaha mengawal pembelian asid agar ianya tidak disalah gunakan.

Wahai pihak pemeritah dan pembangkang yang saya hormati, janganlah asyik berbalah sesama sendiri sebaliknya bukalah mata anda sama. Lihatlah keadaan anak-anak muda kita yang semakin merudum akhlak mereka. Merekalah harapan agama dan negara. Merekalah pencorak masa depan Negara. Rosak mereka, terjejaslah negara.

Gejala keruntuhan moral seperti rempit, buang bayi, pergaulan bebas, rogol, dadah, meghidu gam, dan bermacam-macam lagi yang melanda remaja nampaknya seolah tiada titik noktah. Sungguh merunsingkan.

Saya menyeru kepada diri sendiri, ibubapa, masyarakat, pihak berkuasa, pemerintah dan pembangkang agar lebih serius dalam menghadapi dan membendung gejala tidak bermoral remaja. Semua kita bertanggungjawab dalam melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia dan perkara ini sangat penting.

Kepada para remaja, janganlah melibatkan diri dalam perkara yag boleh merosakkan diri dan orang-orang di sekeliling anda. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Takutlah kepada ALLAH swt. Jangan menjadi sampah masyarakat sebaliknya jadilah remaja contoh yang berakhlak tinggi. Muliakanlah diri anda dengan Islam.

"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik".
( Surah al.Baqarah,2:195).



Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(Surah At.Tahrim: 6 )



Abu umair 15.09.2011