|
Gambar hiasan |
Saya berpendapat, sepatutnya di negara ini sudah tiada orang miskin beragama Islam yang papa kedana sehingga terpaksa meminta bantuan organisasi Kristian dan Budha di negara yang mana wang zakat dikutip berjuta-juta ringgit saban tahun dan mejoriti penduduknya adalah Muslim serta menguasai pemerintahan negara sejak merdeka.
Pengalaman peribadi saya di Pulau Pinang sendiri dapat merasakan betapa kurang berkesannya organisasi-organisasi yang menguruskan orang Islam yang miskin dan kurang upaya sehingga tidak mampu menyelesaikan masalah sesetengah daripada mereka yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.
Namun adalah kurang adil jika dikatakan bahawa organisasi-organisasi yang menguruskan kebajikan orang Islam langsung tidak berfungsi kerana banyak juga jasa dan kebaikan yang telah mereka lakukan cuma bagi pendapat saya masih banyak yang perlu diperbaiki demi untuk menjaga imej dan kebajikan umat Islam. Wallahu'alam.
Pada tahun lepas kami diperkenalkan dengan seorang saudara Muslim berbangsa cina bernama Muhammad atau lebih mesra dengan pangilan Uncle Chin. Beliau kudung sebelah kaki dan memakai kaki palsu serta perlu mencuci buah pinggang (dialysis) dua kali seminggu akibat penyakit kerosakkan buah pinggang yang beliau hidapi.
|
Gambar hiasan |
Alhamdulillah, Pusat Urus Zakat(PUZ) ada menanggung perbelanjaan dialysis beliau berjumlah RM1,500.00 sebulan dan dibayar terus ke Pusat Dialysis tempat beliau menjalankan rawatan.
Yang menghairankan saya, PUZ hanya menanggung perbelanjaan dialysis sahaja tetapi tidak menanggung perbelanjaan sara hidup beliau seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian sedangkan beliau miskin serta sudah hilang upaya dan tidak mampu bekerja untuk meneruskan hidup. Tidak percaya dengan realiti itu, salah seorang daripada rakan saya pergi ke PUZ utuk meminta bantuan tetapi ternyata PUZ tidak dapat memberikan bantuan bulanan kepada Uncle Chin dan hanya dapat memberi bayaran secara one-off (Sekali beri sahaja) jika tidak silap dalam RM600.00 (saya tidak ingat jumlah sebenar). Amaun sekecil itu hanya cukup untuk beberapa bulan sahaja.
Jadi saya tertanya-tanya didalam diri, jika wang bantuan zakat tidak diberikan kepada beliau secara bulanan untuk menanggung perbelanjaan sara hidup seperti makan minum, pakaian, sewa teksi untuk ke Pusat Dialysis dan sebagainya, bagaimana beliau hendak meneruskan hidup?. Wang bantuan PUZ untuk rawatan dialysis itu juga tidak mencukupi untuk perbelanjaan pemeriksaan darah yang wajib beliau jalankan sekali dalam beberapa bulan. Jadi bagaimana Uncle Chin hendak meneruskan hidup dengan keadaan papa kedana seperti ini???. Adakah dengan meminta sedekah di jalanan sedangkan wang zakat yang dikutip dan mempunyi baki berjuta-juta ringgit saban tahun???
Sepatutnya PUZ memberi bantuan kepada insan yang dalam kesusahan seperti Uncle Chin ini sehingga mereka keluar dari kesusahan tersebut. Jika bantuan tidak diberi secara menyeluruh, sampai bilapun masalah kemiskinan tidak akan selesai. Jadi jangan marah dan melenting sangatlah jika ada yang sangup pergi ke gereja bagi menerima bantuan kerana kita sendiri tidak memberikan bantuan yang secukupnya kepada mereka yang memerlukan. Sungguh menyedihkan!
Saya pernah membaca sebuah artikel yang menyebut kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”.
Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)
Kita juga sering mendengar kisah yang mahsyur bagaimana ketika pemerintahan Umar bin ‘Abd al-Aziz, beliau berjaya menghapuskan kemiskinan di wilayah Islam dalam tempoh yang amat singkat iaitu dalam dua setenggah tahun sedangkan pada zaman itu tiada telefon, internet mahupun kenderaan bermotor yang canggih seperti sekarang.
Alhamdulillah, syukur kerana ada NGO Islam yang sudi membantu Uncle Chin. Jika tidak tak tahulah apa akan terjadi pada nasib beliau. NGO orang Islam yang saya maksudkan adalah IKRAM yang menyediakan tempat tinggal dan memberi elaun kepada beliau untuk meneruskan hidup. sebuah NGO Budha yang terkenal dengan aktiviti kebajikan di seluruh dunia turut memberikan bantuan bulanan.
Kami juga pernah berusaha untuk memasukkan beliau ke rumah kebajikan tetapi kami dibuat seperti bola. Pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat beliau tidak diterima kerana tidak cukup umur, pergi ke Pejabat Agama, mereka meminta kami menelefon sendiri sebuah rumah kebajikan (yang diuruskan oleh sama ada Pejabat Agama atau PUZ saya tidak pasti) bertempat di Pongsu Seribu, tetapi malangnya pada masa itu mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk membawa beliau ke Pusat Dialysis PUZ di Kepala Batas. Kami juga berusaha di tempat lain tetapi tetap menemui kegagalan. Mungkin kerana kami hanyalah orang biasa yang tidak berpengaruh.
Akhirnya kami tidak berjaya membantu menghantar beliau ke rumah kebajikan. Mujur NGO Islam yang prihatin seperti IKRAM sudi untuk terus membantu beliau. Akhirnya 4 bulan yang lepas barulah Uncle Chin dimasukkan ke Rumah Kebajikan (orang Islam) di Pogsu Seribu serta pengangkutan untuk ke Pusat Dialysis PUZ turut disediakan. Begitu lewat bantuan disalurkan.
Saya juga pernah bertanya kepada seorang pegawai PUZ mengenai kegagalan PUZ menyalurkan wang zakat kepada orang-orang miskin kerana masih ramai mereka yang layak tidak menerima wang zakat. Pegawai tersebit menyalahkan pihak masjid yang merupakan ejen PUZ serta bertanggungjawab terhadap orang miskin di karyah mereka.
Apabila saya bertanya kepada pengerusi masjid disalah sebuah masjid sekitar Seberang Perai, beliau pula menyalahkan orang miskin kerana tidak datang memohon bantuan ke masjid. Jadi masing-masing tunding menunding dan salah menyalahi antara satu sama lain tetapi masalah orang miskin tetap tidak selesai.
Hakikatnya ramai yang tidak tahu bahawa masjid merupakan ejen PUZ. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan orang miskin seperti ibu tunggal dan mereka yang buta huruf serta cacat mengetahui hal ini?.
Di sekitar Pulau Pinang kita dapat melihat papan-papan iklan yang menyeru orang ramai membayar zakat dan ini satu perkara yang bagus tetapi malangnya saya tidak pernah melihat satu papan iklanpun yang mengesa orang miskin serta mereka yang layak menerima zakat agar mendapatkan wang zakat. Sepatutnya PUZ hendaklah turut menyediakan papan-papan iklan yang mengajak mereka yang layak menerima zakat agar mendapatkan wang zakat dangan menyatakan cara serta tempat untuk mendapatkan wang zakat tersebut. Janganlah kita hanya menjadi juara dalam mengutip wang zakat tetapi tidak berjaya mengagihkan wang zakat tersebut dengan berkesan.
Pihak PUZ juga hendaklah mempermudahkan urusan permohonan wang zakat agar semua golongan yang layak dapat menerima bantuan dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu berbulan-bulan.
Wang zakat juga hendaklah disalurkan kepada golongan yang memerlukan sehingga mereka dapat keluar daripada kesusahan. Jika wang zakat yang disalurkan hanya RM100.00 dan RM200.00 sebulan, sampai bilapun masalah mereka tidak akan selesai. Mereka yang miskin akan terus miskin.
Pihak PUZ juga jangan hanya menunggu di pejabat berhawa dinggin dan mengharapkan orang miskin datang kepada mereka sebaliknya mereka sendiri hendaklah turun padang mencari orang miskin dan menyalurkan wang zakat tanpa karenah birokrasi yang meyusahkan. Jika pihak media masa dan NGO-NGO boleh mencari orang miskin dan mereka yang memerlukan untuk diberi bantuan kenapa pihak PUZ tidak boleh melakukannya? Sedangkan merekalah yang lebih patut melakukannya. Ataupun pihak PUZ sendiri boleh berkerjasama dengan pihak media masa dan NGO-NGO untuk mengagihkan wang zakat dengan lebih berkesan.
Saya menulis hal ini kerana berasa amat sedih. Sepatutnya negara kita yang kaya dengan wang zakat ini sudah dapat menyelesaikan masalah kemiskinan. Kita hendaklah memperbetulkan keadaan agar tidak berlaku lagi situasi dimana umat Islam yang memerlukan bantuan tidak mendapat pembelaan lalu terpaksa menerima bantuan daripada pihak gereja seperti yang terpampang di dada-dada akhbar baru-baru ini.
Kita hanya pandai menunding jari kepada pihak lain tetapi gagal menilai kelemahan diri sendiri. Kita tidak mahu ada umat Islam yang lemah imannya menjadi murtad kerana terhutang budi kepada pihak gereja sedangkan Islam adalah agama yang benar dan menyediakan jalan keluar kepada kesemua bentuk masalah termasuk masalah kemiskinan ini.
Saya mendoakan agar PUZ di negara kita menjadi lebih cekap dalam mengagihkan wang zakat dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat. Marilah sama-sama kita berusaha kearah itu dengan mengunakan kemampuan dan pengaruh yang ada pada diri masing-masing bagi mendesak Pihak yang menguruskan wang zakat mengagihkan wang zakat dengan lebih berkesan. Saya mendoakan agar negara kita menjadi negara miskin sifar suatu hari nanti. Wallahu'alam.
Firman ALLAH swt maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah:60)
Wahai para pengurus wang zakat, takutlah kepada ALLAH swt terhadap amanah yang anda pikul ini.
|
Gambar hiasan |
abu umair 9.8.11