Tuesday 26 July 2011

MARI BERPEGANG TEGUH DENGAN AL QURAN DAN SUNNAH. JANGAN MENOKOK TAMBAH DALAM URUSAN AGAMA.


ALHAMDULILLAH bulan Ramadhan semakin mendekati kita. Marilah sama-sama kita meningkatkan amal soleh. Marilah kita beribadah mengikut contoh daripada Nabi saw.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani .” [Ali Imran:31]

Jadi adakah anda menyintai ALLAH SWT? Jika ya ikutlah Nabi saw. Adab-adab berhubung dengan ibadah  seperti solat, puasa dan lain-lain mestilah mengikut contoh dari Nabi saw dan kita dilarang menokok tambah dan mencipta amalan-amalan baru. Ini kerana hanya Nabi saw sahaja yang menerima wahyu daripada ALLAH swt dan ALLAH swt memeritahkan manusia mengikut Nabi saw dalam urusan Ibadah.

Jadi amalan-amalan ibadah yang ditokok tambah dan dicipta oleh manusia pasti akan ditolak dan pengamalnya hanya melakukan kerja dosa yang sia-sia.

Sabda Nabi saw maksudnya:
’’Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ianya tertolak’’ (Hadis Riwayat Muslim)
Firman ALLAH swt maksudnya:
”Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.                (Ali-Imran:85)
Berkata al-Imam Ibn Kathir rh ketika mentafsirkan ayat di atas ini bahawa:
”Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari’atkan oleh ALLAH maka sama sekali ianya tidak diterima. (Tafsir Ibn Kathir)

Apabila ada pendakwah yang menyeru kepada Al Quran dan Sunnah dan melarang sebarang tokok tambah dalam urusan agama (bid’ah), maka kadang kala kedengaran suara-suara nakal yang menyebut “kalau macam itu kita semua kena naik unta lah sebab Nabi saw tidak pernah menaiki kereta”.

Ini adalah suatu kenyataan yang mengikut hawa nafsu semata-mata dan tidak berpandukan dalil. Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Haram menokok tambah dan mencipta amal ibadah yang baru kerana ianya dilarang oleh ALLAH swt dan Rasulullah saw. Adapun dalam urusan dunia, kita dibolehkan berkreatif dan inovatif dan ianya dianjurkan dalam Islam. Islam tidak pernah menyuruh umatnya mundur sebaliknya menganjurkan umatnya Berjaya di dunia lebih lagi di akhirat.

Sabda Nabi saw maksudnya:
Kamu lebih tahu hal ehwal duniawi kamu” (Hadis Riwayat Muslim)
Didalam hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda maksudnya:
“Jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu, maka uruslah ia. Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku. (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah)

Malang sekali jika dilihat pada masa kini di mana umat Islam semakin mundur dan jumud dalam urusan dunia. Kebanyakkan penemuan-penemuan canggih dan baru menerusi teknologi terkini dipelopori oleh orang-orang barat yang bukan beragama Islam sedangkan umat Islam hanya menjadi pengikut dan penguna kepada penemuan moden tersebut.

Oleh itu umat Islam hendaklah kembali kepada al-Quran dan Sunnah iaitu tidak menokok tambah dan mencipta amalan baru dalam ibadah sebaliknya hendaklah lebih kreatif dan inovatif dengan mencipta dan membuat penemuan-penemuan baru dalam urusan dunia dengan meguasai teknologi moden. Itulah anjuran Islam yang sebenar.

Jadi menaiki kereta dan mencipta kenderaan yang lebih canggih adalah dianjurkan oleh Islam kerena ia merupakan urusan dunia insan walaupun ianya tidak terdapat di zaman Nabi saw.

Berlainan pula dengan ibadah. Umat Islam dilarang sama sekali menokok tambah dan mencipta amal baru dalam ibadah. Ini kerana seperti yang saya nyatakan di atas hanya Nabi saw sahaja yang layak diikuti dalam urusan ibadah. Itulah yang diperintahkan oleh ALLAH swt.

Menokok tambah amalan agama (ibadah) dan mencipta amalan baru dalam agama merupakan suatu perkara yang amat merbahaya dan mengundang kemurkaan ALLAH swt.

Nabi saw bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan(bid’ah)dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam Sunan al-Nasaai pula, terdapat penambahan lafaz pada riwayat ini iaitu:
“Setiap yang sesat itu (tempatnya) di neraka”.(Hadis Riwayat al-Nasaai)

Setelah dikemukakan hujah-hujah sahih seperti di atas, ada pula suara-suara menyatakan “apa salahnya benda baik takkan tak boleh kot”.

Bagi yang masih degil dan memberi alasan yang tidak berpandukan ilmu seperti ini, saya ingin menyatakan bahawa larangan menokok tambah dan mencipta amalan baru dalam ibadah bukannya dibuat oleh saya yang lemah ini mahupun para pendakwah yang menegakkan al-Quran dan Sunnah tetapi ianya merupakan larangan daripada ALLAH swt. Apa yang baiknya jika perbuatan tersebut dilarang oleh ALLAH swt dan Rasul saw?

Dalam ibadah matlamat tidak menghalalkan cara sebaliknya matlamat hendaklah betul dan caranya juga hendaklah betul. Oleh itu matlamat ibadah kita hendaklah ikhlas hanya kerana ALLAH swt diikuti dengan cara yang betul iaitu mengikut contoh daripada al-Quran dan Sunnah Nabi saw.

Perlu diingatkan bahawa Islam adalah agama wahyu dan bukan agama ciptaan manusia. Perbuatan menokok tambah (Bid’ah) dalam agama boleh menghilangkan ketulenan agama sehingga menyebabkan berlaku salah faham terhadap agama yang benar ini. Orang ramai akan merasakan agama ini susah kerana tidak dapat membezakan diantara amalan tokok tambah yang dilakukan oleh manusia dengan amal ibadah yang sebenar daripada al-Quran dan Sunnah lalu semakin ramai akan lebih jauh dari agama.

Dengan penokok tambahan dalam agama, umat Islam juga akan menjadi semakin pincang dan berpecah belah. Inilah antara bahaya tokok tambah (bid’ah) dalam agama.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi. Berkata al-Tirmizi hadis ini hasan sahih)

Mereka yang mencipta dan menokok tambah ibadah juga seolah-olah menafikan kesempurnaan agama sehingga memerlukan penambahan. Sedangkan agama ini telahpun sempurna dan tidak perlu kepada sebarang tokok tambah.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Pada hari ini AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu dan AKU telah redha Islam menjadi agama kamu” (Surah al-Maaidah: 3)
Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku telah meninggalkan ajaran agama Islam ini dalam keadaan yang amat terang dan jelas, Tiada seorangpun yang menyimpang daripada ajaran yang jelas ini selepas kewafatanku kecuali dia akan binasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)

Para pencipta dan penokok tambah amalan baru dalam agama(bid’ah) juga seolah-olah merasakan diri mereka setaraf dengan ALLAH swt kerana berani mencipta dan menokok tambah suatu syariat yang baru. Amat beratlah dosa para pencipta bid’ah.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Berjaga-jagalah mereka yang mengingkari perintahya (Rasulullah). Jangan sampai mereka ditimpa musibah, atau ditimpa azab siksa yang pedih.” (al-Nur:63)
“Tidak patut bagi orang-orang yang beriman, sama ada lelaki atau perempuan untuk memilih ketetapan sendiri terhadap perkara yang telah diputuskan ALLAH dan Rasul-NYA. Sesiapa yang melakukan maksiat terhadap ALLAH dan Rasul-NYA, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Al-Ahzaab:36).

Oleh itu AWAS!, jangan sesekali membuat bid’ah kerana azab ALLAH swt amat pedih. Para penceramah hendaklah berhati-hati agar tidak menyebarkan bid’ah kepada masyarakat sehingga menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan amalan bid’ah yang merosakkan ini.

Kepada orang awam seperti saya, hendaklah sentiasa berhati-hati dalam melakukan amal ibadah agar kita tidak terjerumus ke dalam bid’ah. Jika ada penceramah yang mengajar kita melakukan sesuatu amalan yang meragukan dan tidak mengemukakan dalil, kita hendaklah bertanya mana dalilnya dan adakah dalil tersebut sahih menepati al-Quran da Sunnah. Jangan sesekali taksub (fanatik) kepada seorang ustaz sahaja dengan menelan bulat-bulat apa yang keluar dari mulutnya tanpa disertakan dalil yang sahih dari al-Quran dan Sunnah. Ini kerana dikhuatiri kita akan terjerumus dalam kesesatan.

Pilihlah ustaz-ustaz yang diyakini ilmunya dan yang ikhlas memperjuangkan kebenaran walaupun mereka difitnah dan ditentang oleh orag-orang yang jahil. Ustaz-ustaz seperti ini tidak takut akan tentangan mereka yang jahil dan mempunyai niat yang jahat sebaliknya terus berdakwah menyampaikan ilmu yang sahih dari al-Quran dan sunnah. Pun begitu kita tetap tidak boleh taksub (fanatik) kepada mereka kerana mereka tetap manusia seperti kita yang tidak lari dari kesilapan. Hanya kata-kata ALLAH swt dan Nabi saw sahaja yang kita taat 100%.

Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu untuk beramal dengan amalan yang sahih daripada al-Quran dan Sunnah, tiba-tiba kita tersilap secara tidak segaja. Kita menyangka sesuatu amalan itu menepati Sunnah sedangkan ianya bid’ah. Pada masa itu kita tidak berdosa kerana kita telah berusaha mencari kebenaran tetapi tersilap tanpa disedari dan ALLAH swt tidak akan menghukum sesuatu kesilapan yang tidak kita ketahui dan InsyaALLAH kita akan beroleh pahala kerana telah berusaha mencari ilmu bagi memastikan amala kita sahih daripada al-Quran dan Sunnah.

Berbeza pula jika kita telah memperolehi kebenaran yang nyata tetapi kita tetap degil dan bersikap ego menolak kebenaran tersebut dan terus beramal dengan bid’ah, lalu ketika itu kita telah melakukan dosa dan azab ALLAH swt amat pedih. Bertaubatlah segera sebelum terlambat dan kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah.

Marilah kita beramal dengan al-Quran dan Sunnah yang sudah pasti akan membawa kita ke jalan syurga. Jauhilah diri kita daripada amalan tokok tambah dan direka oleh manusia (bid’ah) kerana bid’ah hanya membawa kita ke jalan kesesatan.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan Sunnahku.” (Hadis Riwayat Malik Ibn Anas)

Mudahan ALLAH swt menunjukkan kita ke jalan yang benar dan mudahan kita menjadi orang-orang yang selamat di dunia lebih lagi di akhirat.          -Wallahu’alam-.  

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah ALLAH Maha Pegampun, lagi Maha mengasihani.” (al-Furqan: 70)



abu umair 25.07.2011

5 comments:

  1. make it short abu irfan, apa contoh tokok tambah yang anda maksudkan pada zaman kini?

    ReplyDelete
  2. kalau selawat ke atas nabi is a big deal ke?

    ReplyDelete
  3. Firman ALLAH swt maksudnya:

    Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.
    (Al-Ahzab:56)

    Selawat adalah amalan yang sangat baik. Sebaik-baik selawat adalah yang diajar oleh Nabi saw - Selawat Ibrahimiyah

    Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  4. Antara contoh tokok tambah yang menyesatkan adalah bentuk zikir dengan cara melompat-lompat dan berteriakkan seperti yang dilakukan oleh sesetengan golongan tarekat. Sebaiknya berzikirlah dengan cara Nabi saw iaitu dengan suara yang perlahan.
    Wallahu'alam

    ReplyDelete