Sunday 24 April 2011

MAKAN DAHULU BARU SOLAT ATAU SOLAT DAHULU BARU MAKAN?

Setahun yang lepas saya bersama  rakan seperjuangan telah menganjurkan satu seminar penghayatan Quran khas buat anak-anak muda Muslim yang dikasihi di sebuah masjid terkemuka sekitar Seberang Perai. Alhamdulillah dengan limpah kurnia-NYA program tersebut berjalan lancar. Rata-rata anak muda yang hadir gembira dan memberi maklum balas positif serta mencadangkan agar lebih banyak program seperti ini dianjurkan pada masa akan datang.   

Seminar berakhir sekitar jam 9.45 malam, anak-anak muda yang hadir pasti ada yang kelaparan dan kehausan setelah hampir dua jam setengah menghayati hujah-hujah ustaz yang berceramah. Satu demi satu kaki melangkah meningalkan dewan lalu menghampiri bihon goreng berlaukkan udang ditemani teh ’O’ panas yang sudahpun terhidang seolah-olah bersedia untuk dijamah. Tiba-tiba kedengaran satu jeritan berbunyi ”Hoooi solat dulu hooi solat dulu”. Maka terbahagilah anak-anak muda tersebut kepada dua. Ada yang solat dulu baru makan dan ada pula yang makan dulu baru solat.

Setelah anda membaca pengalaman di atas, apakah yang anda fikirkan? Adakah wajar saudara kita tadi menjerit menggesa anak-anak muda untuk solat dahulu sebelum makan sedangkan sebahagian daripada mereka mungkin sedang lapar kerana belum makan malam dan sebahagian lagi berkeinginan untuk makan kerana makanan sudahpun terhidang?



Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: 
Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan malam”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a, baginda Nabi saw bersabda maksudnya:
”Apabila dihidangkan makan malam untuk kamu sedangkan solat (berjemaah) telah didirikan, maka mulakanlah dengan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah sehingga dia selesai makan” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang sama dinyatakan bahawa-Maksudnya:  
 ”Ibnu Umar r.a apabila dihidangkan makanan untuknya ketika solat didirikan, beliau tidak mendatangi solat hinggalah beliau selesai makan sedangkan beliau mendengar bacaan imam”

Menurut Imam Nawawi r.h (meninggal 676H):
Hadis-hadis tersebut menyatakan hukum makruh bersolat apabila makanan yang hendak dimakan telah terhidang kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”(Rujuk Syarh Sahih Muslim, karya Imam Nawawi).

Jelaslah kepada kita bahawa mendahulukan makanan yang sudah terhidang di depan mata merupakan sunnah dan sunnah ini meliputi semua solat. Meniggalkan makanan ketika lapar atau berkeinginan yang kuat untuk menjamahnya ternyata boleh menghilangkan khusyuk dalam solat. Ini disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Oleh itu ulama menyatakan hukumnya makruh meniggalkan makanan yang sudah terhidang di depan mata untuk menunaikan solat.

Malangnya ada diantara kita yang kurang faham lalu mengandaikan agama dengan emosi semata-mata tanpa melalui ilmu. Suruhan mendahulukan makan sebelum bersolat bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat. Sebaliknya, tujuan arahan Nabi saw adalah untuk memastikan kesempurnaan solat kita. Agar kita dapat solat dengan Khusyuk tanpa memikirkan tentang makanan tadi. Namun jika makanan belum terhidang atau keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah makruh untuk kita terus menunaikan solat.

Hidup ini indah jika kita sentiasa menjadikan Al Quran dan Sunnah Nabi saw sebagai pegangan hidup. Lihatlah betapa hebatnya Al Quran dan Sunnah mengatur hidup kita. Oleh itu marilah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan yang ada. Wallahu’alam.







Firman ALLAH swt maksudnya:  
”Makan dan minumlah kamu. Jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya DIA tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-Araf: 31)

Oleh: Abu umair. 12/11/2010

1 comment:

  1. mungkin dah jadi kebiasaan untuk solat dulu, baru makan.tapi betul, dalam keadaan lapar mana nak khusyuk... :)

    ReplyDelete