Wednesday 24 October 2012

Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada Ajaran Islam.


Subhanallah, apabila saya mempelajari Hadis di bawah ini, terasa bergetar di jiwa betapa Islam menganjurkan umatnya mengerjakan kebajikan seperti memberi makan dan sebagainya.

Sahih Bukhari - Kitab Iman
Bab 6: Memberi Makanan Adalah Sebahagian Daripada (Ajaran) Islam

١١ - حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ خَالِدٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ عَنْ أَبِي الْخَيْرِ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِي اللَّه عَنْهممَا{ أَنَّ رَجُلا سَأَلَ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الإِسْلامِ خَيْرٌ ؟ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ }
...
11- `Amru bin Khalid telah meriwayatkan kepada kami, katanya, al-Laith telah meriwayatkan kepada kami dari Yazid dari Abi al-Khair dari `Abdillah bin `Amar r.a, bahawa ada seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi s.a.w., katanya: “Apakah (ajaran) Islam yang paling baik? Nabi s.a.w. bersabda: Memberi makanan dan memberi salam sama ada kepada orang yang telah engkau kenali atau belum.”

Faedah hadis berdasarkan bab:


1. Memberi makan bukan khusus kepada umat Islam sahaja, tetapi termasuk kepada bukan Islam dan binatang.

2.Sesuatu kaedah umum, ia akan menjadi khusus hanya apabila mempunyai dalil. Contoh umum adalah seperti hadis di atas 'orang yang kamu kenal dan tidak kenal'. contoh khusus adalah 'kepada orang Islam'.

3.Nabi saw nak suruh umatnya menjadi 'jud' yang bermaksud teramat dermawan (dermawan bukan hanya dari sudut kebendaan seperti harta atau wang sahaja, ianya boleh jadi ilmu, kasih sayang dan sebagainya)

4.Antara amal yang ada dalam Islam sekurang-kurangnya berilah makan untuk menjalinkan hubungan.

Saudara dan saudari sekalian, marilah kita menonjolkan akhlak Islam yang mulia dengan memberi makan terutamanya kepada ahli keluarga, jiran, fakir miskin dan lain-lain lagi. Lihatlah betapa Islam menganjurkan kebaikan dan kebajikan. Lakukanlah dengan seikhlasnya. Mudahan kita semua dirahmati dan diberkati oleh ALLAH swt.  Wallahu'alam.

abu umair 24.10.2012