Sunday 8 July 2012

KEBAJIKAN ICS: ZIARAH DAN MEMBANTU MANGSA KEBAKARAN.

Antara usaha gerak kerja kebajikan ICS adalah jika mendapat khabar berita berlakunya kebakaran disekitar Pulau Pinang khususnya, InsyaALLAH ICS akan menziarahi mereka yang diduga tersebut dengan memberi kata semangat dan menghulurkan bantuan. 

ICS sedar akan penderitaan mereka. Bayangkan rumah yang didiami selama ini musnah sama sekali. Pakaian, kelengkapan rumah, barangan berharga yang kadang kala tiada tukar gantinya dan dokumen-dokumen penting semuanya hangus dijilat api. Bayangkan betapa sukarnya keadaan mereka?. Jadi sebagai umat Islam,  kita bertanggungjawab membantu mereka. Inilah anjuran Islam.

Beginilah keadaan beberapa rumah yang telah ICS ziarahi. Bayangkan betapa sedih dan sukarnya mereka menghadapi keadaan seperti ini. Mudahan ALLAH swt mengurniakan kesabaran dan ketabahan serta mempermudahkan urusan mereka. Bersama kita doakan. 








ICS hadir tanda ambil berat dan kasih sayang sesama Islam. Saudara-saudara seIslam kita dalam kesusahan, kita wajib menghulurkan tangan membantu. Sabda Nabi saw maksudnya:
"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri" (HR. al- Bukhari dan Muslim). 
"Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu angota mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
"Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.






Walaupun membantu umat Islam yang dalam kesusahan merupakan agenda utama ICS sebagai tanda tanggungjawab, ambil berat dan kasih sayang sesama saudara Islam, ianya tidak menghalang ICS daripada membantu mereka yang belum memeluk Islam selari dengan firman ALLAH swt yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
Dengan kita membantu mereka, Mudahan ALLAH swt membuka jantung hati mereka untuk menerima Islam. Paling tidakpun mereka akan menghormati umat Islam dan akan lebih dekat dengan Islam. 

Dalam usaha musuh-musuh Islam memberikan gambaran buruk mengenai Islam melalui media massa mereka, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan akhlak Islam yang mulia bagi membuktikan pembohongan musuh-musuh Islam tersebut. Kerja kebajikan adalah salah satu cara kita menonjolkan imej Islam yang sebenar.

Akhir kata, ICS menyeru diri sendiri dan saudara saudari yang seakidah sekalian, marilah sama-sama kita melakukan amal kebajikan dan marilah kita berakhlak mulia. Tonjolkan imej Islam yang sebenar dan martabatkanlah Islam.

ICS amat memerlukan sokongan dan doa saudara saudari sekalian bagi meneruskan usaha gerak kerja kebajikan ini. ICS amat mengalu-alukan sumbangan anda. Semuga ALLAH swt memberkati kita semua. Semuga kegemilangan umat Islam yang telah tercicir akan kembali menyinar semula.


Tulisan ini adalah pandangan dan pendirian peribadi abu umair. Ianya tiada kaitan dengan ICS.

Abu umair 7 Julai 2012