Saturday 24 September 2011

BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM MENDEKATKAN DIRI KE SYURGA.


Gambar di atas menunjukkan seorang anak yatim sedang meminta derma kepada orang ramai di sebuah restoran sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kebetulan ketika itu saya sedang menjamu selera di restoran tersebut  bersama isteri lebih kurang jam 7.00 petang 28 Julai 2011.

Dengan wajah lesu yang jelas mengambarkan keletihan, anak yatim tersebut menghampiri saya menghulurkan sebotol minuman herba yang tidak pernah saya lihat sebelum ini untuk dijual. Saya menolak daripada membeli atas sebab tertentu dengan mengunakan nada yang lembut kerana kasihan melihat kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak tersebut meminta derma untuk sebuah Tahfiz yang terletak di Kedah.

Ini bukanlah kali pertama kanak-kanak sekecil ini menghampiri saya untuk meminta derma atau menjual barang atas alasan ianya akan disalurkan ke sebuah Tahfiz di Kedah dan saya yakin para pembaca turut pernah melalui pengalam ini.

Patutkah kanak-kanak sekecil ini diperalatkan oleh sesetengah pihak untuk menjual barang atau meminta derma ke sana ke mari seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa?. Bagaimana pula dengan faktor keselamatan kanak-kanak tersebut yang saya jangkakan hanya seawal usia 9-10 tahun? Tidakkah kanak-kanak sekecil ini berisiko tinggi untuk diculik, disamun atau dilangar kenderaan? (Mudahan ALLAH swt melindungi kanak-kanak tersebut dari segala bahaya dan keburukan)

Bagaimana pula dengan persekolahan kanak-kanak tersebut? Adakah anak yatim ini bersekolah sedangkan dia sibuk berjalan mengutip derma dan menjual barang?. Ya jika dia bersekolah sekalipun tidak kasihankah kita kepadanya setelah keletihan belajar di sekolah terpaksa pula menjual barang dan mengutip derma diwaktu petang sehingga keadaan hampir senja masih sibuk mengutip derma. Patutkah mereka memperlakukan insan kecil ini sedemikian rupa? Pukul berapa kanak-kanak ini akan diambil pulang ke asramanya? Pukul berapa dia hendak mengulang kaji pelajaran? Pukul berapa pula dia hendak tidur?

Sepatutnya waktu usia sekecil ini diluangkan untuk belajar, bermain, berseronok dan berehat seperti kanak-kanak normal yang lain bukan berjalan ke sana ke mari untuk meminta derma. Hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui berapa lama dan sejauh mana anak yatim ini berjalan meminta derma. Kita sebagai ibubapa tentu tidak sanggup melihat anak kita berkeadaan sebegini.

Lebih menyakitkan hati lagi apabila ada pelangan yang tergamak menengking dan memarahi anak yatim tersebut apabila dia menghampiri  mereka. Tentu emosi kanak-kanak tersebut akan terjejas dengan layanan buruk diterimanya sedangkan dia tidak melakukan sebarang dosa. Jika kita, sanggupkah kita melihat anak kita diperlakukan sedemikian rupa? Jika tidak mahu membeli atau menderma itu hak masing-masing, tetapi janganlah sampai menengking dan memarahi anak yatim yang tidak bersalah ini.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya” (Ad-Dhuha : 9)
“Tahukah kamu orang yang mendustakan Agama, itulah orang yang menghardik anak  yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin. “ (Al-ma’un : 1-3)

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH menyukai sifat lemah lembut pada setiap perkara. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Janganlah mengharapkan kanak-kanak sahaja menghormati orang dewasa sedangkan orang dewasa juga hendaklah menghormati kanak-kanak. Jangan buat kanak-kanak seperti insan yang tidak mempunyai nilai sebaliknya kasihanilah mereka. Lihatlah akhlak Nabi saw yang sentiasa mengasihi kanak-kanak lebih-lebih lagi anak yatim. Kita sepatutnya mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw dengan melayan kanak-kanak secara baik.

Sebuah Hadis menyebut (maksudnya):
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan didekatnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah S.A.W. segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham(barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi) (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Gambar hiasan.

Kemana perginya pihak pengurusan Tahfiz yang mempergunakan anak yatim seperti ini meminta derma? Adakah wang derma tersebut benar-benar disalurkan kepada Tahfiz anak yatim?. Ya kita bersangka baik tetapi sepatutnya pihak pengurusan Tahfiz itu sendirilah yang patut berusaha mengumpul dana bagi menjalankan operasi Tahfiz mereka bukan mempergunakan kanak-kanak kecil seperti ini untuk berjalan meminta derma.

Saya memuji sebuah Tahfiz anak yatim bertempat di Kajang dimana pengurusnya sendiri menjalankan berbagai jenis perniagaan dan keuntungan daripada perniagaan tersebut berserta sumbangan orang ramai disalurkan kepada Tahfiznya untuk kebajikan anak yatim yang berlindung di situ. Inilah pengurus rumah anak yatim yang bertanggungjawab dan berjiwa murni. Inilah cara yang sepatutnya dan bukan dengan cara mempergunakan anak yatim yang masih kecil mengutip derma  menagih simpati masyarakat.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku dan penjaga anak yatim di dalam syurga ‘begini’. ” Rasulullah mengatakan demikian sambil menunjukkan dua jariya iaitu jari telunjuk dan jari tengah. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Saya menyeru kepada pihak berwajib dan individu yang berkemampuan agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan sesetengah pihak yang mempergunakan  anak yatim sebagai buruh menjual barang dan meminta derma. Kebajikan anak yatim wajib dijaga agar mereka tidak diperlakukan sewenang-wenangnya.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kualiti diri. Marilah kita berbuat baik kepada anak yatim kerana ianya sangat dituntut oleh Islam. Marilah kita mengasihi kanak-kanak lebih lagi anak yatim dan janganlah kita sebagai Muslim dewasa memperlakukan mereka dengan sewenang-wenangnya. Cukuplah kesengsaraan dilalui anak yatim akibat kehilangan kasih sayang ibu atau bapa atau kedua-duanya dalam usia yang masih kecil. Marilah kita menjadi muslim yang berjantung hati mulia dengan mengikut contoh akhlak mulia Nabi saw yang kita kasihi. Wallahu’alam.

Sabda Nabi saw maksudya:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik. (Hadis Riwayat Ahmad)

Firman ALLAH swt maksudnya:
 Dan hendaklah  kamu beribadat  kepada Allah dan    janganlah kamu  sekutukan Dia  dengan sesuatu  apa jua dan  hendaklah kamu  berbuat baik  kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”  (An-Nisaa:36)

Gambar hiasan

BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM MENDEKATKAN DIRI KITA KE SYURGA!

MARILAH KITA BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM WALAUPUN HANYA SEKADAR MENGUSAP KEPALA MEREKA DENGAN PENUH KASIH SAYANG.


Abu umair 18/9/11

Sunday 11 September 2011

KASIH SAYANG NABI SAW WALAUPUN TERHADAP HAIWAN.

Gambar hiasan

Kadang kala kita lihat layanan terhadap haiwan peliharaan di negara barat lebih baik dan terbela daripada sesetengah negara seperti negara kita ini. Di Amarika Syarikat sendiri sudah lama ditubuhkan Polis khas untuk membela dan menjaga kebajikan haiwan peliharaan. Namun jika dilihat sejarah, Amarika Syarikatlah negara yang paling banyak membunuh haiwan dengan sewenang-wanangnya.

Lebih menyedihkan kadangkala kita lihat haiwan di negara barat lebih terbela berbanding manusia di sesetengah negara Islam. Lihatlah bagaimana umat Islam dilayan oleh pemerintah mereka di beberapa negara arab yang ditadbir oleh pemerintah kuku besi yang zalim.


Gambar hiasan

Inilah dunia akhir zaman. Jadi untuk mengembalikan sejarah kehebatan dan kegemilangan umat Islam, kita hendaklah kembali berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah. Berpegang teguh dengan tali ALLAH dan jangan kita bercerai berai.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)

Jika umat Islam kembali berpegang teguh dengan Islam yang sebenar nescaya akan terpancarlah kembali kehebatan umat Islam. Dunia akan dapat melihat keadilan dan keamanan serta kasih sayang yang ditonjolkan oleh agama Islam yang benar ini. Sebab itulah kita dapat lihat ramai yang memeluk Islam di barat seperti paderi-paderi Kristian yang ramai memeluk Islam setelah mengkaji tentang kebenaran Al Quran dan Sunnah Nabi saw dan mereka dapat lihat keindahan serta kehebatan Islam lebih daripada kita yang mengamalkan Islam secara ikut-ikutan ini.

Islam menyediakan penyelesaian kepada segala aspek dan permasalahan di dunia ini sehingga membawa kepada ketenangan dan kegembiraan kepada Insan yang berpegang teguh dengan kebenaran. lihatlah Akhlak terpuji Nabi kita Muhammad saw yang dikagumi kawan dan lawan. Sebagai contoh lihatlah bagaimana baginda saw melayan makluk bernama haiwan. Nabi saw menuntut insan melayan haiwan dengan baik dan mengharamkan penganiayaan terhadap haiwan.

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: Walaupun hadis ini umum, maksudnya khusus kepada haiwan yang perlu dihargai nyawanya. Iaitu haiwan yang tidak diperintahkan agar kita membunuhnya. (‘Aun al-Ma’bud)

Dari Abdullah, dari bapanya, dia berkata (maksudnya):
“Kami pernah bersama Rasulullah saw dalam suatu safar, lalu baginda pergi untuk suatu keperluan. Waktu itu kami melihat burung pipit bersama dengan kedua anaknya, kami ambil kedua anak burung pipit tersebut, lalu datanglah ibunya. Dia mengepak-gepakkan sayapnya. Ketika Rasulullah saw datang, baginda bertanya: “Siapa yang membuat risau burung ini terhadap anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya!”. Baginda juga pernah melihat sarang semut yang kami bakar. Baginda bertanya: “Siapa yang membakar ini?” kami menjawab: “Kami” lalu Baginda bersabda: “Tidak seyogianya mengazab dengan api kecuali Rabbnya api.” (Hadis Riwayat Ahmad dan disahihkan sanadnya oleh al-Arnauth)

 “Bahawasanya Rasulullah saw pernah memiringkan bejana untuk seekor kucing sehingga kucing itu minum (darinya) dan kemudian Rasulullah saw  berwudhu dengan air sisanya.” (Hadis Sahih Riwayat Thabarani)

 Rasulullah saw bersabda maksudnya
“Sesugguhnya ALLAH mewajibkan berlaku baik terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh hendaknya membunuh dengan cara yang baik, dan jika kamu menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaknya dia menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata:
“Rasulullah saw melewati seorang lelaki yang meletakkan kakinya di muka seekor kambing, sementara dia sedang mengasah pedangnya. Kambing tersebut melihat ke arahnya dengan kedua matanya. Maka Rasulullah saw berkata: “Apakah kamu ingin membunuhnya dua kali? Mengapa tidak kamu asah dahulu pedangmu sebelum kamu baringkan kambing itu?” (Hadis Riwayat al-Hakim, dia berkata:Sahih atas syarat Syaikhain dan disetujui az-Zahabi) 

 Dari Suhail bin al-Handhalah r.a, dia berkata:
“Rasulullah saw pernah melewati seekor unta yang punggungnya telah bertaut dengan perutya. Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada ALLAH terhadap binatang ternakan yang tidak dapat berkata-kata ini. Naikilah dia dengan cara yang baik dan makanlah dagingnya dengan cara yang baik (pula).” (Hadis Riwayat Abu Daud, dihasankan sanadnya oleh al-Arnauth)

Jelaslah di sini betapa indahnya Islam yang benar ini sehingga menganjurkan umatnya berbuat baik dalam segala aspek kehidupan walaupun dalam melayan haiwan yang kadang kala dianggap remeh oleh sesetengah daripada kita. Sedangkan Islam tidak menganggap peyiksaan terhadap haiwan itu sesuatu yang remeh sehingga ada yang masuk neraka kerana menyiksa seekor kucing sehingga mati.

Sabda Nabi saw maksudya:
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menyiksa haiwan adalah perbuatan yang zalim. Kasihanilah makluk bernyawa yang tidak berdosa ini. Ingatlah bahawa ALLAH swt Maha Melihat segala gerak geri kita dalam setiap inci dan saat. Kita tidak akan terlepas dari dipertanggungjawabkan terhadap segala perbuatan zalim kita di akhirat kelak.

Marilah kita mencontohi akhlak terpuji Nabi saw dan marilah kita berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah. Berbuat baiklah sesama insan dan makluk bernyawa yang lain. Hindari sikap zalim, Syirik dan Bid'ah. InyaALLAH kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH swt.


ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw. itu adalah contoh tauladan yang baik......’’.(Al Ahzab:21)

Sabda Nabi saw maksudnya:
“Aku telah meninggalkan ajaran agama Islam ini dalam keadaan yang amat terang dan jelas, Tiada seorangpun yang menyimpang daripada ajaran yang jelas ini selepas kewafatanku kecuali dia akan binasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)

Abu umair 11/9/11

Thursday 8 September 2011

MASUK NERAKA KERANA SEEKOR KUCING?

Gambar ini dan di bawah adalah keadaan kucing-kucing yang kebuluran di sebuah tempat penjagaan kucing (Hotel Kucing).
Zalim !

Baru-baru ini gempar di media masa tempatan mengenai berita kematian beberapa ekor kucing yang mati kebuluran dan beratus lagi dalam keadaan yang amat menyedihkan kerana dikurung tanpa makanan selama seminggu di sebuah Pusat Penjagaan Haiwan Peliharaan. Amat menyedihkan kerana masih ada individu yang sangup menyiksa makhluk bernyawa seperti ini.




Perbuatan zalim bukanlah hanya disandarkan kepada penyiksaan terhadap manusia lain tetapi menyiksa haiwan juga adalah satu perbuatan dosa yang zalim lagi terkutuk. Islam agama benar yang melarang keras perbuatan menyiksa haiwan walaupun seekor kucing sehingga ada hadis sahih yang menceritakan mengenai seorang wanita diazab hanya kerana seekor kucing.

Sabda Nabi saw maksudnya:
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Lihatlah betapa beratnya kesalahan menzalimi haiwan sehingga boleh menyebabkan tercampaknya seseorang ke dalam azab api neraka yang amat perit. Na'uzhubillah mudahan kita tidak termasuk dikalangan mereka yang gemar menzalimi haiwan dan lebih lagi menzalimi manusia.

Kepada mereka yang pernah menyiksa haiwan seperti memukul kucing, melangar anjing dengan kereta secara sengaja, mengurung kucing tanpa memberi makan, menyiksa ikan dengan membiarkan ianya mati kerana air akuarium yang terlalu kotor dan sebagainya hendaklah segera bertaubat kepada ALLAH swt sebelum terlambat. Berbuat baiklah walaupun terhadap haiwan.

Islam melarang keras perbuatan zalim terhadap haiwan dan menganjurkan umatnya berbuat baik kepada haiwan sehingga ada yang masuk syurga hanya kerana memberi minum kepada anjing yang dalam kehausan dengan penuh keikhlasan. ALLAH swt Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Nabi saw yang kita cintai, kekasih ALLAH swt yang menjadi contoh sepanjang zaman amat menganjurkan umatnya berbuat baik walaupun kepada haiwan. InsyaALLAH dalam tulisan yang akan datang akan saya bawakan beberapa hadis yang menunjukkan kasih sayang Nabi saw walaupun terhadap haiwan.

Marilah kita mencontohi Nabi saw dalam semua aspek kehidupan. Mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang selamat di dunia lebih lagi di akhirat.

ISLAM MENENTANG KEZALIMAN.

Abu umair 7/6/11