Friday 26 August 2011

BANTULAH SAUDARA KITA YANG KELAPARAN DI SOMALIA.



Saudara kita di Somalia sedangan bergelut dengan kematian akibat kebuluran dan wabak penyakit sedangkan kita di sini enjoy mendengar lagu raya sambil menjamah juadah yang enak-enak belaka.





Sabda Nabi saw maksudnya:

"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri" (HR. al- Bukhari dan Muslim).
Jadi jika ada diantara kita yang langsung tidak terkesan dengan kesengsaraan saudara kita di Somalia, maka dia hendaklah menyemak kembali tahap keimanannya dan perbanyakkan bermuhasabah diri.

Tidak cukup sekadar berdoa, kita hendaklah membantu saudara kita di Somalia dengan wang ringgit kerana kita mampu dan sudah ada NGO yang diyakini mengumpul dana bantuan kepada mereka. Sumbangan anda amat diperlukan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan kepada saudara kita di sana.

Jangan biarkan mereka mati kelaparan sedangan kita terlebih kenyang di sini. Mendermalah segera melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad no. 14-02301-0025-718 atas nama HALUAN. InsyaALLAH bantuan anda akan sampai ke sana melalui NGO HALUAN yang terkenal dengan kerja kebajikan di Palestin, Kemboja dan lain-lain.


[Berdasarkan fakta Selatan Somalia telah dikategorikan kawasan kebuluran pada 20 Julai 2011 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Ia melibatkan 2.8 juta daripada 3.7 juta penduduk negara tersebut. Lebih 310 ribu kanak-kanak dikategorikan “acutely-malnourished”. 1 daripada 3 kanak-kanak tergolong dalam kategori kekurangan zat makanan yang teruk. Setiap hari 6 per 10 ribu kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal. Kawasan yg paling teruk kemarau ialah Lower Shabelle, Middle and Lower Juba, Bay, Bakool, Benadir, Gedo dan Hiraam. Difahamkan tiga hingga empar ribu penduduk Somalia meninggalkan kediaman menuju ke Mogadishu sejauh 550 km atau ke kem pelarian Dadaab di Kenya dan Ethiopia. Mereka dipercayai berjalan dibawah suhu 50 C sejauh 400 km ke kem pelarian Dadaab di Kenya dan Ethiopia. Hampir ½ juta mendiami kem itu. Kem tersebut dipercayai hanya layak untuk didiami oleh 90 ribu orang sahaja].

Menitis air mata kita memikirkan kesengsaraan saudara kita di sana...... Ramai kanak-kanak sudah terkorban....... Ramai lagi yang akan terkorban jika bantuan secukupnya tidak disalurkan....

JANGAN TUNGGU LAGI, DERMALAH SEKARANG!!!

InsyaALLAH kita tidak akan menjadi miskin dengan menderma tetapi dengan menderma, kita sudah menyediakan sesuap makanan kepada mereka yang kelaparan dan InsyaALLAH kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada ALLAH swt.

Friday 19 August 2011

ANAK MELAYU TIDAK PANDAI ATAU TERLEBIH PANDAI BERMAIN MERCUN?

Gambar hiasan


Saban tahun apabila tiba Bulan Ramadhan akan kedengaran berita-berita sedih menimpa anak-anak kecil Muslim. Ada yang putus jari, melecur muka dan ada juga cedera parah serta tak lupa juga kebakaran yang melanda. Segalanya bukanlah berpunca daripada peperangan tetapi berpunca dari sejenis objek bernama mercun.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa anak Melayu sahaja yang sering cedera bermain mercun tetapi anak Cina bukan Muslim dimana bermain mercun merupakan budaya mereka tetapi hampir tidak pernah kedengaran ada diantara anak-anak mereka yang cedera akibat bermain mercun.

Kenapa ini terjadi? Adakah anak Melayu tidak pandai bermain mercun ataupun terlebih pandai bermain mercun?

Saya berpendapat gejala ini merupakan satu lagi masalah yang tidak patut berlaku dikalangan umat Islam selain gejala buang/bunuh bayi yang tidak berdosa, penyalah gunaan dadah, lumba haram, haruan makan anak dan sebagainya. Sungguh menyedihkan. Inilah akibatnya apabila umat Islam semakin jauh daripada Islam dan semakin meninggalkan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Berbalik kepada gejala bermain mercun tadi. Islam merupakan agama benar yang menyediakan penyelesaan kepada segala aspek kehidupan kita. Jadi apabila kita berpegang teguh dengan Islam, maka gejala-gejala yang menyedihkan seperti ini tidak akan berlaku dikalangan kita InsyaALLAH.

Penekanan mengenai bahaya mercun ini hendaklah bermula dari rumah lagi dan seterusnya diikuti di peringkat sekolah. Ibu bapa hendaklah memantau aktiviti anak mereka dengan lebih serius dan berulang-ulang kali menasihati serta berpesan kepada mereka agar tidak bermain mercun sehingga membahayakan diri. Janganlah pula ibu bapa menjadi pendorong anak-anak mereka bermain mercun. Jika berlaku sesuatu yang buruk, sesalan tidak berguna lagi. Islam mengharamkan umatnya mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan seperti Firman ALLAH swt maksudnya:
"Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

BAHAYA!. Didiklah anak anda untuk tidak bermain mercun.

Pihak berkuasa juga telah mengharamkan mercun jadi kita wajib mengikuti arahan yang membawa kepada kebaikan ini. Janganlah pula kita membuatkan tauke-tauke mercun haram menjadi kaya dengan sokongan kita dan sekali gus memberi mudharat kepada anak-anak. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika ada individu yang menjual mercun haram yang merbahaya ini.

Pemantauan yang lebih serius juga hendaklah dilakukan terutama sekali di kampung-kampung agar kanak-kanak tidak bermain mercun buatan sendiri kerana ianya amat merbahaya. Organisasi penduduk seperti persatuan penduduk dan rukun tetanga boleh membuat rondaan di lokasi-lokasi tertentu bagi membenteras gejala bermain mercun seperti meriam buluh yang sememangnya berbahaya. Berkreatiflah dalam perkara yang baik jangan berkreatif dalam perkara yang merosakkan.

Umat Islam juga hendaklah sentiasa ambil berat dan nasihat menasihati  diantara satu sama lain agar perkara-perkara yang buruk dapat dielakan. Tetapi amatlah malang kerana budaya nasihat menasihati ini semakin terhakis dikalangan masyarakat kerana sikap tidak ambil peduli kita serta sikap pantang dinasihat sesetengah daripada kita sedangkan agama Islam merupakan agama nasihat seperti Hadis Nabi saw maksudnya:
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya." (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita mencegah gejala bermain mercun haram yang merbahaya dikalangan umat Islam di negara ini. Saya amat malu dan sedih apabila ada Non Muslim bertanya kenapa  anak-anak melayu ramai yang putus jari muka melecur dan sebagainya sedangkan anak-anak mereka tidak mengalami nasib yang sama di musim perayaan mereka.

Gambar hiasan

Jika hendak bermain juga pilihlah mercun yang tidak merbahaya seperti bunga api tetapi bagi pendapat saya lebih baik dielakan terus. Janganlah Aidilfitri yang sepatutnya merupakan hari untuk kita bergembira tiba-tiba menjadi suram dan sedih bahana mercun haram. Wallahu’alam.

Abu umair 20.8.11

BERSAMA MEMBENTERAS MERCUN HARAM!

KATAKAN TIDAK KEPADA MERCUN HARAM!

Tuesday 9 August 2011

SEPATUTNYA NEGARA KITA SUDAH TIADA ORANG ISLAM YANG MISKIN.

Gambar hiasan
Saya berpendapat, sepatutnya di negara ini sudah tiada orang miskin beragama Islam yang papa kedana sehingga terpaksa meminta bantuan organisasi Kristian dan Budha di negara yang mana wang zakat dikutip berjuta-juta ringgit saban tahun dan mejoriti penduduknya adalah Muslim serta menguasai pemerintahan negara sejak merdeka.

Pengalaman peribadi saya di Pulau Pinang sendiri dapat merasakan betapa kurang berkesannya organisasi-organisasi yang menguruskan orang Islam yang miskin dan kurang upaya sehingga tidak mampu menyelesaikan masalah sesetengah daripada mereka yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.

Namun adalah kurang adil jika dikatakan bahawa organisasi-organisasi yang menguruskan kebajikan orang Islam langsung tidak berfungsi kerana banyak juga jasa dan kebaikan yang telah mereka lakukan cuma bagi pendapat saya masih banyak yang perlu diperbaiki demi untuk menjaga imej dan kebajikan umat Islam. Wallahu'alam.

Pada tahun lepas kami diperkenalkan dengan seorang saudara Muslim berbangsa cina bernama Muhammad atau lebih mesra dengan pangilan Uncle Chin. Beliau kudung sebelah kaki dan memakai kaki palsu serta perlu mencuci buah pinggang (dialysis) dua kali seminggu akibat penyakit kerosakkan buah pinggang yang beliau hidapi.

Gambar hiasan
Alhamdulillah, Pusat Urus Zakat(PUZ) ada menanggung perbelanjaan dialysis beliau berjumlah RM1,500.00 sebulan dan dibayar terus ke Pusat Dialysis tempat beliau menjalankan rawatan.

Yang menghairankan saya, PUZ hanya menanggung perbelanjaan dialysis sahaja tetapi tidak menanggung perbelanjaan sara hidup beliau seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian sedangkan beliau miskin serta sudah hilang upaya dan tidak mampu bekerja untuk meneruskan hidup. Tidak percaya dengan realiti itu, salah seorang daripada rakan saya pergi ke PUZ utuk meminta bantuan tetapi ternyata PUZ tidak dapat memberikan bantuan bulanan kepada Uncle Chin dan hanya dapat memberi bayaran secara one-off (Sekali beri sahaja) jika tidak silap dalam RM600.00 (saya tidak ingat jumlah sebenar). Amaun sekecil itu hanya cukup untuk beberapa bulan sahaja.

Jadi saya tertanya-tanya didalam diri, jika wang bantuan zakat tidak diberikan kepada beliau secara bulanan untuk menanggung perbelanjaan sara hidup seperti makan minum, pakaian, sewa teksi untuk ke Pusat Dialysis dan sebagainya, bagaimana beliau hendak meneruskan hidup?. Wang bantuan PUZ untuk rawatan dialysis itu juga tidak mencukupi untuk perbelanjaan pemeriksaan darah yang wajib beliau jalankan sekali dalam beberapa bulan. Jadi bagaimana Uncle Chin hendak meneruskan hidup dengan keadaan papa kedana seperti ini???. Adakah dengan meminta sedekah di jalanan sedangkan wang zakat yang dikutip dan mempunyi baki berjuta-juta ringgit saban tahun???

Sepatutnya PUZ memberi bantuan kepada insan yang dalam kesusahan seperti Uncle Chin ini sehingga mereka keluar dari kesusahan tersebut. Jika bantuan tidak diberi secara menyeluruh, sampai bilapun masalah kemiskinan tidak akan selesai. Jadi jangan marah dan melenting sangatlah jika ada yang sangup pergi ke gereja bagi menerima bantuan kerana kita sendiri tidak memberikan bantuan yang secukupnya kepada mereka yang memerlukan. Sungguh menyedihkan!

Saya pernah membaca sebuah artikel yang menyebut kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”.
Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)
Kita juga sering mendengar kisah yang mahsyur bagaimana ketika pemerintahan Umar bin ‘Abd al-Aziz, beliau berjaya menghapuskan kemiskinan di wilayah Islam dalam tempoh yang amat singkat iaitu dalam dua setenggah tahun sedangkan pada zaman itu tiada telefon, internet mahupun kenderaan bermotor yang canggih seperti sekarang.


Alhamdulillah, syukur kerana ada NGO Islam yang sudi membantu Uncle Chin. Jika tidak tak tahulah apa akan terjadi pada nasib beliau. NGO orang Islam yang saya maksudkan adalah IKRAM yang menyediakan tempat tinggal dan memberi elaun kepada beliau untuk meneruskan hidup. sebuah NGO Budha yang terkenal dengan aktiviti kebajikan di seluruh dunia turut memberikan bantuan bulanan.

Kami juga pernah berusaha untuk memasukkan beliau ke rumah kebajikan tetapi kami dibuat seperti bola. Pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat beliau tidak diterima kerana tidak cukup umur, pergi ke Pejabat Agama, mereka meminta kami menelefon sendiri sebuah rumah kebajikan (yang diuruskan oleh sama ada Pejabat Agama atau PUZ saya tidak pasti) bertempat di Pongsu Seribu, tetapi malangnya pada masa itu mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk membawa beliau ke Pusat Dialysis PUZ di Kepala Batas. Kami juga berusaha di tempat lain tetapi tetap menemui kegagalan. Mungkin kerana kami hanyalah orang biasa yang tidak berpengaruh.

Akhirnya kami tidak berjaya membantu menghantar beliau ke rumah kebajikan. Mujur NGO Islam yang prihatin seperti IKRAM sudi untuk terus membantu beliau. Akhirnya 4 bulan yang lepas barulah Uncle Chin dimasukkan ke Rumah Kebajikan (orang Islam) di Pogsu Seribu serta pengangkutan untuk ke Pusat Dialysis PUZ turut disediakan. Begitu lewat bantuan disalurkan.

Saya juga pernah bertanya kepada seorang pegawai PUZ mengenai kegagalan PUZ menyalurkan wang zakat kepada orang-orang miskin kerana masih ramai mereka yang layak tidak menerima wang zakat. Pegawai tersebit menyalahkan pihak masjid yang merupakan ejen PUZ serta bertanggungjawab terhadap orang miskin di karyah mereka.

Apabila saya bertanya kepada pengerusi masjid disalah sebuah masjid sekitar Seberang Perai, beliau pula menyalahkan orang miskin kerana tidak datang memohon bantuan ke masjid. Jadi masing-masing tunding menunding dan salah menyalahi antara satu sama lain tetapi masalah orang miskin tetap tidak selesai.

Hakikatnya ramai yang tidak tahu bahawa masjid merupakan ejen PUZ. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan orang miskin seperti ibu tunggal dan mereka yang buta huruf serta cacat mengetahui hal ini?.

Di sekitar Pulau Pinang kita dapat melihat papan-papan iklan yang menyeru orang ramai membayar zakat dan ini satu perkara yang bagus tetapi malangnya saya tidak pernah melihat satu papan iklanpun yang mengesa orang miskin serta mereka yang layak menerima zakat agar mendapatkan wang zakat. Sepatutnya PUZ hendaklah turut menyediakan papan-papan iklan yang mengajak mereka yang layak menerima zakat agar mendapatkan wang zakat dangan menyatakan cara serta tempat untuk mendapatkan wang zakat tersebut. Janganlah kita hanya menjadi juara dalam mengutip wang zakat tetapi tidak berjaya mengagihkan wang zakat tersebut dengan berkesan.

Pihak PUZ juga hendaklah mempermudahkan urusan permohonan wang zakat agar semua golongan yang layak dapat menerima bantuan dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu berbulan-bulan. 

Wang zakat juga hendaklah disalurkan kepada golongan yang memerlukan sehingga mereka dapat keluar daripada kesusahan. Jika wang zakat yang disalurkan hanya RM100.00 dan RM200.00 sebulan, sampai bilapun masalah mereka tidak akan selesai. Mereka yang miskin akan terus miskin.

Pihak PUZ juga jangan hanya menunggu di pejabat berhawa dinggin dan mengharapkan orang miskin datang kepada mereka sebaliknya mereka sendiri hendaklah turun padang mencari orang miskin dan menyalurkan wang zakat tanpa karenah birokrasi yang meyusahkan. Jika pihak media masa dan NGO-NGO boleh mencari orang miskin dan mereka yang memerlukan untuk diberi bantuan kenapa pihak PUZ tidak boleh melakukannya? Sedangkan merekalah yang lebih patut melakukannya. Ataupun pihak PUZ sendiri boleh berkerjasama dengan pihak media masa dan NGO-NGO untuk mengagihkan wang zakat dengan lebih berkesan.

Saya menulis hal ini kerana berasa amat sedih. Sepatutnya negara kita yang kaya dengan wang zakat ini sudah dapat menyelesaikan masalah kemiskinan. Kita hendaklah memperbetulkan keadaan agar tidak berlaku lagi situasi dimana umat Islam yang memerlukan bantuan tidak mendapat pembelaan lalu terpaksa menerima bantuan daripada pihak gereja seperti yang terpampang di dada-dada akhbar baru-baru ini.

Kita hanya pandai menunding jari kepada pihak lain tetapi gagal menilai kelemahan diri sendiri. Kita tidak mahu ada umat Islam yang lemah imannya menjadi murtad kerana terhutang budi kepada pihak gereja sedangkan Islam adalah agama yang benar dan menyediakan jalan keluar kepada kesemua bentuk masalah termasuk masalah kemiskinan ini. 

Saya mendoakan agar PUZ di negara kita menjadi lebih cekap dalam mengagihkan wang zakat dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat. Marilah sama-sama kita berusaha kearah itu dengan mengunakan kemampuan dan pengaruh yang ada pada diri masing-masing bagi mendesak Pihak yang menguruskan wang zakat mengagihkan wang zakat dengan lebih berkesan. Saya mendoakan agar negara kita menjadi negara miskin sifar suatu hari nanti. Wallahu'alam.

Firman ALLAH swt maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah:60) 
Wahai para pengurus wang zakat, takutlah kepada ALLAH swt terhadap amanah yang anda pikul ini.
Gambar hiasan


abu umair 9.8.11