Tuesday 26 April 2011

HINDARI PANGGILAN BURUK.

Firman ALLAH swt maksudnya:
“Dan janganlah kamu menggelar sesama diri kamu dengan gelaran-gelaran (yang buruk)” – Surah al-Hujuraat:11

ALLAH swt melarang kita memanggil orang lain dengan gelaran-gelaran yang buruk dan tidak disukai seperti boroi, kontot, badut, lanun dan bodoh piang.

Malangnya ramai diantara kita terutamanya golongan remaja gemar memanggil sesama sendiri dengan gelaran-gelaran yang buruk dan tidak disukai.

Bayangkanlah perasaan mereka yang digelar dengan gelaran yang buruk dan hina? Adakah mereka akan berasa gembira atau dukacita? Dimanakah perginya sifat belas kasihan kita sebagai seorang Muslim? Bagaimana pula dengan perasaan kita jika dipanggil dengan panggilan-panggilan yang buruk?

Oleh itu marilah kita bermuhasabah diri dan menghentikan dengan serta-merta sikap suka memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk dan tidak disukai.

Agar kita menjadi remaja Muslim contoh yang berakhlak mulia.

Oleh: Abu umair 26.4.2011


Sunday 24 April 2011

MAKAN DAHULU BARU SOLAT ATAU SOLAT DAHULU BARU MAKAN?

Setahun yang lepas saya bersama  rakan seperjuangan telah menganjurkan satu seminar penghayatan Quran khas buat anak-anak muda Muslim yang dikasihi di sebuah masjid terkemuka sekitar Seberang Perai. Alhamdulillah dengan limpah kurnia-NYA program tersebut berjalan lancar. Rata-rata anak muda yang hadir gembira dan memberi maklum balas positif serta mencadangkan agar lebih banyak program seperti ini dianjurkan pada masa akan datang.   

Seminar berakhir sekitar jam 9.45 malam, anak-anak muda yang hadir pasti ada yang kelaparan dan kehausan setelah hampir dua jam setengah menghayati hujah-hujah ustaz yang berceramah. Satu demi satu kaki melangkah meningalkan dewan lalu menghampiri bihon goreng berlaukkan udang ditemani teh ’O’ panas yang sudahpun terhidang seolah-olah bersedia untuk dijamah. Tiba-tiba kedengaran satu jeritan berbunyi ”Hoooi solat dulu hooi solat dulu”. Maka terbahagilah anak-anak muda tersebut kepada dua. Ada yang solat dulu baru makan dan ada pula yang makan dulu baru solat.

Setelah anda membaca pengalaman di atas, apakah yang anda fikirkan? Adakah wajar saudara kita tadi menjerit menggesa anak-anak muda untuk solat dahulu sebelum makan sedangkan sebahagian daripada mereka mungkin sedang lapar kerana belum makan malam dan sebahagian lagi berkeinginan untuk makan kerana makanan sudahpun terhidang?



Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: 
Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan malam”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a, baginda Nabi saw bersabda maksudnya:
”Apabila dihidangkan makan malam untuk kamu sedangkan solat (berjemaah) telah didirikan, maka mulakanlah dengan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah sehingga dia selesai makan” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang sama dinyatakan bahawa-Maksudnya:  
 ”Ibnu Umar r.a apabila dihidangkan makanan untuknya ketika solat didirikan, beliau tidak mendatangi solat hinggalah beliau selesai makan sedangkan beliau mendengar bacaan imam”

Menurut Imam Nawawi r.h (meninggal 676H):
Hadis-hadis tersebut menyatakan hukum makruh bersolat apabila makanan yang hendak dimakan telah terhidang kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”(Rujuk Syarh Sahih Muslim, karya Imam Nawawi).

Jelaslah kepada kita bahawa mendahulukan makanan yang sudah terhidang di depan mata merupakan sunnah dan sunnah ini meliputi semua solat. Meniggalkan makanan ketika lapar atau berkeinginan yang kuat untuk menjamahnya ternyata boleh menghilangkan khusyuk dalam solat. Ini disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Oleh itu ulama menyatakan hukumnya makruh meniggalkan makanan yang sudah terhidang di depan mata untuk menunaikan solat.

Malangnya ada diantara kita yang kurang faham lalu mengandaikan agama dengan emosi semata-mata tanpa melalui ilmu. Suruhan mendahulukan makan sebelum bersolat bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat. Sebaliknya, tujuan arahan Nabi saw adalah untuk memastikan kesempurnaan solat kita. Agar kita dapat solat dengan Khusyuk tanpa memikirkan tentang makanan tadi. Namun jika makanan belum terhidang atau keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah makruh untuk kita terus menunaikan solat.

Hidup ini indah jika kita sentiasa menjadikan Al Quran dan Sunnah Nabi saw sebagai pegangan hidup. Lihatlah betapa hebatnya Al Quran dan Sunnah mengatur hidup kita. Oleh itu marilah kita bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan yang ada. Wallahu’alam.







Firman ALLAH swt maksudnya:  
”Makan dan minumlah kamu. Jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya DIA tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-Araf: 31)

Oleh: Abu umair. 12/11/2010

Friday 22 April 2011

KEAJAIBAN AL QURAN: PENEMUAN MUMIA FIRAUN YANG MENGEJUTKAN BARAT.

Ramai diantara kita pernah membaca kisah di dalam al-Quran bagaimana ALLAH swt menyelamatkan Nabi Musa as daripada Firaun yang tengelam dilautan bersama tenteranya tanpa menyedari keajaiban ayat-ayat tersebut yang telah mengejutkan dunia sains moden barat.

Pada tangal 1975, kerajaan Perancis telah menawarkan suatu bantuan bagi meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun yang kemudiannya disambut baik oleh kerajaan Mesir ketika itu. Setelah mendapat restu daripada kerajaan Mesir, mumia tersebut telah diterbangkan ke Perancis bagi memulakan kajian.

Kajian terperinci dimulakan terhadap Mumia Firaun tersebut oleh para ilmuan terkemuka dan pakar bedah dan autopsi Perancis diketuai oleh Prof. Dr. Maurice Bucaille yang merupakan seorang pakar bedah kenamaan Perancis. Beliau merupakan pakar bedah yang disegani serta pernah mengetuai klinik bedah di Universiti Perancis. Beliau mula tertarik kepada Islam dengan inisiatif sendiri mendalami kajian biologi berhubung dengan beberapa dokrin agama. Oleh itu beliau telah menggunakan seluruh kemampuannya mengkaji sebab kematian raja mesir kuno tersebut.

Hasil kajian tersebut, satu penemuan mengejutkan yang bakal mengubah hidup Prof. Dr. Maurice Bucaille telah diperolehi. Kumpulan pengkaji yang beliau ketuai telah berjaya membuktikan bahawa Firaun tersebut telah mati akibat lemas di lautan. Sisa-sisa garam yang melekat di tubuhnya adalah bukti terbesar bahawa dia telah mati kerana tenggelam. Jasadnya telah segera dikeluarkan dari laut dan kemudian diawet untuk dijadikan mumia.

Penemuan tersebut telah menimbulkan persoalan besar kepada Prof. Dr. Maurice Bucaille. Bagaimanakah jasad mumia tersebut boleh lebih baik daripada jasad-jasad mumia yang lain padahal ia dikeluarkan dari laut?. Satu laporan akhir telah beliau siapkan tentang suatu yang diyakininya sebagai penemuan baharu iaitu rahsia mayat Firaun dari laut dan pengawetannya. Beliau kemudian menerima penghargaan Le prixDiane-Potier-Boes (Pengargaan dalam sejarah) dari Academie Frantaise dan Prix General (Penghargaan Umum) daripadaAcademie Nationale de Medicine.
                      
                                                                             Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Prof. Dr. Maurice Bucaille menjadi bertambah kagum dan hairan apabila dikhabarkan bahawa berita kematian Firaun yang jasadnya telah diselamatkan dari kehancuran sudahpun disebut di dalam al-Quran. Bagai mana mungkin hal ini boleh terjadi kerana mumia Firaun tersebut hanya ditemui sekitar tahun 1898 Masihi sedangkan al-Quran telah wujud ribuan tahun yang lalu.

Sementara itu dalam kitab suci agama Kristian dan Yahudi hanya menceritakan tentang tengelamnya Firaun di lautan ketika mengejar Musa a.s dan langsung tidak menceritakan perihal tentang mayat Firaun. Berbeza dengan al-Quran yang mengkhabarkan bahawa mayat Firaun akan diselamatkan daripada kehancuran buat peringatan kepada umat yang kemudian. Akhirnya  Prof. Dr. Maurice Bucaille memeluk Islam setelah dibacakan kepada beliau ayat Al-Quran Surah Yunus ayat ke 92 bahawa firman ALLAH swt bermaksud:

 “Maka pada hari ini KAMI selamatkan badan mu supaya kamu dapat menjadi  pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah mu dan sesungguhnya kebanyakkan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan KAMI” Yunus: 92           

ALHAMDULILLAH lihatlah pengalaman hidup  Prof. Dr. Maurice Bucaille yang mendorong beliau memeluk Islam atas kajian dan usaha beliau sendiri untuk mencari kebenaran. Beliau kemudiannya telah menulis buku terkenal yang merungkai kebenaran al-Quran bertajuk The Bible, The Quran and Science yang diterbitkan pada tahun 1976 serta menjadi best-seller antarabangsa. Beliau sedar bahawa tidak mungkin Muhammad saw boleh mengetahui perkara-perkara seperti ini yang memerlukan kajian sains moden dengan mengunakan peralatan-peralatan changih kecuali ianya diwahyukan oleh TUHAN yang mencipta alam semesta ini iaitu ALLAH swt.

Marilah kita menjadi umat cemerlang yang mengaji dan mengkaji bukan umat ikut-ikutan. Khabarkanlah kebenaran Islam kepada Non Muslim agar mereka dapat keluar dari kegelapan kepada cahaya kebenaran Islam.
Oleh: Abu umair 22/4/2011 

             

Thursday 21 April 2011

KEKARUTAN SMS BERANGKAI.

Masihkah anda ingat suatu ketika dahulu penyebaran surat berangkai yang berleluasa dikalangan kita?. Kini, dengan arus pemodenan teknologi maklumat yang melanda dunia, surat berangkai sudah menjadi 'out dated' dan diganti dengan SMS berangkai. 

Saya sendiri sudah beberapa kali menerima SMS berangkai tersebut daripada rakan-rakan Muslim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan yang terbaharu diterima pada minggu lepas. SMS-SMS tersebut antaranya berbunyi:
'Jika anda mengsms (ayat-ayat seperti potongan surah Yasin atau nama-nama ALLAH yg ditaip di dalam SMS tersebut) kepada 7 orang (sesetengah 10 orang) maka anda akan mendapat berita gembira/kebaikan tidak lama lagi. Tetapi jika anda tak send atau delete SMS ini, maka anda akan ditimpa musibah'.
Amat menyedihkan kerana ramai dikalangan kita masih mempercayai dan menyebarkan SMS-SMS seperti ini. Kenapakah hal ini  berlaku? Apakah yang menyebabkan kita mudah tertipu dengan perkara karut seperti ini?. Atas sebab itu, saya ingin menjelaskan perkara seperti berikut:

1.  Petikan di dalam SMS berangkai menyebut bahawa jika anda menghantar SMS ini kepada 7 atau 10 orang kenalan maka anda akan menerima berita gembira. Tetapi jika sebaliknya, maka anda akan menerima musibah. Saya ingin bertanya bagaimanakah pencipta SMS karut ini boleh mengetahui perkara baik atau buruk yang akan berlaku pada masa akan datang sedangkan dia bukan Tuhan atau Nabi yang menerima wahyu? Nabi saw sendiri tidak mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa depan kecuali diwahyukan oleh ALLAH swt. Jadi hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa akan datang bukan pencipta SMS karut ini. Saya rasakan penjelasan inipun sudah cukup untuk membuktikan bahawa SMS berangkai yang anda terima dan sebarkan selama ini adalah karut semata-mata karut.

2.  Pengasas SMS karut ini seolah-olah berani mencipta satu syariat baharu sedangkan agama Islam sudahpun sempurna lebih 1'400 tahun yang lalu. ALLAH swt berfirman maksudnya:
"Pada hari ini AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu, dan AKU telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu." Surah al-Ma'idah: 3. 
Ayat di atas turun ketika peristiwa Haji Wada di waktu-waktu penghujung kehidupan Nabi saw. Ini bermakna agama Islam sudahpun sempurna dari saat turunnya ayat tersebut.

3.  SMS berangkai seperti ini turut diterima oleh rakan Non Muslim saya dalam versi agama mereka. Nampaknya SMS berangkai yang karut marut ini wujud dalam berbagai versi agama dan mungkin dalam pelbagai bahasa Wallahu'alam.

4.  SMS berangkai yang karut seperti ini hanya merosakkan pemikiran umat Islam. Kita menjadi umat yang malas berfikir dan hanya menelan bulat-bulat apa yang diterima tanpa mengkaji kesahihannya. Malanglah jika kita terus berfikiran seperti ini.

5.  Penyebaran SMS karut ini hanya menguntungkan syarikat telekomunikasi dan anda yang tertipu menjadi bertambah rugi. Bayangkan berapa juta SMS seperti ini sudahpun dihantar sehingga ke hari ini. Ternyata ini hanyalah satu pembaziran yang sia-sia. ALLAH swt tidak suka akan pembaziran. ALLAH swt berfirman maksudnya:
" .....dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan".  Surah al-Isra': 26-27
6.  Awas! meyakini bahawa SMS berangkai seperti ini berkuasa memberi keburukan ataupun kebaikan kepada kita boleh membawa kepada unsur-unsur syirik.

Marilah kita berfikir secara logik dan rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan. Usahlah kita mudah tertipu dengan perkara karut marut seperti ini. Janganlah menjadi umat ikut-ikutan tanpa berfikir. Janganlah menjadi umat yang mudah menerima dan menelan bulat-bulat apa yang dikhabarkan tanpa diselidik dan dipastikan kesahihannya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sesungguhnya jalan yang selamat hanyalah dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Jauhilah Syirik!
 Kemuliaan berfikir........

Oleh: Abu umair 21.4.2011

 



Wednesday 20 April 2011

INFO SUNNAH: Larangan Makan Dan Minum Mengunakan Tangan Kiri.

  
Berkata Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya:

"Jagan makan salah seorang kamu atau minum dengan tangan kiri, kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri"  
Hadis Riwayat Muslim.
Umat Islam diwajibkan untuk makan dan minum dengan mengunakan tangan kanan kecuali jika ada keuzuran atau penyakit yang tidak membolehkannya untuk makan mengunakan tangan kanan.

Sedar tidak sedar ada diantara kita kadang-kala terlalai ketika makan terutama sekali ketika mengunakan sudu dan garfu. Kita cedok nasi untuk disuapkan ke mulut mengunakan tangan kanan tetapi malangnya kita tikam lauk dan masukkan ke dalam mulut mengunakan tangan kiri. 

Kadang kala kita juga dapat lihat di majlis kenduri kendara dimana kita makan mengunakan tangan kanan tetapi malangnya kita minum mengunakan tangan kiri.

Kesemua cara makan dan minum seperti yang saya nyatakan di atas adalah tidak menepati Sunnah. Oleh itu kita hendaklah sentiasa memastikan agar makan dan minum kita mengunakan tangan kanan. 

Tegurlah anak-anak kita yang masih kecil jika mereka makan dan minum mengunakan tangan kiri supaya mereka akan membiasakan diri dengan Sunnah yang mulia ini iaitu makan dan minum mengunkan tangan kanan.

Oleh: Abu umair 19/4/2011
 

Monday 18 April 2011

MEMBANTU ORANG LAIN (KERJA KEBAJIKAN) MENDAMAIKAN JIWA.


Islam sememangnya agama kasih sayang yang menggalakan umatnya saling bantu membantu terutamanya sesama saudara semuslim. Islam juga menggalakkan umatnya berbuat baik kepada Non Muslim supaya dengan kebaikkan yang dilakukan dapat membuka hati mereka menerima Islam yang benar lagi suci ini.

Nabi saw bersabda maksudnya: 
’Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga ia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya untuk dirinya sendiri (HR. al- Bukhari dan Muslim).


Berkata Imam an-Nawawi rh: 
Pertama-tama, hadis di atas difahami pada keumuman persaudaraan, sehingga mencakupi kafir dan Muslim. Ia suka untuk saudaranya yang kafir apa yang disukainya untuk dirinya, iaitu masuk ke dalam Islam...(Sayyid Bin Ibrahim al- Huwaithi, Syarah Arbain An-Nawawi, Darul Haq, Jakarta 2006, M/S: 142 & 143.)

Melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan.

Melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan adalah satu amalan yang mulia selari dengan ruh Islam itu sendiri. Ianya terbukti dapat menenangkan dan mendamaikan jiwa insan.

Menurut Dr. Danial Zainal Abidin, salah satu contoh yang baik adalah isteri Nabi saw, Zainab Binti Jahsy. Beliau digelar sebagai ’Ibu Bagi Orang-Orang Miskin’ kerana sering mengutamakan kebajikan orang-orang miskin di dalam hidup beliau. Satu kajian kebangsaan yang dilakukan ke atas 3,300 pekerja-pekerja sosial di Amarika mendapat, mereka yang terlibat dalam aktiviti kebajikan sering merasai helper’s high ataupun perasaan damai dan tenang selepas membantu orang lain. Sembilan daripada sepuluh mengatakan mereka berasa lebih sihat dan tekanan di dalam hidup mereka semakin berkurangan. Sebahagian yang lain pula mengalami kelegaan daripada sakit-sakit tulang, lelah dan gastrik.( Dr. Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden(Edisi kemas kini) PTS Millennia, Selangor 2010, M/S 177.)

Terbukti bahawa kerja kebajikan adalah suatu amalan yang mulia dan amat menguntungkan insan yang bergelar Muslim baik di dunia lebih lagi di akhirat. 
   
Antara kerja-kerja kebajikan yang boleh dilakukan.

Saya berpendapat kerja-kerja kebajikan akan lebih berkesan jika dilakukan secara berjamaah seperti menyertai NGO-NGO yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan. Antara kerja-kerja kebajikan yang boleh dilakukan adalah:

1.Program ziarah dan pemberian bantuan secara berterusan baik dari segi kewangan mahupun tenaga disusuli dengan nasihat kepada golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, saudara baru, anak yatim, warga tua, orang sakit, orang asli, OKU dan lain-lain bagi meringankan beban mereka sekali gus peluang tersebut dapat digunakan sepenuhnya untuk berdakwah.

   2.Bantuan ’segera’ kepada mangsa bencana alam. Apabila mendapat khabar tentang sesuatu musibah seperti banjir dan kebakaran. Umat Islam hendaklah menjadi golongan yang paling awal menyalurkan bantuan. 

3.Menyediakan pusat-pusat kebajikan seperti pusat penjagaan orang kurang upaya, pusat pemulihan akhlak remaja, pusat pelindungan pesakit HIV dan sebagainya.

4.Dakwah lapangan seperti menziarahi para remaja yang melepak di pusat-pusat rekriasi, pasaraya dan pusat hiburan dengan mengedarkan risalah kesedaran dan nasihat keagamaan serta bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa dengan meniggalkan nombor telefon kita kepada mereka.

5.Melakukan lain-lain aktiviti kebajikan disusuli dakwah dengan bersungguh-sungguh.

Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan seperti di atas, tidak dinafikan perlunya sumber kewangan dan tenaga kerja yang mencukupi. Kelemahan dalam dua aspek inilah yang sering kali menggagalkan usaha gerak kerja kebajikan. Oleh itu saya menyeru kepada umat Islam terutama sekali golongan muda yang cintakan agama agar turut serta dalam kerja-kerja kebajikan secara lebih serius. Usaha yang lebih agresif juga perlu digerakkan bagi mengumpul dana untuk menampung segala aktiviti yang dijalankan.


Kita agak ketingalan.

Saya berpendapat bahawa kita agak jauh ketinggalan dalam melakukan kerja-kerja kebajikan berbanding golongan agama lain seperti Kristian dan Budha di Pulau Pinang ini. Hal ini amat merugikan kita yang hakikatnya berdiri di atas landasan kebenaran berbanding golongan agama lain. Sepatutnya kitalah yang lebih mendahului mereka kerana Islam sememangnya menganjurkan amal kebajikan dikalangan umatnya. Terdapat juga mereka yang beragama lain menggunakan kerja-kerja kebajikan bagi menyebarkan dakyah mereka dan ini merupakan satu perkara yang amat membahayakan umat. Usahlah kita menjadi umat yang hanya pandai bercakap dan menunding jari kepada orang lain tanpa melakukan apa-apa. Usahlah kita hanya melihat golongan agama lain yang melakukan kerja-kerja kebajikan, membantu golongan yang memerlukan secara bersungguh-sungguh sebaliknya kita masih tidur dan leka. Oleh itu saya menyeru kepada diri sendiri dan khususnya golongan muda yang cintakan agama serta umat Islam seluruhnya supaya sama-sama berganding bahu dalam melakukan kerja-kerja kebajikan dengan ikhlas, sabar dan Istikhomah. Marilah kita menjadi umat contoh dalam melakukan  kebajikan buat bekalan di akhirat kelak. Wallahu’alam.


Ramai lagi insan seperti mereka memerlukan bantuan. Sudahkah anda membantu mereka sedangkan anda mampu melakukannya?. Tidakkah anda bersyukur dengan nikmat kesenangan dan kesihatan tubuh badan yang telah ALLAH SWT kurniakan? Adakah sudah cukup rutin hidup seharian kita sekadar pergi kerja di waktu pagi, pulang petang, mandi, makan, menonton televisyen, minum teh di kedai mamak bersama rakan-rakan dan tidur? Inikah rutin hidup seorang muslim???

Ayuh! Marilah kita menjadi MUSLIM SEJATI dengan menjadikan kerja kebajikan sebagai gaya hidup kita. Jadikan kerja kebajikan sebahagian daripada hidup kita. INSYAALLAH hidup kita akan lebih bermakna, jiwa kita akan lebih tenang dan kita akan mendapat ganjaran yang besar daripada ALLAH SWT INSYAALLAH.

Oleh: Abu umair, 2010

Thursday 14 April 2011

TUNAIKANLAH SOLAT WAHAI SAUDARA SAUDARIKU.

Wahai saudara saudariku yang dikasihi ALLAH swt, tunaikanlah solatmu dengan ikhlas dan sempurna walau di mana jua engkau berada serta dalam apa situasi sekalipun kerana ingatlah bahawa solat itu tiang agama. Solat membezakan antara dirimu sebagai seorang Muslim dengan non Muslim.

Ketahuilah bahawa amalanmu yang pertama akan dihisab oleh ALLAH swt. di akhirat kelak adalah SOLAT. 

Rasulullah saw. pernah bersabda maksudnya: 
’’Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Maka berkata ALLAH swt kepada para malaikat-Nya, dan ia Maha Mengetahui: ’Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya lengkap sempurna tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah ALLAH swt.: Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardunya.’ ’’(Riwayat Abu Daud: hadis sahih).

Wahai saudara saudariku, pastikanlah solatmu ikhlas hanya kerana ALLAH swt. kerana sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda maksudnya:  
’’Sesungguhnya ALLAH Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredhaan-Nya semata-mata’’(Sahih Sunan An-Nasai, no.3140).

Solatlah kamu dengan sempurna seperti mana kamu contohinya daripada Nabi saw. kerana Nabimu telah bersabda maksudnya:  
’’Kamu dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat’’(Riwayat al-Bukhari). 
Janganlah sesekali kita mengada-adakan dan menokok tambah ibadah solat mengikut selera dan kemahuan kita kerana Nabi saw. telah bersabda maksudnya: 
’’Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ianya tertolak’’ (Sahih Muslim, no.1718)
Jadi, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu bagi memastikan solat kita sempurna. Sesungguhnya solat yang sempurna itu hanyalah dengan mengikut contoh daripada Nabi saw.  


Solatmu adalah sebagai tanda engkau bersyukur kepada ALLAH swt. Solat merupakan sebaik-baik cara bagi menunjukkan sifat kesyukuran kita terhadap segala nikmat kurniaan ALLAH swt. ALLAH swt. Berfirman maksudnya:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu telah berseru, jika kamu bersyukur niscaya akan kami tambah lagi (nikmat kami) dan jika kamu kufur maka sesungguhnya azab kami adalah sangat pedih’’.(Ibrahim:7).


Wahai saudara saudariku, solatlah kamu kerana solat merupakan wasilah terbaik bagi termakbulnya doa kita. Allah swt. Bersabda maksudnya: 
’’Hai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar.(Al-Baqarah: 153). 
 Jadi, jalan untukmu mendapatkan sesuatu yang dihajati dan diperlukan adalah dengan meminta kepada-Nya melalui ibadah solat.


Anda melakukan dosa? Solat dapat menghalang diri anda dari melakukan dosa. ALLAH swt berfirman maksudnya: 
’’Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat ALLAH(Solat) adalah lebih besar(Keutamaanya dari ibadah-ibadah yang lainya). Dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan’’(Al-Angkabut:45)
 Janganlah kita berputus asa dengan dosa yang telah kita lakukan kerana kita insan yang lemah. Pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka luas untuk kita selagi hayat dikandung badan. Jadi, bertaubatlah walaupun apa jua dosa yang kita lakukan. Taubat kita pasti akan diterima oleh ALLAH swt dan bersolatlah.


Ingatlah wahai diriku dan dirimu bahawa kematian itu sangat hampir dengan kita. Kita pasti akan dijemput oleh ALLAH swt. pada bila-bila masa. Pabila jasat sudah terbujur layu dibaluti kain kafan yang memutih, tiada apa yang berguna lagi kecuali amalan-amalan soleh kita ketika hayat dikandung badan. Jadi, aku berpesan kepada diriku dan dirimu agar sentiada mengerjakan amalan soleh kerana peluang kita hanya sekali di dunia yang fana ini. Kerjakanlah amal kebaikan dan tunaikanlah solat. Jadilah seorang Muslimin/Muslimah contoh yang bertakwa kepada ALLAH swt. dengan sebenar-benar takwa. 


Abu umair. 23.10.2010.

Tercapai Jua Hasrat di Jantung Hati

Alhamdulillah akhirnya tercapai jua hasrat di jantung hati untuk membuka blog sendiri. Terima kasih kepada isteri saya kerana sudi meluangkan masa membantu membuka blog ini. Hanya ALLAH SWT sahaja yang dapat membalasnya.

Bermula dengan dakwah/islah secara berdailog dari seorang ke seorang kemudian mengedarkan risalah dan CD seterusnya mula berpersatuan diikuti dengan menulis dan memberi tazkirah akhirnya Alhamdulillah tercapai jua hasrat berdakwah/islah di alam maya.

Mudah-mudahan usaha yang amat kecil daripada insan yang teramat lemah di sisi ALLAH SWT ini diterima oleh NYA dan kepada ALLAH jualah keampunan dipinta atas segala kelemahan dan kelalaian diri.

Saya amat mengalu-alukan sebarang idea, cadangan dan pembetulan daripada saudara/saudari yang sudi melayari blog ini. Sudi-sudilah emel saya di ahzam10@yahoo.com